Allah Swt Bersumpah dengan Hari Kiamat dan Orang yang Ingkar Tentangnya
Surah 75: Al-Qiyamah (1 – 15)
Ayat 1
لَآ أُقْسِمُ بِيَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ
Aku bersumpah dengan Hari Kiamat.
Perkataan Qiyamah berasal daripada kalimah ‘qiyam’ yang bermaksud ‘bangkit’. Ini kerana manusia akan dibangkitkan dari kubur masing-masing pada Hari Kiamat nanti.
Dalam ayat ini, Allah Swt bersumpah dengan Hari Kiamat. Allah memulakan dengan perkataan لَا (tidak) untuk memberikan penekanan dan juga untuk menafikan kefahaman orang-orang musyrikin Mekah serta agama lain yang sentiasa menolak adanya Hari Kiamat dan mereka mengatakan tidak akan dibangkitkan jasad-jasad yang telah mati. Ini juga merupakan penekanan bahawa ia adalah sesuatu yang pasti akan berlaku.
Ayat 2
وَلَآ أُقْسِمُ بِٱلنَّفْسِ ٱللَّوَّامَةِ
Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri).
Kemudian Allah Swt bersumpah dengan jiwa yang selalu menyesali dirinya sendiri.
Sebahagian para mufassir berpendapat perkataan النَّفْسِ اللَّوَّامَةِ bermaksud setiap jiwa akan mencela dirinya sendiri dan menyesali perbuatan yang telah lampau sambil menyalahkan dirinya sendiri kerana perbuatan itu. Pada waktu itu, mereka akan menyesal sama ada disebabkan oleh sedikitnya amalan kebaikan ataupun disebabkan keburukan yang telah mereka lakukan.
Ayat 3
أَيَحْسَبُ ٱلْإِنسَـٰنُ أَلَّن نَّجْمَعَ عِظَامَهُۥ
Apakah manusia menyangka, bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya?
Ayat ini merupakan jawapan kepada ayat-ayat sumpah sebelumnya bahawa sesungguhnya Allah Swt mampu mengembalikan dan mengumpulkan semula semua tulang-belulang mereka yang berserakan di merata tempat walau bagaimanapun keadaan tulang itu.
Ayat 4
بَلَىٰ قَـٰدِرِينَ عَلَىٰٓ أَن نُّسَوِّىَ بَنَانَهُۥ
Bukan demikian, sebenarnya Kami berkuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna.
Allah Swt juga menyatakan bahawa, Dia bukan sahaja boleh mencantumkan semula tulang-tulang yang sudah hancur, tetapi sesungguhnya Dia benar-benar berkuasa dan berkemampuan menyusun semula hujung jari jemari yang halus menjadi seperti yang asal dengan sempurna.
Ayat 5
بَلْ يُرِيدُ ٱلْإِنسَـٰنُ لِيَفْجُرَ أَمَامَهُۥ
Bahkan manusia hendak membuat maksiat terus menerus.
Namun manusia pada hakikatnya ingin terus menerus berbuat dosa pada hari-hari mendatang dan menunda taubat. Mereka tidak menyedari sama sekali akan akibat perbuatan mereka.
Ayat 6
يَسْـَٔلُ أَيَّانَ يَوْمُ ٱلْقِيَـٰمَةِ
Dia bertanya, “Bilakah Hari Kiamat itu?”
Oleh itu dengan nada menentang mereka bertanya bilakah akan berlakunya kiamat.
Pertanyaan ini sebenarnya adalah bentuk pengingkaran terhadap Hari Kiamat kerana mereka mengira kiamat itu tidak akan berlaku. Mereka sebenarnya bukanlah ingin mengetahui bila berlaku kiamat tetapi hanya sekadar mengejek.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan mereka berkata, “Bilakah (datangnya) janji itu, jika kamu orang yang benar?” Katakanlah, “Bagimu ada hari yang telah dijanjikan (Hari Kiamat), kamu tidak dapat meminta untuk melambatkan atau mempercepatkan walau sesaat.”
Saba’ 34:29-30
Ayat 7
فَإِذَا بَرِقَ ٱلْبَصَرُ
Maka apabila mata terbelalak (ketakutan).
Allah Swt menjawab ejekan mereka dengan menegaskan ancaman-Nya kepada mereka. Dia menyebutkan tiga keadaan pada Hari Kiamat, iaitu:
▪️ Mata terbelalak kerana kedahsyatan dan kegentingan Hari Kiamat.
Mata manusia pada hari itu akan terbelalak kerana takut yang bersangatan. Mata mereka tidak boleh tetap dan fokus pada satu perkara sahaja disebabkan dahsyatnya suasana pada hari itu. Mereka kebingungan yang amat sangat dengan kejadian dan perkara-perkara kiamat yang mereka saksikan berlaku pada waktu itu.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“………..sedangkan mata mereka tidak berkelip-kelip dan hati mereka kosong.”
Ibrahim 14:43
Ayat 8
وَخَسَفَ ٱلْقَمَرُ
Dan apabila bulan telah hilang cahayanya.
Ayat 9
وَجُمِعَ ٱلشَّمْسُ وَٱلْقَمَرُ
Lalu matahari dan bulan dikumpulkan.
▪️ Cahaya bulan hilang dari pandangan.
▪️ Matahari dan bulan dikumpulkan, maka tidak ada lagi pergantian siang dan malam.
Planet-planet tidak lagi tetap di tempat masing-masing dan akan berlanggar sesama sendiri. Allah Swt hanya menyebut matahari dan bulan kerana matahari dan bulan adalah dua perkara langit yang biasa kita lihat. Namun bukan matahari dan bulan sahaja yang akan hancur tetapi semua planet-planet lain juga akan hancur.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Apabila matahari dipudarkan cahayanya. Dan apabila bintang-bintang berjatuhan.”
At-Takwir 81:1-2
Ayat 10
يَقُولُ ٱلْإِنسَـٰنُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ ٱلْمَفَرُّ
Pada hari itu manusia berkata, “Ke mana tempat untuk lari?”
Ayat 11
كَلَّا لَا وَزَرَ
Sekali-kali tidak! Tidak ada tempat berlindung!
Dalam ayat 10 dan 11 ini, Allah Swt menyatakan apabila berlakunya kiamat, manusia ingin melarikan diri daripada keadaan yang mencemaskan, namun tidak ada lagi tempat untuk berlindung bagi menyelamatkan diri. Sama sekali tidak ada tempat yang selamat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….Pada hari itu kamu tidak ada tempat berlindung dan tidak (pula) dapat mengingkari (dosa-dosamu).”
Asy-Syura 42:47
Ayat 12
إِلَىٰ رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ ٱلْمُسْتَقَرُّ
Hanya kepada Rabbmu sahajalah tempat kembali pada hari itu.
Sesungguhnya tempat berlindung pada hari itu adalah kepada Allah Swt. Kepada-Nya-lah tempat kembali dan akhir kesudahan manusia. Allah Swt yang akan memutuskan dengan seadil-adilnya atas segala urusan manusia.
Ayat 13
يُنَبَّؤُا۟ ٱلْإِنسَـٰنُ يَوْمَئِذٍۭ بِمَا قَدَّمَ وَأَخَّرَ
Pada hari itu diberitakan kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya.
Pada hari itu diberitakan secara jelas dan tegas kepada manusia apa yang telah dikerjakannya dan apa yang dilalaikannya dan tempat kesudahan mereka sama ada di syurga atau di neraka.
Kemudian Allah Swt mengaitkan nasib akhir manusia dengan amal perbuatan mereka ketika di dunia dahulu.
Pada hari itu semua amalan manusia sama ada lama atau baru, kecil atau besar dan setiap lafaz serta langkah semuanya akan dibentangkan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….dan mereka mendapati (semua) yang telah mereka lakukan (tertulis). Dan Rabbmu tidak menzalimi seorang pun.”
Al-Kahfi 18:49
Ayat 14
بَلِ ٱلْإِنسَـٰنُ عَلَىٰ نَفْسِهِۦ بَصِيرَةٌ
Bahkan manusia menjadi saksi ke atas dirinya sendiri.
Setiap insan akan menjadi saksi terhadap dirinya sendiri iaitu semua anggota tubuh badannya turut akan menjadi saksi.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada hari ini yang menghisabnya.”
Al-Isra’ 17:14
Ayat 15
وَلَوْ أَلْقَىٰ مَعَاذِيرَهُۥ
Dan meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.
Walaupun mereka berdebat untuk membela diri dengan pelbagai alasan yang batil, sekali-sekali tidak akan berguna.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….“Kami sekali-kali tidak pernah melakukan sesuatu kejahatan pun.”……….”
An-Nahl 16:28
“Maka pada hari itu tidak bermanfaat (lagi) permintaan keampunan orang-orang yang zalim, dan mereka tidak pula diberi kesempatan untuk bertaubat lagi.”
Ar-Rum 30:57
“Ketika mereka semua dibangkitkan oleh Allah (pada Hari Kiamat), maka mereka bersumpah kepada-Nya (bahawa mereka adalah orang-orang mukmin) sebagaimana mereka biasanya bersumpah kepada kamu, dan mereka menyangka dengan berbuat demikian, mereka akan mendapat sesuatu (yang berfaedah kepada mereka). Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya merekalah golongan pendusta.”
Al-Mujadalah 58:18