Kisah Pemilik Kebun
Surah 68: Al-Qalam (17 – 33)
Ayat 17
إِنَّا بَلَوْنَـٰهُمْ كَمَا بَلَوْنَآ أَصْحَـٰبَ ٱلْجَنَّةِ إِذْ أَقْسَمُوا۟ لَيَصْرِمُنَّهَا مُصْبِحِينَ
Sesungguhnya Kami telah menguji mereka (musyrikin Mekah) sebagaimana Kami telah menguji pemilik-pemilik kebun (daripada kaum yang lalu), ketika mereka bersumpah pasti mereka akan memetik hasilnya pada pagi hari.
Pada ayat 17-33 ini disebutkan kisah para pemilik kebun yang enggan menunaikan hak orang-orang miskin (zakat) yang sepatutnya mereka tunaikan, maka Allah Swt menghukum mereka dengan menghancurkan kebun yang mereka miliki sehingga pada akhirnya mereka menyesal dan berusaha memperbaiki kesalahan mereka. Ini merupakan pelajaran bagi mereka dan bagi orang-orang yang mengetahui kisah ini.
Ini juga merupakan perumpamaan yang Allah Swt berikan kepada orang-orang kafir Quraisy. Mereka telah menerima rahmat yang besar dan nikmat yang agung dengan diutuskan-Nya Nabi Muhammad saw kepada mereka. Namun mereka membalasnya dengan pendustaan, penolakan dan permusuhan.
Allah Swt memulai kisah ini dengan menyatakan bahawa Dia menguji orang-orang kafir Quraisy yang mendustakan rasul-Nya dengan kekeringan dan kelaparan, sebagaimana Dia menguji para pemilik kebun saat mereka bersumpah di antara mereka bahawa mereka akan menuai hasil kebun mereka pada awal pagi hari agar orang-orang miskin tidak datang meminta.
Sebenarnya kebun itu adalah milik seorang lelaki yang sentiasa menunaikan zakat daripada hasil kebunnya. Setelah dia meninggal dunia, anak-anaknya pula yang mewarisi kebun tersebut. Namun mereka enggan menyedekahkan hasil daripada kebun itu untuk orang-orang miskin dan tidak mahu menunaikan zakat tanaman.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa mereka bersumpah akan memetik hasil buah-buahan pada pagi hari agar tidak diketahui oleh orang-orang miskin.
Ayat 18
وَلَا يَسْتَثْنُونَ
Dan mereka tidak menyebut pengecualian.
Oleh sebab mereka terlalu yakin dengan rancangan mereka, mereka tidak mengucapkan perkataan “Insya Allah” yang bermaksud “Sekiranya Allah menghendaki”.
Ayat 19
فَطَافَ عَلَيْهَا طَآئِفٌ مِّن رَّبِّكَ وَهُمْ نَآئِمُونَ
Lalu kebun itu ditimpa bencana (yang datang) daripada Rabbmu ketika mereka sedang tidur.
Ayat 20
فَأَصْبَحَتْ كَٱلصَّرِيمِ
Maka jadilah kebun itu hitam seperti malam yang gelap-gelita.
Sesungguhnya Allah Swt Maha Mengetahui perancangan mereka dan kebun mereka ditimpa bencana.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa kebun itu menjadi hitam bagaikan malam yang gelap-gelita.
Ath-Thauri dan As-Saddi mengatakan bahawa kebun mereka menjadi seperti ladang yang telah dituai, iaitu yang kering kontang.
Ayat 21
فَتَنَادَوْا۟ مُصْبِحِينَ
Lalu mereka panggil memanggil pada pagi hari.
Ayat 22
أَنِ ٱغْدُوا۟ عَلَىٰ حَرْثِكُمْ إِن كُنتُمْ صَـٰرِمِينَ
“Pergilah pada waktu pagi (ini) ke kebunmu jika kamu hendak memetik buahnya.”
Dalam rangkaian ayat-ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa mereka belum mengetahui bahawa kebun mereka telah musnah.
Oleh itu seperti yang telah mereka rancangkan, dengan penuh rahsia pada awal pagi hari mereka saling memanggil untuk ke kebun dan memetik hasil kebun mereka.
Ayat 23
فَٱنطَلَقُوا۟ وَهُمْ يَتَخَـٰفَتُونَ
Maka mereka pun berangkat sambil berbisik-bisik.
Ayat 24
أَن لَّا يَدْخُلَنَّهَا ٱلْيَوْمَ عَلَيْكُم مِّسْكِينٌ
“Pada hari ini janganlah ada seorang miskin pun masuk ke dalam kebunmu.”
Maka mereka pun berangkat secara diam-diam sambil berbisik-bisik dan mengingatkan bahawa pada hari itu jangan sampai ada seorang miskin pun masuk ke dalam kebun mereka terutama ketika mereka sedang memetik hasilnya.
Ayat 25
وَغَدَوْا۟ عَلَىٰ حَرْدٍ قَـٰدِرِينَ
Dan berangkatlah mereka pada pagi hari itu dengan niat menghalang (orang-orang miskin) padahal mereka mampu (menolongnya).
Mereka pergi ke kebun pada waktu pagi yang masih gelap dengan niat supaya orang-orang miskin tidak boleh memasuki kebun mereka untuk memetik hasil tanaman tersebut. Mereka berniat akan membawa kesemuanya ke gudang-gudang mereka dan tidak akan mempedulikan seorang pun fakir miskin.
Ayat 26
فَلَمَّا رَأَوْهَا قَالُوٓا۟ إِنَّا لَضَآلُّونَ
Maka ketika mereka melihat kebun itu, mereka berkata, “Sesungguhnya kita benar-benar orang-orang yang sesat (jalan).
Ketika mereka melihat kebun mereka terbakar, mereka berasa tidak percaya dan mengatakan bahawa mereka telah tersesat sehingga sampai ke kebun yang telah musnah.
Ini kerana kebun mereka sebelum ini menghijau, berbunga dan banyak buah-buahannya, kini telah menjadi hitam kelam tiada suatu pun yang dapat diambil manfaat daripada kebun itu. Namun selepas itu barulah mereka menyedari bahawa sebenarnya kebun itu adalah milik mereka.
Ayat 27
بَلْ نَحْنُ مَحْرُومُونَ
Bahkan kita dihalangi (daripada memperoleh hasilnya).”
Bahkan memang itulah kebun mereka, tetapi mereka tidak beruntung dan tidak mendapatkan apa-apa hasil pun daripadanya kerana telah bernekad untuk menghalang fakir miskin daripada turut menikmati hasil tanaman kebun tersebut. Padahal dahulu orang tua mereka selalu menyedekahkannya kepada fakir miskin sebagai tanda syukur dengan memenuhi perintah Allah Swt.
Ayat 28
قَالَ أَوْسَطُهُمْ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ لَوْلَا تُسَبِّحُونَ
Berkatalah seorang yang paling baik fikirannya di antara mereka, “Bukankah aku telah mengatakan kepadamu, hendaklah kamu bertasbih (kepada Rabbmu)?”
Ibnu ‘Abbas, Mujahid, Sa’id bin Jubair, ‘Ikrimah, Muhammad bin Ka’ab, Ar-Rabi’ bin Anas, Ad-Dahhak dan Qatadah mengatakan bahawa maksudnya ialah seorang yang paling adil dan paling baik di antara mereka.
Ada pendapat yang mengatakan, maksudnya ialah orang yang paling bertakwa dan cerdas di antara mereka mengatakan, mengapa mereka tidak bertasbih kepada Allah Swt dan bersyukur kepada-Nya atas nikmat yang telah Dia limpahkan dan Dia berikan kepada mereka.
Ayat 29
قَالُوا۟ سُبْحَـٰنَ رَبِّنَآ إِنَّا كُنَّا ظَـٰلِمِينَ
Mereka mengucapkan, “Maha Suci Rabb kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.”
Ayat 30
فَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ يَتَلَـٰوَمُونَ
Lalu sebahagian mereka menghadap sebahagian yang lain seraya cela mencela.
Ayat 31
قَالُوا۟ يَـٰوَيْلَنَآ إِنَّا كُنَّا طَـٰغِينَ
Mereka berkata, “Aduhai celakalah kita, sesungguhnya kita ini adalah orang-orang yang melampaui batas.”
Ayat 32
عَسَىٰ رَبُّنَآ أَن يُبْدِلَنَا خَيْرًا مِّنْهَآ إِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا رَٰغِبُونَ
Mudah-mudahan Rabb kita memberikan ganti kepada kita dengan (kebun) yang lebih baik daripada itu, sesungguhnya kita mengharapkan keampunan daripada Rabb kita.
Maka mereka mengucapkan, Maha Suci Allah yang tidak melakukan kezaliman sebaliknya merekalah yang menzalimi diri sendiri kerana mereka tidak memberikan hak orang-orang miskin.
Kemudian tampillah sebahagian daripada mereka mendapatkan sebahagian yang lain lalu saling mencerca dan saling menyalahkan satu sama lain.
Akhirnya mereka sama-sama menyedari bahawa mereka adalah orang-orang yang melampaui batas, kerana mereka melanggar apa yang telah ditetapkan oleh Allah supaya berbuat kebaikan kepada orang-orang yang memerlukan dan mereka tidak mensyukuri-Nya.
Mereka kemudiannya menginsafi kesalahan mereka lalu memohon kepada Allah agar kebun yang terbakar itu digantikan dengan kebun yang lebih baik.
Allah Swt menceritakan kisah ini untuk mengajar manusia agar tidak bakhil. Orang yang bakhil untuk membelanjakan hartanya pada jalan-Nya, akan mendapat kemurkaan-Nya dan hartanya akan musnah.
Ayat 33
كَذَٰلِكَ ٱلْعَذَابُ ۖ وَلَعَذَابُ ٱلْـَٔاخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ
Seperti itulah azab (dunia). Dan sesungguhnya azab akhirat lebih besar jika mereka mengetahui.
Allah Swt menyatakan hukuman yang menimpa para pemilik kebun itu merupakan hukuman-Nya di dunia bagi siapa yang menyelisihi perintah-Nya, bakhil dengan apa yang Dia berikan kepada mereka berupa nikmat-nikmat dan tidak menunaikan haknya.
Sesungguhnya azab akhirat benar-benar lebih besar dan lebih keras jika dibandingkan dengan azab di dunia. Sekiranya mereka mengetahui pasti mereka meninggalkan sifat buruk tersebut.