
Surah Al-Ma’arij
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 70 |
| Juzuk: | 29 |
| Jumlah Ayat: | 44 |
| Maksud Surah: | Tampat-tempat Naik |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Al-Ma’arij yang bererti tempat-tempat naik diambil daripada perkataan Al-Ma’arij yang terdapat pada ayat ke-3 surah ini. Para ahli tafsir memberikan beberapa pentafsiran tentang perkara ini antaranya:
▪️ Naiknya para malaikat melalui langit-langit.
▪️ Nikmat yang dikurniakan oleh Allah Swt kepada ahli syurga dengan meninggikan darjat atau tingkatan di syurga.
Surah ini merakamkan cabaran orang kafir meminta azab, kedahsyatan Hari Kiamat, sifat buruk manusia yang keluh-kesah dan ciri-ciri mukmin sejati yang layak menerima syurga.
Isi Kandungan Utama
Tuntutan Azab & Kekuasaan Allah Swt: Amaran kepada golongan kafir yang meminta dan mencabar agar azab segera diturunkan. Azab itu pasti berlaku dan tiada siapa yang mampu menolaknya.
Kedahsyatan Hari Kiamat: Gambaran dahsyatnya Hari Kiamat di mana langit menjadi seperti perak cair dan gunung-ganang seperti bulu yang berterbangan. Hari Kiamat digambarkan sebagai satu hari yang tempoh kesukarannya dirasai mengambil masa selama 50,000 tahun.
Sifat Asal Manusia: Manusia secara tabiat asalnya bersifat keluh-kesah dan bakhil; apabila ditimpa kesusahan dia cemas, dan apabila mendapat kesenangan dia kedekut kecuali orang yang solat.
Ciri-ciri Ahli Syurga:
▪️ Sentiasa menjaga solat.
▪️ Menunaikan hak harta melalui zakat atau sedekah.
▪️ Beriman kepada Hari Pembalasan.
▪️ Takut kepada azab Allah.
▪️ Menjaga kehormatan diri.
▪️ Menunaikan amanah dan janji.
▪️ Teguh memberikan penyaksian yang benar.
Penutup dan Amaran: Amaran keras kepada golongan kafir yang menolak kebenaran bahawa Allah Swt berkuasa membinasakan mereka dan menggantikan dengan kaum yang lebih baik.