Keadaan Orang Mukmin dan Orang Kafir di Akhirat Kelak
Surah 75: Al-Qiyamah (22 – 25)
Ayat 22
وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ
Wajah-wajah (orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.
Ayat 23
إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ
Kepada Rabbnya-lah mereka melihat.
Dalam ayat-ayat ini, Allah Swt menjelaskan keadaan orang-orang mukmin di akhirat iaitu wajah mereka indah berseri-seri, cerah dan bercahaya. Mereka gembira kerana dapat melihat Rabb mereka secara nyata dengan mata mereka sendiri.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Bagi orang-orang yang melakukan kebaikan, disediakan baginya pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya (nikmat melihat Allah)……….”
Yunus 10:26
Daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah ra menyebutkan bahawa beberapa orang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah kami dapat melihat Rabb kami pada Hari Kiamat?” Rasulullah saw bersabda:
“Apakah kalian terganggu saat melihat matahari dan bulan tanpa dihalangi awan?” Mereka menjawab, “Tidak.” Rasulullah saw bersabda:
“Demikianlah kalian akan melihat Rabb kalian.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam kitab Sahihain daripada Jarir, disebutkan bahawa Rasulullah saw memandang bulan pada malam purnama, lalu bersabda:
“Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian sebagaimana kalian melihat bulan ini. Apabila kalian mampu menjaga solat sebelum matahari terbit dan sebelum tenggelamnya, maka lakukanlah.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 24
وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ بَاسِرَةٌ
Dan wajah-wajah (orang kafir) pada hari itu muram.
Ayat 25
تَظُنُّ أَن يُفْعَلَ بِهَا فَاقِرَةٌ
Mereka yakin bahawa akan ditimpakan kepada mereka malapetaka yang sangat dahsyat.
Beginilah gambaran penampilan wajah orang-orang yang derhaka kelak pada Hari Kiamat. Ini kerana mereka meyakini bahawa mereka akan dimasukkan ke neraka.
Qatadah mengatakan mereka bermuka masam. Manakala As-Saddi mengatakan, raut wajah mereka berubah.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Pada hari itu banyak wajah yang tertunduk hina. Mereka bekerja keras lagi berpenat lelah. Mereka tetap menderita memasuki api yang sangat panas (neraka). Diberi minum daripada sumber mata air yang sangat panas. Tidak ada makanan bagi mereka selain daripada pohon yang berduri. Yang tidak menggemukkan dan tidak menghilangkan lapar.”
Al-Ghasiyah 88:2-7
“Pada hari yang pada waktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram……………”
Ali ‘Imran 3:106