
Surah Al-Qiyamah
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 75 |
| Juzuk: | 29 |
| Jumlah Ayat: | 40 |
| Maksud Surah: | Hari Kiamat |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Qiyamah (Hari Kiamat) kerana diambil daripada perkataan Al-Qiyamah yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Surah ini menegaskan kepastian Hari Kiamat, menetapkan akidah kebangkitan semula manusia selepas mati dan menegur sikap manusia yang mencintai kehidupan dunia dan lalai terhadap akhirat.
Isi Kandungan Utama
Kepastian Hari Kiamat: Allah Swt bersumpah dengan Hari Kiamat dan jiwa yang amat menyesal (nafsu lawwamah) bahawa manusia pasti akan dibangkitkan semula.
Penjagaan Al-Quran: Nabi Muhammad saw diminta agar tidak gopoh membaca Al-Quran ketika Jibril as menyampaikannya. Allah menjamin penghimpunan dan bacaan Al-Quran itu di dalam dada baginda.
Kelemahan Manusia: Manusia cenderung mencintai kehidupan dunia yang sementara dan kerap mengabaikan huru-hara serta penyesalan yang bakal berlaku pada hari akhirat.
Keadaan Manusia di Mahsyar: Wajah orang beriman berseri-seri melihat Allah manakala wajah orang kafir muram kerana takut ditimpa azab berat.
Detik Sakaratul Maut: Menggambarkan keadaan nazak seseorang apabila nyawa sampai di kerongkong, ketika mana penyesalan tiada lagi berguna.
Kekuasaan Mutlak Pencipta: Surah ditutup dengan persoalan tentang kekuasaan Allah yang menciptakan manusia daripada air mani lalu menjadi segumpal darah, membuktikan Allah Maha Berkuasa menghidupkan orang mati.