Balasan Syurga bagi Orang yang Bertakwa
Surah 78: An-Naba’ (31 – 36)
Ayat 31
إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ مَفَازًا
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan.
Ayat 32
حَدَآئِقَ وَأَعْنَـٰبًا
(Iaitu) kebun-kebun dan buah anggur.
Ayat 33
وَكَوَاعِبَ أَتْرَابًا
Dan gadis-gadis remaja yang sebaya.
Ayat 34
وَكَأْسًا دِهَاقًا
Dan gelas-gelas yang penuh (berisi minuman).
Allah Swt menceritakan keadaan orang-orang yang berbahagia dan ganjaran yang telah disediakan-Nya kepada mereka berupa kehormatan dan kenikmatan yang kekal. Mereka selamat daripada dimasukkan ke neraka.
Mereka juga dikurniakan kebun-kebun atau taman-taman yang dipenuhi pohon-pohon kurma, anggur dan lain-lain serta gadis-gadis remaja yang sebaya, juga minuman arak yang tidak memabukkan.
Ayat 35
لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلَا كِذَّٰبًا
Di dalamnya mereka tidak mendengar perkataan yang sia-sia dan tidak (pula) perkataan dusta.
Di dalam syurga juga tidak terdapat perkataan yang tidak berfaedah, tidak juga perkataan yang berdosa, bahkan syurga adalah negeri kesejahteraan, dan semua yang ada di dalamnya bebas daripada segala bentuk kekurangan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa.”
Al-Waqi’ah 56:25
Ayat 36
جَزَآءً مِّن رَّبِّكَ عَطَآءً حِسَابًا
Sebagai pembalasan dan pemberian yang cukup banyak daripada Rabbmu.
Semua yang telah disebutkan di atas merupakan balasan daripada Allah Swt yang diberikan-Nya sebagai kurnia, kebaikan dan rahmat-Nya yang sangat banyak kepada mereka.