Perintah agar Berqiyamullail
Surah 73: Al-Muzammil (1 – 9)
Ayat 1
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمُزَّمِّلُ
Wahai orang yang berselimut (Muhammad).
Allah Swt menyeru Nabi Muhammad saw dengan panggilan ٱلْمُزَّمِّلُ iaitu orang yang berselimut. Ini adalah panggilan yang mesra dan manja dari Allah Swt. Bangsa Arab suka memanggil seseorang dengan keadaan mereka waktu itu. Ketika ayat ini diturunkan, baginda sedang berselimut dan Dia memanggil baginda dengan gelaran orang yang berselimut.
Ada beberapa pendapat tentang ayat ini, iaitu:
▪️ Hal ini berlaku apabila Nabi Muhammad saw kelihatan sangat cemas dan ketakutan selepas menerima wahyu pertama daripada malaikat Jibril as di Gua Hira’. Maka sebaik sahaja baginda tiba di rumahnya baginda meminta isterinya Khadijah ra menyelimutkannya. Lalu turunlah ayat ini untuk menghilangkan perasaan takut dan cemas baginda.
▪️ Rasulullah saw dikatakan sedang berselimut kerana sedang tidur. Ini memberi isyarat bahawa baginda perlu mengurangkan tidur malam disebabkan baginda telah diangkat menjadi rasul dan ada tanggungjawab besar yang perlu baginda lakukan.
Ayat 2
قُمِ ٱلَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا
Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sedikit (daripadanya).
Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw meninggalkan selimut dan bangun bertahajjud kepada-Nya. Rasulullah saw juga diperintahkan supaya meluangkan masa malam baginda bagi mendirikan solat malam.
Perintah mendirikan solat malam ini adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan sebagai persediaan untuk menghadapi urusan agama yang berat.
Demikianlah Rasulullah saw bertahajjud pada malam hari untuk menjalankan perintah-Nya. Qiyamullail merupakan kewajipan atas baginda sahaja.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah engkau (Muhammad) sebagai suatu tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabbmu mengangkat engkau ke tempat yang terpuji.”
Al-Isra’ 17:79
Ayat 3
نِّصْفَهُۥٓ أَوِ ٱنقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا
(iaitu) seperduanya atau kurang sedikit daripadanya.
Ini adalah kadar berapa lama solat malam itu perlu didirikan, sama ada separuh malam, kurang sedikit daripada separuh malam, atau lebih sedikit daripada separuh malam mengikut kemampuan mereka.
Ayat 4
أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ ٱلْقُرْءَانَ تَرْتِيلًا
Atau lebih daripada (seperdua) itu, dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan.
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw agar membaca Al-Quran dengan perlahan-lahan dengan menjelaskan huruf-hurufnya. Ini akan membantu untuk memahami Al-Quran dan merenungkannya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Mereka menjauhkan diri daripada tempat tidur, mereka berdoa kepada Rabb mereka dengan rasa takut dan penuh berharap, dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
As-Sajdah 32:16
Allah Swt menunjukkan cara bagaimana mentilawah (membaca) Al-Quran yang paling baik, iaitu dengan perlahan-lahan dan suara yang bagus dan indah. Makhraj dan tajwid mestilah dijaga dan setiap perkataan itu disebut dengan jelas. Selain itu, berhenti dan menyambung bacaan pada tempat yang sepatutnya kerana ia membantu dalam memahami dan merenungkannya.
Imam Muslim meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra, beliau berkata, “Rasulullah saw pernah membaca satu surah secara perlahan-lahan seolah-olah surah itu lebih panjang daripada surah lain yang panjang.”
Ayat 5
إِنَّا سَنُلْقِى عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا
Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.
Ada pendapat mengatakan maksud, “Perkataan yang berat” dalam ayat ini ialah Al-Quran kerana ajarannya sangat berat dengan kewajipan yang banyak dan terasa berat untuk diamalkan. Ada juga pendapat yang mengatakan berat ketika wahyu diturunkan kepada Nabi saw kerana keagungannya.
Zaid bin Thabit ra mengatakan, “Suatu ketika Rasulullah saw menerima wahyu (Al-Quran), sedang paha baginda di atas pahaku. Maka hampir sahaja paha baginda mematahkan pahaku.”
Ayat 6
إِنَّ نَاشِئَةَ ٱلَّيْلِ هِىَ أَشَدُّ وَطْـًٔا وَأَقْوَمُ قِيلًا
Sesungguhnya bangun pada waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan.
Waktu untuk qiyamullail ialah pada malam hari, selepas solat Isya’ hingga akhir malam. Waktu ini adalah waktu yang sunyi, tenang dan boleh memberi tumpuan dalam solat. Pendengaran dan hati sangat mudah dan jelas untuk memahami makna Al-Quran dan akan lebih terkesan ketika membacanya berbanding solat pada siang hari.
Ayat 7
إِنَّ لَكَ فِى ٱلنَّهَارِ سَبْحًا طَوِيلًا
Sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak).
Ayat 8
وَٱذْكُرِ ٱسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا
Sebutlah nama Rabbmu, dan beribadatlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.
Ayat 9
رَّبُّ ٱلْمَشْرِقِ وَٱلْمَغْرِبِ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ فَٱتَّخِذْهُ وَكِيلًا
(Dia-lah) Rabb timur dan barat, tiada Ilah (yang berhak dibadahi dengan benar) melainkan Dia, maka ambillah Dia sebagai Pelindung.
Dalam rangkaian ayat-ayat di atas, Allah Swt mengatakan bahawa Rasulullah saw sangat sibuk dengan urusan-urusan umatnya juga untuk keperluan harian baginda yang lainnya pada waktu siang. Oleh itu, baginda diperintahkan agar mendirikan solat malam (membaca Al-Quran), berzikir dan beribadah kepada-Nya dengan penuh ikhlas, sesungguhnya Allah-lah Pemilik timur dan barat.
Baginda juga diperintahkan agar menumpukan perhatian kepada Allah dengan penuh ketekunan dan tidak sekali-kali memohon pertolongan daripada selain-Nya dalam menjalankan kewajipannya.