Surah 76: Al-Ihsan (13 – 22)

Kehidupan Penghuni Syurga Penuh dengan Kenikmatan

Surah 76: Al-Ihsan (13 – 22)


Ayat 13

مُّتَّكِـِٔينَ فِيهَا عَلَى ٱلْأَرَآئِكِ ۖ لَا يَرَوْنَ فِيهَا شَمْسًا وَلَا زَمْهَرِيرًا

Di dalamnya mereka duduk bersandar di atas pelamin, mereka tidak merasakan (teriknya) matahari dan tidak pula kesejukan yang bersangatan.

Allah Swt menceritakan keadaan para penghuni syurga dengan pelbagai kenikmatan yang mereka peroleh di dalam syurga.

Mereka duduk di atas tempat tidur dan dalam keadaan tidak merasakan teriknya matahari dan tidak pula dingin yang bersangatan.

Ayat 14

وَدَانِيَةً عَلَيْهِمْ ظِلَـٰلُهَا وَذُلِّلَتْ قُطُوفُهَا تَذْلِيلًا

Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat sekali di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya.

Mereka dinaungi oleh pokok-pokok rendang yang terdapat di sekeliling mereka dan yang mereka rasai hanyalah suasana yang sangat nyaman.

Buah-buahannya pula mudah dipetik dan dijangkau oleh sesiapa sahaja yang menginginkannya sama ada ketika mereka sedang berdiri, duduk ataupun berbaring kerana dahannya akan mendekat kepadanya dan ia turun dari tempat yang tinggi seolah-olah ia adalah pendengar yang patuh. Pohonnya pula tiada yang berduri dan tidak tinggi. Semuanya amat mudah bagi penghuni syurga menikmatinya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“……….dan buah-buahan di kedua-dua syurga itu dapat (dipetik) dari dekat.”

Ar-Rahman 55:54

“Buah-buahannya dekat.”

Al-Haqqah 69:23

Ayat 15

وَيُطَافُ عَلَيْهِم بِـَٔانِيَةٍ مِّن فِضَّةٍ وَأَكْوَابٍ كَانَتْ قَوَارِيرَا۠

Dan diedarkan kepada mereka bekas-bekas daripada perak dan piala-piala yang jernih laksana kaca.

Para pelayan mengelilingi mereka dengan bekas-bekas berisi makanan yang dibuat daripada perak dan piala-piala (gelas yang tiada pemegang) yang dapat dilihat bahagian dalamnya dari luar.

Ayat 16

قَوَارِيرَا۟ مِن فِضَّةٍ قَدَّرُوهَا تَقْدِيرًا

(Iaitu) kaca-kaca yang diperbuat daripada perak, mereka (pelayan-pelayan) anggarkan isi minuman dalam bekas itu sekadar yang cukup (dengan kehendak penggunanya).

Allah Swt menyatakan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang membawa bekas-bekas makanan dan juga gelas-gelas minuman yang dibuat daripada perak. Gelas itu pula jernih sehingga dapat dilihat dari luarnya apa yang ada di dalamnya. Keadaan ini tiada tandingannya di dunia.

Ukuran bekas makanan dan gelas minuman pula disesuaikan mengikut kadar kekenyangan dan rasa dahaga penghuni syurga, tidak lebih dan tidak juga kurang. Ini menunjukkan bahawa penghuni syurga benar-benar diberi perhatian, kemuliaan dan penghormatan.

Ayat 17

وَيُسْقَوْنَ فِيهَا كَأْسًا كَانَ مِزَاجُهَا زَنجَبِيلًا

Di dalam syurga itu mereka diberi segelas minuman bercampur halia.

Mereka akan diberi minuman yang dicampur dengan halia. Kadang-kadang diberi juga minuman yang dicampur dengan air kafur yang dingin, dan pada saat yang lain diberi minuman yang bercampur halia yang panas, agar ada keseimbangan antara minuman sejuk dan minuman panas kepada mereka.

Ayat 18

عَيْنًا فِيهَا تُسَمَّىٰ سَلْسَبِيلًا

(Yang didatangkan dari) sebuah mata air (di syurga) yang dinamakan Salsabil.

Ada pendapat mengatakan minuman tersebut adalah arak yang dicampur dengan halia yang keluar dari mata air di syurga yang dinamakan Salsabil.

Ayat 19

وَيَطُوفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَٰنٌ مُّخَلَّدُونَ إِذَا رَأَيْتَهُمْ حَسِبْتَهُمْ لُؤْلُؤًا مَّنثُورًا

Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang tetap muda. Apabila engkau melihat mereka, engkau akan menyangka mereka mutiara yang bertaburan.

Mereka juga dikelilingi oleh pelayan-pelayan yang sentiasa muda, tidak berubah dan umur mereka tidak bertambah. Pelayan-pelayan ini berwajah cerah, berkulit putih serta mengenakan pakaian dan perhiasan yang indah.

Oleh sebab bilangan pelayan-pelayan itu ramai, mereka bertebaran melayani penghuni syurga sehingga mereka diibaratkan seperti mutiara yang bertaburan. Tidak ada perumpamaan yang lebih indah daripada perumpamaan ini dan tiada permandangan yang lebih indah daripada mutiara yang bertebaran di tempat yang baik.

Ayat 20

وَإِذَا رَأَيْتَ ثَمَّ رَأَيْتَ نَعِيمًا وَمُلْكًا كَبِيرًا

Dan apabila engkau melihat (keadaan) di sana (syurga), nescaya engkau akan melihat pelbagai macam kenikmatan dan kerajaan yang besar.

Allah Swt menyatakan kepada Rasulullah saw bahawa syurga itu penuh dengan kenikmatan, kegembiraan dan kesenangan. Kerajaan dan kekuasaan-Nya adalah sangat besar dan amatlah hebat.

Sesungguhnya Allah Swt boleh memberi apa sahaja yang Dia kehendaki kepada hamba-hamba-Nya yang kedudukannya paling rendah hinggalah kepada yang lebih tinggi kedudukannya dan lebih mulia di sisi-Nya.

Dalam sebuah hadis sahih, Allah Swt berfirman kepada orang terakhir yang keluar dari neraka dan terakhir masuk syurga:

“Sesungguhnya untukmu seperti dunia dan sepuluh kali ganda daripadanya.”

(HR. Muslim)

Ayat 21

عَـٰلِيَهُمْ ثِيَابُ سُندُسٍ خُضْرٌ وَإِسْتَبْرَقٌ ۖ وَحُلُّوٓا۟ أَسَاوِرَ مِن فِضَّةٍ وَسَقَىٰهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًا طَهُورًا

Mereka berpakaian sutera hijau yang halus dan sutera tebal serta dipakaikan kepada mereka gelang dibuat daripada perak, dan Rabb mereka memberikan kepada mereka minuman yang bersih (dan suci).

Manakala pakaian penghuni syurga pula dibuat daripada sutera, ada di antaranya halus dan bernilai tinggi yang dipakai di badan dan ada yang tebal berkilauan dipakai di bahagian luar.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Mereka akan mendapat) syurga ‘Adn, mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan gelang-gelang daripada emas dan mutiara, dan pakaian mereka di dalamnya adalah sutera.”

Fatir 35:33

Ada sebahagian ahli tafsir mengatakan bahawa maksud minuman yang bersih itu ialah minuman yang akan menyucikan batin mereka daripada sifat kedengkian, dendam, benci dan semua akhlak yang tercela.

Ayat 22

إِنَّ هَـٰذَا كَانَ لَكُمْ جَزَآءً وَكَانَ سَعْيُكُم مَّشْكُورًا

Sesungguhnya inilah balasan untukmu, dan segala usahamu adalah disyukuri (diberi balasan).

Allah Swt mengatakan bahawa semua kenikmatan ini adalah balasan atas keimanan dan ketakwaan mereka serta amal-amal soleh yang mereka lakukan selama hidup di dunia dahulu dan Dia menghargai serta menerima usaha-usaha mereka. Semoga kita termasuk dalam golongan ini. Allahumma aamin.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dikatakan kepada mereka, ‘Makan dan minumlah dengan nikmat kerana amalan yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu.’”

Al-Haqqah 69:24

“……….dan diserukan kepada mereka, ‘Itulah syurga yang telah diwariskan kepadamu, kerana apa yang telah kamu lakukan.’”

Al-A’raf 7:43