Surah 74: Al-Muddaththir (38 – 53)

Perbualan antara Penghuni Syurga dan Penghuni Neraka

Surah 74: Al-Muddaththir (38 – 53)


Ayat 38

كُلُّ نَفْسٍۭ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya.

Ayat 39

إِلَّآ أَصْحَـٰبَ ٱلْيَمِينِ

Kecuali golongan kanan.

Ayat 40

فِى جَنَّـٰتٍ يَتَسَآءَلُونَ

Berada di dalam syurga, mereka saling bertanya.

Allah Swt menyatakan di akhirat kelak, setiap diri akan dipertanggungjawabkan apa yang mereka lakukan ketika di dunia dahulu kecuali orang-orang mukmin yang menerima buku amalan dengan tangan kanan.

Mereka beriman dan jujur dengan keimanan mereka serta bagus amalan mereka. Maka mereka akan menikmati balasan syurga. Sebahagian mereka akan bertanya kepada sebahagian yang lain tentang keadaan para pendosa di neraka.

Ayat 41

عَنِ ٱلْمُجْرِمِينَ

Tentang (keadaan) orang-orang yang berdosa.

Ayat 42

مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ

“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam Neraka Saqar?”

Dalam ayat-ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa penghuni-penghuni syurga bertanya kepada orang-orang yang berdosa yang menjadi penghuni neraka itu apakah yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam Neraka Saqar.

Ayat 43

قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ

Mereka menjawab, “Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat.

Ayat 44

وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ ٱلْمِسْكِينَ

Dan kami (juga) tidak memberi makan orang miskin.

Ayat 45

وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ ٱلْخَآئِضِينَ

Dan adalah kami membicarakan yang batil, bersama dengan orang-orang yang membicarakannya.

Ayat 46

وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ ٱلدِّينِ

Dan adalah kami mendustakan Hari Pembalasan.

Dalam rangkaian ayat-ayat di atas, penghuni neraka memberitahu bahawa mereka dimasukkan ke neraka disebabkan oleh empat perkara yang mereka lakukan ketika di dunia dahulu iaitu:

▪️  Meninggalkan solat.

▪️  Tidak mengeluarkan zakat.

▪️  Membicarakan perkara yang batil bersama dengan orang-orang yang menyukai kezaliman dan kesesatan sehingga boleh menimbulkan kerosakan.

▪️  Mendustakan Hari Kiamat iaitu Hari Perhitungan dan Pembalasan.

Ayat 47

حَتَّىٰٓ أَتَىٰنَا ٱلْيَقِينُ

Hingga datang kepada kami kematian.”

Begitulah mereka lakukan sehingga datang kematian kepada mereka. Ketika itu barulah mereka sedar tentang adanya hari mereka dihisab dan diberikan balasan setelah dikembalikan kepada Allah Swt sedangkan mereka belum sempat bertaubat daripada dosa-dosa tersebut ketika kematian menjemput mereka. Kalimah ٱلْيَقِينُ dalam ayat ini bermaksud kematian.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan sembahlah Rabbmu sehingga yakin (ajal) datang kepadamu.”

Al-Hijr 15:99

Rasulullah saw bersabda:

“Adapun dia (‘Uthman bin Mazh’un) telah didatangi oleh al-yaqin (ajal) daripada Rabbnya.”

(HR. Al-Baihaqi)

Ayat 48

فَمَا تَنفَعُهُمْ شَفَـٰعَةُ ٱلشَّـٰفِعِينَ

Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat (pertolongan) daripada orang-orang yang memberikan syafaat.

Sesiapa juga yang memiliki sifat-sifat seperti di atas, syafaat daripada pemberi syafaat tidak akan berguna lagi kepadanya. Ini kerana syafaat hanya akan diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sahaja. Orang yang mati dalam keadaan kufur kepada Allah, dia pasti akan kekal di dalam neraka.

Ayat 49

فَمَا لَهُمْ عَنِ ٱلتَّذْكِرَةِ مُعْرِضِينَ

Maka mengapa mereka (orang-orang kafir) berpaling daripada peringatan (Allah)?

Pertanyaan ini ditujukan kepada orang-orang kafir yang mengingkari peringatan yang disampaikan kepada mereka.

Ayat 50

كَأَنَّهُمْ حُمُرٌ مُّسْتَنفِرَةٌ

Seakan-akan mereka keldai liar yang lari terkejut.

Ayat 51

فَرَّتْ مِن قَسْوَرَةٍ

Lari daripada singa.

Kemudian Allah Swt membuat perumpamaan kepada mereka yang berpaling daripada kebenaran dan keimanan seperti keldai liar yang lari daripada singa.

Menurut Abu Hurairah ra, mereka berpaling dan menjauhkan diri daripada kebenaran bagaikan kuda liar yang lari daripada dikejar oleh singa yang ingin menjadikannya sebagai mangsa.

Ayat 52

بَلْ يُرِيدُ كُلُّ ٱمْرِئٍ مِّنْهُمْ أَن يُؤْتَىٰ صُحُفًا مُّنَشَّرَةً

Bahkan setiap orang daripada mereka ingin agar diberikan kepadanya lembaran-lembaran (kitab) yang terbuka.

Ayat 53

كَلَّا ۖ بَل لَّا يَخَافُونَ ٱلْـَٔاخِرَةَ

Sekali-kali tidak. Sebenarnya mereka tidak takut kepada akhirat.

Mujahid dan lain-lain berpendapat bahawa orang-orang kafir menghendaki supaya diturunkan kitab terus kepada mereka sebagaimana diturunkan kitab kepada Nabi Muhammad saw. Inilah bentuk penolakan dan kesombongan mereka yang menyebabkan sampai bila-bila pun orang-orang seperti ini tidak akan mahu beriman.

Oleh itu, Allah Swt menyatakan tidak mungkin sama sekali mereka diberikan wahyu sebagaimana yang diberikan kepada Rasulullah saw. Ini kerana mereka tidak takut kepada akhirat, tidak membenarkan kebangkitan dan pembalasan amal. Allah Swt mengulangi lagi bahawa mustahil mereka diberikan pangkat kenabian.

Allah Swt berfirman dalam ayat yang lain:

“Dan apabila datang suatu ayat kepada mereka, mereka berkata, “Kami tidak akan percaya (beriman) sebelum diberikan kepada kami seperti apa yang diberikan kepada rasul-rasul Allah.” Allah lebih mengetahui di mana Dia meletakkan tugas kerasulan-Nya……….”

Al-An’am 6:124