Dakwah Nabi Nuh as kepada Kaumnya
Surah 71: Nuh (1 – 4)
Ayat 1
إِنَّآ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦٓ أَنْ أَنذِرْ قَوْمَكَ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan memerintahkan), “Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepada mereka azab yang pedih.”
Allah Swt memulai surah ini dengan menyatakan bahawa Dia telah mengutuskan Nabi Nuh as kepada kaumnya untuk memberikan peringatan kepada mereka sebelum mereka didatangi seksaan yang sangat pedih iaitu ditenggelamkan dalam banjir.
Ayat 2
قَالَ يَـٰقَوْمِ إِنِّى لَكُمْ نَذِيرٌ مُّبِينٌ
Dia (Nuh) berkata, “Wahai kaumku, sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan kepada kamu.
Ayat 3
أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱتَّقُوهُ وَأَطِيعُونِ
(Iaitu) sembahlah olehmu akan Allah, bertakwalah kepada-Nya dan taatlah kepadaku.
Ayat 4
يَغْفِرْ لَكُم مِّن ذُنُوبِكُمْ وَيُؤَخِّرْكُمْ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ أَجَلَ ٱللَّهِ إِذَا جَآءَ لَا يُؤَخَّرُ ۖ لَوْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Nescaya Dia akan mengampuni sebahagian dosa-dosamu dan menangguhkan kamu sampai kepada waktu yang ditentukan. Sesungguhnya ketetapan Allah apabila telah datang tidak dapat ditangguhkan, jikalau kamu mengetahui.”
Dalam rangkaian ayat-ayat di atas pula, Allah Swt menyatakan Nabi Nuh as menyeru kaumnya agar beribadah dan bertakwa hanya kepada-Nya dengan mengikuti segala ajaran yang disampaikan oleh baginda.
Sekiranya mereka membenarkan apa yang dibawa oleh baginda, nescaya Allah Swt akan mengampunkan dosa-dosa mereka dan memanjangkan umur mereka serta menangguhkan azab kepada mereka.
Namun jika mereka tidak menghindari perkara-perkara yang dilarang Allah Swt, pasti Dia akan menimpakan azab kepada mereka.
Ayat ini juga merupakan peringatan Allah Swt kepada hamba-hamba-Nya agar bersegera berbuat taat sebelum azab itu ditimpakan ke atas mereka. Ini kerana jika Dia telah memerintahkan untuk menurunkan azab, nescaya tidak akan ada yang mampu menolak dan menahannya.
Sesungguhnya Allah Swt Maha Agung, Dia-lah Rabb Yang Maha Mengalahkan, Yang Menguasai segala sesuatu, Yang Maha Perkasa yang dengan sebab keperkasaan-Nya-lah semua makhluk tunduk kepada-Nya.