Nabi Nuh as Menyeru Kaumnya agar Memohon Ampun kepada Allah Swt dan Menyedarkan Mereka tentang Kekuasaan-Nya
Surah 71: Nuh (10 – 20)
Ayat 10
فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًا
Maka aku katakan kepada mereka, “Mohonlah keampunan kepada Rabbmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.
Ayat 11
يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا
Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat.
Ayat 12
وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّـٰتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَـٰرًا
Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.
Nabi Nuh as menjelaskan bahawa semasa baginda berdakwah kepada kaumnya, baginda menyuruh kaumnya memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah Swt daripada kekufuran dan kemaksiatan yang telah mereka lakukan.
Nabi Nuh as seterusnya menerangkan kepada kaumnya bahawa sekiranya mereka bertaubat kepada Allah Swt, mereka dijanjikan oleh-Nya lima perkara iaitu Dia akan:
▪️ Mengirimkan hujan yang lebat membolehkan mereka bercucuk tanam.
▪️ Membanyakkan harta sehingga mereka menjadi kaya raya.
▪️ Membanyakkan anak pinak.
▪️ Mengurniakan kepada mereka kebun-kebun yang indah dengan tanaman yang menghasilkan buah-buahan.
▪️ Menyediakan sungai-sungai bagi menyuburkan kebun-kebun mereka.
Jelaslah betapa Nabi Nuh as menasihati kaumnya bahawa tidak ada jalan bagi mendapat keberkatan dari langit dan bumi melainkan mereka beriman dengan Allah Swt kerana di tangan-Nya-lah terletak kunci kekayaan-Nya.
Ayat 13
مَّا لَكُمْ لَا تَرْجُونَ لِلَّهِ وَقَارًا
Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan ayat ini bermaksud mengapa mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang sebenar-benarnya, iaitu mengapa mereka tidak takut kepada azab dan balasan-Nya.
Ayat 14
وَقَدْ خَلَقَكُمْ أَطْوَارًا
Padahal Dia sesungguhnya telah menciptakan kamu dalam beberapa tingkatan kejadian.
Kemudian Nabi Nuh as mengingatkan kaumnya bahawa Allah Swt yang menciptakan mereka dalam beberapa fasa.
Ibnu ‘Abbas ra, ‘Ikrimah, Qatadah, Yahya bin Rafi’, As-Saddi dan Ibnu Zaid mengatakan, peringkat ciptaan manusia bermula daripada air mani, kemudian membentuk segumpal darah dan kemudian segumpal daging.
Ayat 15
أَلَمْ تَرَوْا۟ كَيْفَ خَلَقَ ٱللَّهُ سَبْعَ سَمَـٰوَٰتٍ طِبَاقًا
Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat?
Nabi Nuh as mengingatkan kaumnya bahawa Allah Swt telah menciptakan langit yang bertingkat-tingkat iaitu di atas selapis langit ada lagi selapis langit di atasnya sebanyak tujuh lapis yang sangat indah dan sempurna ciptaan-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Allah-lah yang menciptakan tujuh lapis langit dan Dia (menciptakan bumi) seperti itu, perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi, agar kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas setiap sesuatu, dan sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.”
At-Talaq 65:12
Ayat 16
وَجَعَلَ ٱلْقَمَرَ فِيهِنَّ نُورًا وَجَعَلَ ٱلشَّمْسَ سِرَاجًا
Dan Dia menciptakan padanya bulan sebagai cahaya dan menjadikan matahari sebagai pelita?
Kemudian Nabi Nuh as mengingatkan kaumnya tentang bulan dan matahari ciptaan Allah Swt yang terdapat perbezaan antara kedua-duanya.
Bulan boleh memberi cahaya pada permukaan bumi dan tidak ada rasa panasnya. Manakala matahari pula cahayanya seperti lampu yang menyinari kegelapan dengan menyebarkan cahaya dan bahangnya.
Sesungguhnya masing-masing memiliki tanda tersendiri agar siang dan malam diketahui dengan terbit dan tenggelamnya matahari.
Allah Swt telah menetapkan pula garis-garis edar bagi bulan serta mengubah-ubah pencahayaannya. Adakalanya cahayanya bertambah hingga sempurna, kemudian menurun (berkurang) hingga lenyap tersembunyi bagi menandakan berlalunya sebulan. Setelah 12 bulan, diketahuilah bahawa satu tahun telah berlalu.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan Dia-lah yang menetapkan tempat-tempat peredarannya, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan benar. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui.”
Yunus 10:5
Ayat 17
وَٱللَّهُ أَنۢبَتَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ نَبَاتًا
Dan Allah menumbuhkan kamu dari tanah dengan sebaik-baiknya.
Seterusnya, Nabi Nuh as menjelaskan kepada kaumnya bahawa Allah Swt telah menjadikan manusia bermula dengan Nabi Adam as yang berasal daripada tanah sebagaimana hidupnya tumbuh-tumbuhan di atas muka bumi.
Ayat 18
ثُمَّ يُعِيدُكُمْ فِيهَا وَيُخْرِجُكُمْ إِخْرَاجًا
Kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalam tanah dan mengeluarkan kamu (dari dalamnya pada Hari Kiamat) dengan sebenar-benarnya.
Kemudian sebagaimana Allah Swt menciptakan manusia yang bermula daripada Nabi Adam as yang berasal daripada tanah, maka Dia akan mengembalikan mereka ke dalam bumi dalam keadaan mati dengan dikuburkan.
Seterusnya Allah Swt akan mengeluarkan mereka dari tanah pada Hari Kiamat untuk diberikan balasan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain.”
Taha 20:55
Ayat 19
وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ بِسَاطًا
Dan Allah menjadikan bumi untuk kamu sebagai hamparan.
Ayat 20
لِّتَسْلُكُوا۟ مِنْهَا سُبُلًا فِجَاجًا
Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas di bumi itu.
Dalam ayat 19 dan 20 ini, Nabi Nuh as mengingatkan pula kepada kaumnya tentang keagungan Allah Swt melalui penciptaan bumi yang dijadikan-Nya sebagai hamparan agar senang didiami. Baginda juga menerangkan nikmat-nikmat yang disediakan-Nya kepada manusia di atas muka bumi.
Allah Swt juga menyediakan jalan-jalan di atas permukaan bumi bagi memudahkan manusia berjalan di atasnya dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Sesungguhnya Allah Swt, Dia-lah Pencipta yang wajib disembah dan diesakan dan tidak boleh dipersekutukan dengan sesiapa pun. Ini kerana sesungguhnya Dia tidak memiliki tandingan, tiada lawan, dan tiada yang sepadan dengan-Nya, tidak beranak, tidak mempunyai pembantu, tidak mempunyai penasihat, tetapi Dia-lah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.