Panduan dan Keteguhan Hidayah
Surah 76: Al-Ihsan (23 – 31)
Ayat 23
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ ٱلْقُرْءَانَ تَنزِيلًا
Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran kepadamu (Muhammad) secara beransur-ansur.
Ayat 24
فَٱصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ وَلَا تُطِعْ مِنْهُمْ ءَاثِمًا أَوْ كَفُورًا
Maka bersabarlah untuk (melaksanakan) ketetapan Rabbmu, dan janganlah engkau ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia menurunkan Al-Quran kepada Rasulullah saw secara beransur-ansur. Baginda diminta agar bersabar terhadap ketetapan dan ketentuan-Nya dan Dia-lah yang akan mengatur segala urusan baginda dengan sebaik-baiknya.
Baginda juga diperintahkan oleh Allah Swt supaya tidak mematuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik yang ingin menghalangnya menyampaikan apa yang telah diturunkan-Nya kepada baginda. Sebaliknya baginda diperintahkan supaya tetap menyampaikan risalah-Nya dan bertawakkal kepada-Nya. Sesungguhnya Dia akan melindungi baginda daripada orang-orang yang melakukan dosa.
Ayat 25
وَٱذْكُرِ ٱسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Dan sebutlah nama Rabbmu pada (waktu) pagi dan petang.
Ayat 26
وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَٱسْجُدْ لَهُۥ وَسَبِّحْهُ لَيْلًا طَوِيلًا
Dan pada sebahagian malam, sujudlah kepada-Nya, dan bertasbihlah kepada-Nya pada bahagian yang panjang pada malam hari.
Rasulullah saw juga diperintahkan supaya sentiasa mengingati Allah Swt dengan menunaikan solat pada waktu siang dan malamnya iaitu solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya’. Juga pada sebahagian malam hendaklah mendirikan solat sunat tahajjud.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah engkau (Muhammad) sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkat engkau ke tempat yang terpuji.”
Al-Isra’ 17:79
“Wahai orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurang sedikit daripadanya. Atau lebih daripada (seperdua) itu, dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”
Al-Muzammil 73:1-4
Ayat 27
إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ يُحِبُّونَ ٱلْعَاجِلَةَ وَيَذَرُونَ وَرَآءَهُمْ يَوْمًا ثَقِيلًا
Sesungguhnya mereka (orang kafir) menyukai kehidupan dunia dan mereka tidak mempedulikan kesudahan mereka, pada hari yang berat (Hari Akhirat).
Sesungguhnya orang-orang kafir Mekah dan yang seperti mereka menyukai kehidupan dunia dengan menikmati kemewahan dan menuruti syahwat mereka. Mereka meninggalkan atau berpaling daripada peringatan tentang kedahsyatan dan kegentingan Hari Kiamat. Oleh itu, mereka tidak mempersiapkan bekalan untuk hari tersebut dan tidak mahu bersusah payah untuknya.
Hari Kiamat dipanggil hari yang berat kerana itulah hari yang penuh dengan kedahsyatan dan kegentingan. Ayat ini juga mengandungi celaan dan penghinaan kepada orang-orang yang mencintai dunia dan meninggalkan akhirat.
Ayat 28
نَّحْنُ خَلَقْنَـٰهُمْ وَشَدَدْنَآ أَسْرَهُمْ ۖ وَإِذَا شِئْنَا بَدَّلْنَآ أَمْثَـٰلَهُمْ تَبْدِيلًا
Kami telah menciptakan mereka dan menguatkan sendi-sendi tubuh mereka, apabila Kami menghendaki, Kami benar-benar mengganti (mereka) dengan orang-orang yang serupa dengan mereka.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menciptakan manusia daripada tiada kepada ada dan menguatkan sendi-sendi yang terdapat pada tubuh badan mereka sehingga mereka menjadi kuat.
Allah Swt juga menyatakan bahawa Dia boleh membinasakan mereka dan menggantikan mereka dengan kaum yang lain. Sesungguhnya Dia berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Jika Allah menghendaki, nescaya dimusnahkan-Nya kamu semua wahai manusia, dan Dia datangkan umat yang lain (sebagai penggantimu). Dan Allah Maha Kuasa melakukan demikian.”
An-Nisa’ 4:133
“……….Jika Dia menghendaki, nescaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu), dan yang demikian itu sekali-kali tidak sukar bagi Allah.”
Ibrahim 14:19-20
Ayat 29
إِنَّ هَـٰذِهِۦ تَذْكِرَةٌ ۖ فَمَن شَآءَ ٱتَّخَذَ إِلَىٰ رَبِّهِۦ سَبِيلًا
Sesungguhnya (ayat-ayat) ini adalah suatu peringatan, maka barangsiapa yang menghendaki (kebaikan bagi dirinya), nescaya dia mengambil jalan kepada Rabbnya.
Setelah Allah Swt menjelaskan keadaan orang-orang yang bahagia dan orang-orang yang celaka, lalu dalam ayat ini Dia menjelaskan faedah Al-Quran.
Sesungguhnya ayat-ayat Al-Quran mengandungi petunjuk, nasihat dan peringatan. Sesiapa yang ingin mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat, dia pasti akan memilih agama Allah Swt untuk diikutinya.
Ayat 30
وَمَا تَشَآءُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dan kamu tidak mampu (menempuh jalan itu), kecuali jika dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Allah Swt Maha Mengetahui ketetapan baik dan buruk bagi hamba-hamba-Nya. Dia mengetahui orang yang berhak menerima petunjuk, lalu Dia memudahkan orang itu untuk mendapatkan-Nya dan menyediakan sebab-sebab untuk mendapat petunjuk itu.
Oleh itu sesiapa yang Dia beri petunjuk, maka tidak ada seorang pun yang mampu menyesatkannya dan sesiapa yang Dia sesatkan, maka tidak ada seorang pun yang mampu memberinya petunjuk.
Ayat 31
يُدْخِلُ مَن يَشَآءُ فِى رَحْمَتِهِۦ ۚ وَٱلظَّـٰلِمِينَ أَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًۢا
Dia memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya (syurga). Dan bagi orang-orang zalim, disediakan-Nya azab yang pedih.
Pada akhir surah ini, Allah Swt menyatakan bahawa sesiapa di antara hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, akan dimasukkan ke dalam syurga dan mendapat keredhaan-Nya. Orang-orang musyrik yang zalim dan mati dalam keadaan syirik akan ditimpakan azab yang sangat pedih. Wal’iyazubillahi min zalik.