Surah 66: At-Tahrim (1 – 5)

Teguran Allah Swt kepada Rasulullah saw kerana Mengharamkan yang Halal

Surah 66: At-Tahrim (1 – 5)


Ayat 1

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَآ أَحَلَّ ٱللَّهُ لَكَ ۖ تَبْتَغِى مَرْضَاتَ أَزْوَٰجِكَ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Wahai Nabi, mengapa engkau mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu, (adakah) engkau mencari keredhaan isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah Swt memulakan surah ini dengan teguran lembut kepada Rasulullah saw kerana baginda mendahulukan redha manusia iaitu baginda ingin menyenangkan dan mengambil hati isteri-isterinya berbanding redha-Nya dengan mengharamkan apa yang telah dihalalkan-Nya.

Dalam kitab Al-Aiman wan-Nuzur, Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada ‘Ubaid bin ‘Umair, dia berkata, “Aku pernah mendengar ‘Aisyah ra berkata, ‘Rasulullah saw pernah singgah sebentar di rumah Zainab binti Jahsy dan baginda minum madu di sana. Kemudian aku bersepakat dengan Hafsah, jika baginda memasuki rumah salah seorang daripada kami, maka katakanlah kepada baginda, ‘Sesungguhnya aku mencium bau mughfur (sejenis cairan manis daripada pokok ‘Urfuth yang boleh dimakan atau diminum terus dengan air), apakah engkau telah memakannya?” Ketika Rasulullah saw menemui salah seorang daripada kedua-duanya, hal itu dikatakan kepada baginda dan baginda menjawab, “Tidak, tetapi aku telah meminum madu di rumah Zainab binti Jahsy, dan sekali-sekali tidak akan meminumnya lagi.” Kemudian turunlah ayat, “Wahai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu, (adakah) engkau mencari keredhaan isteri-isterimu? dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” sehingga ayat keempat dalam surah ini iaitu, “Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan),” iaitu berkenaan dengan ‘Aisyah ra dan Hafsah ra.

Ayat 2

قَدْ فَرَضَ ٱللَّهُ لَكُمْ تَحِلَّةَ أَيْمَـٰنِكُمْ ۚ وَٱللَّهُ مَوْلَىٰكُمْ ۖ وَهُوَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْحَكِيمُ

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepada kamu membebaskan diri daripada sumpahmu dan Allah adalah Pelindungmu dan Dia Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Apabila seseorang telah bersumpah mengharamkan yang halal, maka wajib baginya melepaskan dirinya daripada sumpahnya itu dengan membayar kaffarah sebagaimana yang telah diterangkan pada ayat 89 Surah Al-Ma’idah.

Kaffarah sumpah ialah:

▪️  memberi makan 10 orang miskin iaitu makanan yang biasa dimakan oleh keluarganya. Sekiranya tidak mampu,

▪️  memberi pakaian kepada mereka dan sekiranya tidak mampu,

▪️  memerdekakan seorang hamba, namun sekiranya ini juga tidak mampu maka,

▪️  berpuasa selama 3 hari.

Ayat 3

وَإِذْ أَسَرَّ ٱلنَّبِىُّ إِلَىٰ بَعْضِ أَزْوَٰجِهِۦ حَدِيثًا فَلَمَّا نَبَّأَتْ بِهِۦ وَأَظْهَرَهُ ٱللَّهُ عَلَيْهِ عَرَّفَ بَعْضَهُۥ وَأَعْرَضَ عَنۢ بَعْضٍ ۖ فَلَمَّا نَبَّأَهَا بِهِۦ قَالَتْ مَنْ أَنۢبَأَكَ هَـٰذَا ۖ قَالَ نَبَّأَنِىَ ٱلْعَلِيمُ ٱلْخَبِيرُ

Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang isterinya (Hafsah) suatu peristiwa. Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada ‘Aisyah) dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan ‘Aisyah) kepadanya (Nabi) lalu (Nabi) memberitahu sebahagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebahagian yang lain (kepada Hafsah). Maka tatkala (Nabi) memberitahu pembicaraan (antara Hafsah dan ‘Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya, “Siapakah yang telah memberitahu hal ini kepadamu?” Nabi menjawab, “Telah diberitahu kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”

Allah Swt menjelaskan peristiwa yang berlaku iaitu ketika Rasulullah saw memberitahu secara rahsia kepada isterinya Hafsah bahawa baginda bersumpah tidak akan minum lagi madu di rumah Zainab kerana bau busuk yang keluar dari mulut baginda akibat minum madu tersebut dan berpesan kepada isterinya itu agar tidak memberitahu kepada orang lain. Namun Hafsah telah memberitahu rahsia tersebut kepada ‘Aisyah, maka Allah telah menzahirkan perkara tersebut kepada baginda melalui wahyu-Nya. Apabila diketahui oleh baginda bahawa isterinya itu telah membongkar rahsianya, baginda menyatakan kepada Hafsah secara kiasan dan menyembunyikan sebahagian yang lain iaitu menyatakan hal tersebut tidak secara terang-terangan. Hafsah terkejut dengan kenyataan baginda dan bertanya siapakah yang menceritakannya kepada baginda kerana rahsia ini hanya beliau dan ‘Aisyah sahaja yang mengetahuinya. Lalu baginda menyatakan bahawa Allah Swt yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi dan nyata telah memberitahunya.

Ayat 4

إِن تَتُوبَآ إِلَى ٱللَّهِ فَقَدْ صَغَتْ قُلُوبُكُمَا ۖ وَإِن تَظَـٰهَرَا عَلَيْهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ هُوَ مَوْلَىٰهُ وَجِبْرِيلُ وَصَـٰلِحُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۖ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ بَعْدَ ذَٰلِكَ ظَهِيرٌ

Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan), dan jika kamu berdua membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu juga) Jibril dan orang-orang beriman yang baik, dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya.

Kemudian dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa sekiranya mereka berdua iaitu ‘Aisyah ra dan Hafsah ra bertaubat maka itu adalah lebih baik buat mereka kerana kesilapan yang telah mereka lakukan. Hal ini kerana hati mereka telah cenderung kepada kebenaran.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa sekiranya mereka berterusan saling membantu untuk menyusahkan baginda terhadap perkara yang baginda sukai kerana didorong oleh sikap cemburu mereka, ketahuilah bahawa Dia adalah pelindung baginda.

Sesungguhnya perlindungan Allah Swt adalah lagi hebat daripada perlindungan manusia. Begitu juga Jibril dan orang-orang mukmin serta para malaikat akan menjadi penolong baginda daripada setiap gangguan yang cuba dikenakan kepadanya.

Ayat 5

عَسَىٰ رَبُّهُۥٓ إِن طَلَّقَكُنَّ أَن يُبْدِلَهُۥٓ أَزْوَٰجًا خَيْرًا مِّنكُنَّ مُسْلِمَـٰتٍ مُّؤْمِنَـٰتٍ قَـٰنِتَـٰتٍ تَـٰٓئِبَـٰتٍ عَـٰبِدَٰتٍ سَـٰٓئِحَـٰتٍ ثَيِّبَـٰتٍ وَأَبْكَارًا

Jika dia (Nabi) menceraikan kamu, boleh jadi Rabbnya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.

Ayat ini merupakan ancaman yang sangat keras dan berat kepada seluruh Ummahatul Mukminin. Ini kerana Allah Swt telah menjanjikan rasul-Nya bahawa jika baginda menceraikan mereka, Dia akan menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada mereka iaitu yang beriman, patuh, sentiasa bertaubat, rajin beribadah dan berpuasa. Boleh jadi sebahagiannya daripada kalangan janda-janda dan sebahagiannya daripada kalangan gadis-gadis.

Namun Rasulullah saw tidak menceraikan isteri-isterinya dan Allah Swt tidak memberi pengganti mereka. Mereka adalah isteri-isteri baginda di dunia dan di akhirat kelak.