Surah 68: Al-Qalam (48 – 50)

Perintah Bersabar dan Larangan Tergesa-Gesa seperti yang Dilakukan oleh Nabi Yunus as

Surah 68: Al-Qalam (48 – 50)


Ayat 48

فَٱصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ وَلَا تَكُن كَصَاحِبِ ٱلْحُوتِ إِذْ نَادَىٰ وَهُوَ مَكْظُومٌ

Maka bersabarlah engkau (wahai Muhammad) terhadap ketetapan Rabbmu, dan janganlah kamu seperti orang (Yunus) yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa sedang dia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).

Permusuhan orang-orang kafir terhadap Nabi Muhammad saw semakin sengit sehingga hampir membunuhnya. Lalu Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw agar sentiasa bersabar terhadap perlakuan buruk orang-orang musyrik.

Nabi Muhammad saw diperintahkan agar terus berdakwah dan tidak menjadikan keingkaran dan pendustaan mereka itu sebagai sebab yang menghalang baginda menyampaikan risalah-Nya. Dia juga mengingatkan baginda agar tidak melakukan seperti saudaranya iaitu Nabi Yunus as ketika baginda dalam keadaan sedih, marah dan kecewa serta tidak sabar lalu pergi meninggalkan kaumnya.

Nabi Yunus as meninggalkan kaumnya dan berlayar di lautan lalu ditelan ikan paus dan berada dalam keadaan gelap gelita. Ketika dalam perut ikan tersebut, Nabi Yunus as berdoa seperti yang difirmankan dalam ayat:

“……….Tidak ada Ilah selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sesungguhnya, aku termasuk orang-orang yang zalim.”

Al-Anbiya’ 21:87

Doa baginda diperkenankan oleh Allah Swt sebagaimana firman-Nya dalam ayat-ayat:

“Maka Kami kabulkan doanya dan Kami selamatkan dia daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.”

Al-Anbiya’ 21:88

“Maka jika baginda tidak termasuk orang yang banyak berzikir (tasbih) kepada Allah, nescaya baginda akan tetap tinggal di dalam perut (ikan itu) sehingga Hari Kebangkitan.”

As-Saffat 37:143-144

Ayat 49

لَّوْلَآ أَن تَدَٰرَكَهُۥ نِعْمَةٌ مِّن رَّبِّهِۦ لَنُبِذَ بِٱلْعَرَآءِ وَهُوَ مَذْمُومٌ

Sekiranya dia tidak segera mendapat nikmat daripada Rabbnya, benar-benar dia dicampakkan ke tanah tandus dalam keadaan tercela.

Seandainya Nabi Yunus as tidak segera mendapatkan rahmat daripada Allah Swt yang mendorongnya untuk segera bertaubat, baginda benar-benar akan dicampakkan ke tempat yang kering dan tercela.

Ayat 50

فَٱجْتَبَـٰهُ رَبُّهُۥ فَجَعَلَهُۥ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Lalu Rabbnya memilihnya dan menjadikannya di kalangan orang-orang yang soleh.

Namun Allah Swt Maha Pengampun. Dia mengurniakan kepada Nabi Yunus as taufik untuk bertaubat dan seterusnya Dia mengampuni baginda lalu dilemparkan ke pantai dan baginda tidak dicela malah dipuji. Dia juga memilihnya dan menjadikannya orang soleh.