Surah 78: An-Naba’ (1 – 5)

Pertanyaan tentang Berita Besar

Surah 78: An-Naba’ (1 – 5)


Ayat 1

عَمَّ يَتَسَآءَلُونَ

Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya?

Ayat 2

عَنِ ٱلنَّبَإِ ٱلْعَظِيمِ

Tentang berita yang besar.

Allah Swt memulai surah ini dengan menyebutkan keadaan kaum musyrik Quraisy yang saling bertanya tentang sebuah berita yang sangat besar dan sering menjadi tajuk perbualan sesama mereka. Berita ini adalah berita Hari Kiamat yang luar biasa hebatnya, agung, amat menakutkan dan benar-benar menyebabkan manusia kehairanan.

Ayat 3

ٱلَّذِى هُمْ فِيهِ مُخْتَلِفُونَ

Yang mereka perselisihkan tentang ini.

Mereka berselisih pendapat tentang apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw tentang Hari Kiamat. Mereka terbahagi kepada dua golongan iaitu ada yang beriman dengannya dan ada yang mengingkarinya. Orang-orang mengingkarinya adalah disebabkan mereka tidak yakin manusia yang telah mati dan dihancurkan tulang belulangnya akan dihidupkan semula.

Ayat 4

كَلَّا سَيَعْلَمُونَ

Sekali-kali tidak, kelak mereka akan mengetahui.

Lalu dalam ayat ini, Allah Swt mengingkari dan menegaskan bahawa mereka tidak perlu lagi berselisih pendapat kerana perkara ini datangnya daripada-Nya. Mereka kelak akan mengetahui akibat daripada pengingkaran mereka.

Ayat 5

ثُمَّ كَلَّا سَيَعْلَمُونَ

Kemudian sekali-kali tidak, kelak mereka akan mengetahui.

Ini merupakan peringatan yang tegas dan ancaman yang keras. Mereka benar-benar akan mengetahui kebenaran dan apa-apa yang mereka dustakan dan ingkari. Sesungguhnya mereka pasti akan menerima azab yang pedih yang dijanjikan oleh Allah Swt.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sumpah yang bersungguh-sungguh, “Allah tidak akan membangkitkan orang yang mati.” (Tidak demikian), bahkan (pasti Allah akan membangkitkannya), sebagai suatu janji yang benar daripada-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui, agar Dia menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu, agar orang-orang kafir itu mengetahui bahawa merekalah orang-orang yang berdusta.”

An-Nahl 16:38-39