Surah 75: Al-Qiyamah (16 – 19)

Penjagaan Al-Quran

Surah 75: Al-Qiyamah (16 – 19)


Ayat 16

لَا تُحَرِّكْ بِهِۦ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِۦٓ

Janganlah engkau (Muhammad) gerakkan lidahmu (untuk membaca Al-Quran) kerana hendak cepat-cepat menguasainya.

Allah Swt membimbing Nabi Muhammad saw cara menerima wahyu daripada malaikat yang ditugaskan-Nya iaitu Jibril as. Baginda selalu terburu-buru menerimanya dan mendahului malaikat dalam mengulangi membacanya kerana bimbang baginda akan lupa atau bacaan tersebut hilang daripadanya.

Oleh itu, Allah Swt memerintahkan baginda supaya mendengarkan wahyu itu terlebih dahulu sehingga Jibril as menyelesaikan penyampaiannya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai diwahyukan kepadamu, dan katakanlah, ‘Wahai Rabbku, tambahkanlah ilmu kepadaku.’”

Taha 20:114

Ayat 17

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُۥ وَقُرْءَانَهُۥ

Sesungguhnya atas tanggungan Kami-lah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatkanmu pandai) membacanya.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang akan menjamin baginda untuk dapat menghimpunkan wahyu-Nya di dalam dadanya dan memudahkannya menyampaikan sesuai dengan apa yang baginda terima daripada Jibril as.

Ayat 18

فَإِذَا قَرَأْنَـٰهُ فَٱتَّبِعْ قُرْءَانَهُۥ

Apabila Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu.

Oleh itu, apabila Jibril as telah selesai membacakannya kepada baginda, lalu bacalah sebagaimana dibacakannya kepadanya.

Ayat 19

ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُۥ

Kemudian sesungguhnya atas tanggungan Kami-lah penjelasannya.

Allah-lah yang menjelaskan maksud Al-Quran kepada Rasulullah saw untuk disampaikan kepada manusia.

Selepas penghafalan dan pembacaan Al-Quran, Allah Swt akan menerangkan maksud ayat-ayat tersebut dan mengilhamkan maknanya kepada baginda sesuai yang Dia kehendaki dan syariatkan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Kami tidak menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (Al-Quran) ini, melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”

An-Nahl 16:64