Asas-asas Berdakwah
Surah 74: Al-Muddaththir (1 – 7)
Ayat 1
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمُدَّثِّرُ
Wahai orang yang berselubung.
Orang yang berselubung dalam ayat ini ialah Rasulullah saw. Ini adalah panggilan yang mesra dan manja daripada Allah Swt kepada baginda.
Selepas Rasulullah saw menerima wahyu pertama di Gua Hira’, namun wahyu telah terhenti seketika. Waktu itulah yang dinamakan sebagai ‘Perhentian Wahyu’. Selepas penurunan surah ini, wahyu diturunkan berterusan kepada baginda.
Daripada Jabir bin ‘Abdullah, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw menceritakan tentang terputusnya wahyu, baginda bersabda:
“Ketika sedang berjalan tiba-tiba aku mendengar suara dari langit, lalu aku mengangkat kepala ke langit dan ternyata malaikat yang telah mendatangiku di gua Hira’ (Jibril as) sedang duduk di kerusi di antara langit dan bumi. Aku terkejut sehingga terduduk di tanah. Akupun bersegera pulang ke rumah dan berkata, “Selimutilah aku, selimutilah aku.” Maka Allah pun menurunkan ayat, “يَـٰٓأَيُّہَا المُدَّ ثِّرُ قُم فَأَنذِر sehingga ayat وَالرُّجزَ فَاهجُر.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 2
قُمْ فَأَنذِرْ
Bangunlah, lalu berilah peringatan!
Rasulullah saw diperintahkan oleh Allah Swt agar bangun memberikan peringatan kepada kaumnya dan dengan ini baginda diangkat menjadi rasul, sedangkan ayat iqra’ (“Bacalah”) menunjukkan baginda diangkat sebagai nabi.
Ayat 3
وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ
Dan Rabbmu agungkanlah!
Rasulullah saw juga diperintahkan berdakwah supaya orang-orang di sekelilingnya membesarkan Allah Swt dengan lisan dan juga perbuatan. Ini kerana Allah sahajalah yang layak dibesarkan dan tidak ada makhluk lain yang layak dibesarkan. Waktu surah ini diturunkan, baginda berada di tengah-tengah masyarakat yang menyembah banyak tuhan.
Ayat 4
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
Dan pakaianmu bersihkanlah.
Ada beberapa pendapat tentang maksud ayat ini, antaranya:
▪️ Perintah agar membersihkan pakaian iaitu dengan tidak mengenakan pakaian yang dibeli dengan wang haram.
▪️ Larangan mengenakan pakaian untuk bermaksiat.
▪️ Membersihkan hati dan niat serta perintah supaya memperbaiki akhlak.
Ayat 5
وَٱلرُّجْزَ فَٱهْجُرْ
Dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah.
Dalam ayat ini terdapat perintah meninggalkan penyembahan berhala kerana masyarakat Arab ketika itu melakukan penyembahan berhala.
Ayat 6
وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ
Dan janganlah engkau (Muhammad) memberi sesuatu untuk mendapatkan (balasan) yang lebih banyak.
Ayat 7
وَلِرَبِّكَ فَٱصْبِرْ
Dan untuk (memenuhi perintah) Rabbmu, bersabarlah.
Allah Swt melarang baginda memberi sesuatu untuk mendapatkan yang lebih banyak. Sebaliknya diperintahkan agar baginda menjadikan kesabaran terhadap tindakan orang-orang yang menyakitkan itu untuk mendapatkan keredhaan-Nya.