Surah 72: Al-Jin (8 – 10)

Allah Swt Memelihara Rahsia Langit daripada Dicuri Dengar oleh Jin

Surah 72: Al-Jin (8 – 10)


Ayat 8

وَأَنَّا لَمَسْنَا ٱلسَّمَآءَ فَوَجَدْنَـٰهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا

(Jin itu berkata), “Dan sesungguhnya kami telah mencuba untuk mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang ketat dan panah-panah api.

Jin-jin mengatakan sesungguhnya mereka telah mencuba untuk mencuri berita di langit tetapi mereka mendapati para malaikat menjaganya dengan ketat sekali dan terdapat panah-panah api iaitu bintang-bintang yang membakar.

Ayat 9

وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَـٰعِدَ لِلسَّمْعِ ۖ فَمَن يَسْتَمِعِ ٱلْـَٔانَ يَجِدْ لَهُۥ شِهَابًا رَّصَدًا

Dan sesungguhnya kami (jin) dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mencuri dengar (berita-beritanya) tetapi sekarang siapa yang (mencuba) mencuri dengar (seperti itu) pasti akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya).

Sebelum Nabi Muhammmad saw diutuskan menjadi rasul, jin-jin dapat menduduki beberapa tempat di langit untuk mencuri dengar berita-berita dari sana. Namun setelah baginda diangkat menjadi rasul dan Al-Quran diturunkan, sesiapa sahaja yang cuba mencuri dengar berita seperti itu, tentu akan dilontar dengan panah-panah api yang terdiri daripada meteor-meteor yang telah tersedia untuk dilontarkan.

Ayat 10

وَأَنَّا لَا نَدْرِىٓ أَشَرٌّ أُرِيدَ بِمَن فِى ٱلْأَرْضِ أَمْ أَرَادَ بِهِمْ رَبُّهُمْ رَشَدًا

Dan bahawa sesungguhnya kami (jin) tidak mengetahui (dengan adanya kawalan langit yang demikian) apakah keburukan yang dikehendaki bagi penduduk di bumi atau adakah Rabb mereka menghendaki kebaikan bagi mereka?”

Jin-jin itu menyatakan bahawa sesungguhnya mereka tidak mengetahui apakah keburukan yang dikehendaki oleh penduduk bumi sesudah terjaganya langit dengan begitu ketat atau adakah Rabb mereka menghendaki kebaikan buat mereka.

Subhanallah, ungkapan jin muslim ini menunjukkan sikap hormat mereka terhadap Allah Swt kerana mereka tidak menisbahkan keburukan kepada-Nya, sebaliknya mereka menisbahkan kebaikan kepada-Nya dengan mengucapkan, “Apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang tinggal di bumi.” Sekiranya mereka tidak beradab terhadap Allah, tentu mereka mengatakan, “Apakah keburukan yang Allah inginkan untuk penduduk bumi ataukah Dia menginginkan bagi mereka kebaikan?”