Surah 71: Nuh (26 – 28)

Doa Nabi Nuh as

Surah 71: Nuh (26 – 28)


Ayat 26

وَقَالَ نُوحٌ رَّبِّ لَا تَذَرْ عَلَى ٱلْأَرْضِ مِنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ دَيَّارًا

Nuh berkata, “Wahai Rabbku, janganlah Engkau biarkan seorang pun di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi.

Ayat 27

إِنَّكَ إِن تَذَرْهُمْ يُضِلُّوا۟ عِبَادَكَ وَلَا يَلِدُوٓا۟ إِلَّا فَاجِرًا كَفَّارًا

Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir.

Nabi Nuh as berdoa untuk kemusnahan kaumnya yang sesat. Ini kerana baginda bimbang kesesatan mereka itu akan mempengaruhi orang lain menjadi musyrik seperti mereka. Malahan mereka juga akan melahirkan anak-anak yang musyrik.

Inilah doa Nabi Nuh as setelah baginda berdakwah kepada kaumnya siang dan malam selama 950 tahun tanpa mengenal penat dan lelah namun hanya sedikit sahaja yang beriman.

Ayat 28

رَّبِّ ٱغْفِرْ لِى وَلِوَٰلِدَىَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِىَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ وَلَا تَزِدِ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا تَبَارًۢا

Wahai Rabbku! Ampunilah aku, kedua ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman lelaki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan.”

Dalam penutup surah ini, Allah Swt menyatakan bahawa Nabi Nuh as berdoa kepada-Nya untuk keselamatan dirinya, kedua-dua orang tuanya dan orang-orang yang beriman baik lelaki mahupun perempuan. Baginda juga berdoa agar orang-orang yang kufur kepada Allah Swt mendapat kebinasaan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Kesejahteraan (Kami limpahkan) ke atas Nuh di seluruh alam. Sesungguhnya demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat kebaikan. Sesungguhnya dia termasuk di antara hamba-hamba Kami yang beriman.”

As-Saffat 37:79-81

Nabi Nuh as mendoakan seluruh orang yang beriman baik lelaki mahupun perempuan mencakupi semua orang yang hidup mahupun yang sudah mati di antara mereka.

As-Suddi mengatakan maksud ayat, “Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan,” ialah “Melainkan hancur binasa.” Manakala Mujahid mengatakan maksudnya ialah, “Melainkan benar-benar mendapat kerugian, baik di dunia mahupun di akhirat.”