Surah 77: Al-Mursalat (1 – 15)

Sumpah Allah Swt tentang Kiamat

Surah 77: Al-Mursalat (1 – 15)


Ayat 1

وَٱلْمُرْسَلَـٰتِ عُرْفًا

Demi (malaikat-malaikat) yang diutus untuk membawa kebaikan.

Allah Swt memulai surah ini dengan bersumpah dengan menyebut ciptaan-Nya iaitu para malaikat yang diutus membawa angin yang baik dan kebaikan.

Sebahagian mufassir berpendapat bahawa Allah Swt bersumpah dengan menyebut angin-angin yang dikirim.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Dia-lah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan)……….”

Al-Furqan 25:48

Ayat 2

فَٱلْعَـٰصِفَـٰتِ عَصْفًا

Dan (malaikat-malaikat) yang terbang dengan kencangnya.

Allah Swt juga bersumpah dengan para malaikat yang terbang cepat untuk melaksanakan perintah-Nya. Ada juga yang mentafsirkan bahawa Dia bersumpah dengan angin yang bertiup kencang.

Ayat 3

وَٱلنَّـٰشِرَٰتِ نَشْرًا

Dan (malaikat-malaikat) yang menyebarkan (rahmat Allah) dengan seluas-luasnya.

Seterusnya, Allah Swt bersumpah dengan ‘An-Naasyiraat ٱلنَّشِرَٰتِ iaitu para malaikat yang ditugaskan mengendalikan awan untuk dibawa ke mana-mana yang dikehendaki-Nya bertujuan menyebarkan rahmat-Nya dengan seluas-luasnya berupa hujan yang menjadi sumber kehidupan makhluk-Nya.

Ayat 4

فَٱلْفَـٰرِقَـٰتِ فَرْقًا

Dan (malaikat-malaikat) yang membezakan (antara yang benar dan yang salah) dengan sejelas-jelasnya.

Ayat 5

فَٱلْمُلْقِيَـٰتِ ذِكْرًا

Dan (malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu.

Ayat 6

عُذْرًا أَوْ نُذْرًا

Untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan.

Kemudian Allah Swt bersumpah dengan para malaikat yang turun kepada para rasul bagi menjelaskan perkara-perkara yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan juga malaikat yang menyampaikan wahyu kepada para rasul sebagai peringatan kepada umat manusia.

Sumpah-sumpah Allah Swt dalam ayat di atas dan ayat-ayat sebelumnya adalah untuk memberikan alasan kepada segolongan orang-orang yang tidak mahu beriman. Selain itu menjadi peringatan kepada golongan yang mahu menerima dan beriman.

Ayat 7

إِنَّمَا تُوعَدُونَ لَوَٰقِعٌ

Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu pasti terjadi.

Inilah isi sumpah Allah Swt dalam ayat-ayat sebelum ini iaitu sesungguhnya apa yang dijanjikan-Nya kepada orang-orang kafir Mekah tentang hari berbangkit dan azab yang akan menimpa mereka pasti terjadi dan tidak mustahil.

Ayat 8

فَإِذَا ٱلنُّجُومُ طُمِسَتْ

Maka apabila bintang-bintang dihapuskan.

Ayat 9

وَإِذَا ٱلسَّمَآءُ فُرِجَتْ

Dan apabila langit terbelah.

Ayat 10

وَإِذَا ٱلْجِبَالُ نُسِفَتْ

Dan apabila gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu.

Allah Swt menjelaskan bahawa berlaku kiamat itu apabila terhapusnya bintang-bintang dan hilang cahayanya serta langit pun pecah berkecai. Begitu juga dengan gunung-gunung hancur menjadi debu yang berterbangan.

Tujuan ayat-ayat ini diturunkan Allah Swt adalah untuk menakut-nakutkan orang-orang kafir tentang kejadian hari tersebut.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan apabila bintang-bintang jatuh bertaburan.”

Al-Infitar 82:2

“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang gunung-gunung, maka katakanlah, ‘Rabbku akan menghancurkannya pada Hari Kiamat dengan sehancur-hancurnya. Maka Dia akan menjadikan (bekas) gunung-gunung itu datar sama sekali, tidak ada sedikitpun kamu lihat padanya tempat yang rendah dan yang tinggi-tinggi.’”

Taha 20:105-107

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami menerbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat bumi itu rata dan Kami kumpulkan mereka (seluruh manusia), dan Kami tidak akan tinggalkan seorang pun daripada mereka.”

Al-Kahfi 18:47

Ayat 11

وَإِذَا ٱلرُّسُلُ أُقِّتَتْ

Dan apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktunya.

Pada hari itu para rasul akan berkumpul dan hadir menjadi saksi, tepat pada waktu yang telah ditentukan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“(Ingatlah), hari pada waktu Allah mengumpulkan para rasul lalu Dia bertanya (kepada mereka), ‘Apa jawapan kaummu terhadap (seruan)mu?…………..’

Al-Ma’idah 5:109

“Dan bumi (Mahsyar) menjadi terang benderang dengan cahaya (keadilan) Rabbnya, dan buku-buku (perhitungan perbuatan mereka) diberikan (kepada mereka masing-masing), nabi-nabi dan saksi-saksi pun dihadirkan lalu diberikan keputusan di antara mereka secara adil, sedang mereka tidak dirugikan.”

Az-Zumar 39:69

Ayat 12

لِأَىِّ يَوْمٍ أُجِّلَتْ

(Nescaya dikatakan kepada mereka), “Sampai hari apakah ditangguhkan (azab orang-orang kafir itu)?”

Ayat 13

لِيَوْمِ ٱلْفَصْلِ

Sampai hari keputusan.

Ayat 14

وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا يَوْمُ ٱلْفَصْلِ

Dan tahukah kamu apakah hari keputusan itu?

Ayat 15

وَيْلٌ يَوْمَئِذٍ لِّلْمُكَذِّبِينَ

Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.

Ayat-ayat ini merupakan ancaman kepada orang-orang yang tidak mempercayai adanya Hari Kiamat iaitu hari Allah Swt memberi keputusan. Dia telah memberitahu dengan bersumpah kepada mereka tentang hari keputusan tersebut, namun mereka tetap tidak mahu membenarkan beritanya sehingga mereka berhak mendapatkan hukuman yang berat.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Oleh itu, jangan sekali-kali kamu mengira bahawa Allah mengingkari janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa dan menguasai pembalasan. (Iaitu) pada hari ketika bumi digantikan dengan bumi yang lain dan (demikian pula) langit, dan mereka (manusia) berkumpul di (Padang Mahsyar) menghadap Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.”

Ibrahim 14:47-48