Tidaklah Allah Swt Menciptakan Manusia dengan Sia-sia
Surah 75: Al-Qiyamah (31 – 40)
Ayat 31
فَلَا صَدَّقَ وَلَا صَلَّىٰ
Dan dia tidak mahu membenarkan (rasul dan Al-Quran) dan tidak mahu mengerjakan solat.
Ayat 32
وَلَـٰكِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ
Tetapi dia mendustakan (rasul) dan berpaling (daripada kebenaran).
Ayat 33
ثُمَّ ذَهَبَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ يَتَمَطَّىٰٓ
Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan berlagak (sombong).
Ayat 31 hingga 33 di atas menceritakan keadaan orang kafir yang ketika di dunia dahulu mendustakan perkara yang benar serta menyombongkan diri. Dalam dirinya langsung tidak ada kebaikan baik secara zahir mahupun batin.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya dia dahulu (di dunia) bergembira di kalangan keluarganya (yang sama-sama kafir). Sesungguhnya dia menyangka bahawa dia tidak akan kembali (kepada Rabbnya). (Bukan demikian), yang benar, sesungguhnya Rabbnya selalu melihatnya.”
Al-Insyiqaq 84:13-15
Ayat 34
أَوْلَىٰ لَكَ فَأَوْلَىٰ
Kecelakaanlah bagi kamu (wahai orang kafir) dan kecelakaanlah bagimu.
Ayat 35
ثُمَّ أَوْلَىٰ لَكَ فَأَوْلَىٰٓ
Kemudian kecelakaanlah bagi kamu (wahai orang kafir) dan kecelakaanlah bagimu.
Ini merupakan ancaman yang keras daripada Allah Swt, ditujukan kepada orang kafir yang tidak menghiraukan peringatan-Nya dan sombong dengan penciptanya.
Abu ‘Abdurrahman An-Nasa’i meriwayatkan daripada Sa’id bin Jubair, dia berkata, dia bertanya kepada Ibnu ‘Abbas ra tentang firman Allah, “Kecelakaanlah bagimu (wahai orang kafir) dan kecelakaanlah bagimu, kemudian kecelakaanlah bagimu (wahai orang kafir), dan kecelakaanlah bagimu.” (Al-Qiyamah: 34-35)
Ibnu ‘Abbas ra menjawab bahawa itu dikatakan oleh Rasulullah saw kepada Abu Jahal, kemudian Allah Swt menurunkan wahyu yang menyokong baginda.
Ibnu Abu Hatim meriwayatkan daripada Qatadah berkaitan dengan ayat, “Kecelakaanlah bagimu (wahai orang kafir) dan kecelakaanlah bagimu, kemudian kecelakaanlah bagimu (wahai orang kafir), dan kecelakaanlah bagimu.” (Al-Qiyamah: 34-35) adalah ancaman yang berulang.
Ayat 36
أَيَحْسَبُ ٱلْإِنسَـٰنُ أَن يُتْرَكَ سُدًى
Apakah manusia menyangka, dia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa bertanggungjawab)?
Kemudian Allah Swt bertanya adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan begitu sahaja tanpa dibangkitkan dan diadili atas segala perbuatan mereka. Adakah manusia menyangka bahawa mereka dijadikan tanpa tujuan tanpa ada perintah dan larangan? Sedangkan ini adalah bertentangan dengan keadilan-Nya.
Ayat ini mempunyai dua pengertian iaitu:
▪️ Manusia tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa ada perintah dan larangan.
▪️ Mereka tidak dibiarkan sahaja di dalam kubur tanpa dibangkitkan semula pada Hari Kiamat.
Ayat 37
أَلَمْ يَكُ نُطْفَةً مِّن مَّنِىٍّۢ يُمْنَىٰ
Bukankah dia dahulu setitis mani yang ditumpahkan (ke dalam rahim).
Ayat 38
ثُمَّ كَانَ عَلَقَةً فَخَلَقَ فَسَوَّىٰ
Kemudian (mani itu) menjadi segumpal darah, lalu Allah menciptakannya, dan menyempurnakannya.
Ayat 39
فَجَعَلَ مِنْهُ ٱلزَّوْجَيْنِ ٱلذَّكَرَ وَٱلْأُنثَىٰٓ
Lalu Dia menjadikan daripadanya sepasang lelaki dan perempuan.
Ayat 40
أَلَيْسَ ذَٰلِكَ بِقَـٰدِرٍ عَلَىٰٓ أَن يُحْـِۧىَ ٱلْمَوْتَىٰ
Bukankah (Allah yang berbuat) demikian berkuasa (pula) menghidupkan orang mati?
Kemudian Allah Swt mengingatkan hamba-hamba-Nya bagaimana Dia menciptakan manusia daripada setitik mani yang lemah dan dibentuk dengan begitu sempurna. Oleh itu, kekuasaan-Nya untuk mengembalikan mereka seperti asal adalah mudah sebagaimana Dia menciptakannya pada pertama kali.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Dia-lah yang memulakan penciptaan, kemudian mengulanginya kembali, dan itu mudah bagi-Nya……….”
Ar-Rum 30:27