Perintah agar Bertaubat dengan Taubat Nasuha
Surah 66: At-Tahrim (8)
Ayat 8
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ تُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ يَوْمَ لَا يُخْزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَـٰنِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَٱغْفِرْ لَنَآ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benarnya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama-samanya, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan, “Wahai Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Allah Swt menyeru orang-orang beriman agar bertaubat dengan taubat nasuha (yang sebenar-benarnya).
Menurut para ulama tafsir, kalimah عَسَىٰ (mudah-mudahan) dalam ayat ini, jika datang daripada Allah Swt, ia merupakan suatu perkara yang pasti. Ini adalah harapan daripada Allah agar hamba-hamba-Nya bertaubat dan apabila Dia berjanji pasti Dia menunaikan janji-Nya. Apabila hamba-hamba-Nya bertaubat Dia pasti akan menghapuskan dosa-dosa mereka dan memasukkan mereka ke dalam syurga.
Kelak di akhirat nabi-nabi dan orang-orang beriman tidak akan dihinakan oleh Allah Swt, sebaliknya mereka dimuliakan dan dihormati. Ini tidak sama dengan orang-orang kafir dan fasik yang sudah pasti dimalukan di hadapan orang ramai.
Selain itu di akhirat kelak, muka orang-orang beriman bercahaya sehingga menerangi jalan yang dilalui. Begitu juga titian yang mereka menyeberanginya menjadi terang benderang baik di hadapan, di belakang, di kanan mahupun di kiri mereka.
Mereka mengucapkan doa, “Wahai Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami.” Menurut Ibnu ‘Abbas ra, doa ini diucapkan oleh orang-orang beriman ketika Allah Swt memadamkan cahaya orang-orang munafik yang mengikuti mereka melintasi titian di akhirat kelak. Mereka berdoa agar dikasihi-Nya sehingga mereka sampai memasuki syurga.
Mereka juga berdoa, “Dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Sesungguhnya Allah Swt berkuasa mengampuni dan menyeksa iaitu memberi rahmat dan juga mengazab.