Surah 65: At-Talaq (1 – 5)

Hukum Berkaitan dengan Talak dan Iddah serta Ganjaran Bertakwa

Surah 65: At-Talaq (1 – 5)


Ayat 1

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا۟ ٱلْعِدَّةَ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ رَبَّكُمْ ۖ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِنۢ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّآ أَن يَأْتِينَ بِفَـٰحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُۥ ۚ لَا تَدْرِى لَعَلَّ ٱللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَٰلِكَ أَمْرًا

Wahai Nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar) dan hitunglah waktu iddah itu serta bertakwalah kepada Allah Rabbmu. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka (diizinkan) keluar kecuali mereka mengerjakan perbuatan keji yang terang. Itulah hukum-hukum Allah dan siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu sesuatu hal yang baru.

Ayat ini ditujukan secara langsung kepada Nabi Muhammad saw sebagai penghormatan dan secara tidak langsung kepada semua umat Islam. Ayat ini juga mengandungi beberapa hukum yang berkaitan dengan perceraian, iaitu:

Sekiranya seseorang suami ingin menceraikan isteri mereka (dengan alasan yang membenarkan hal itu terjadi), maka hendaklah:

▪️  Menceraikan mereka pada waktu yang sewajarnya iaitu diceraikan pada masa mereka dalam keadaan suci (bukan ketika haid) dan belum disetubuhi selepas suci daripada haid tersebut.

▪️  Diperhatikan masa iddah tersebut dengan mengetahui masa permulaan dan akhirnya.

Hal ini sangat penting kerana ia mempengaruhi hukum sah atau tidaknya untuk rujuk kembali, permasalahan nafkah, penyediaan tempat tinggal dan lain-lain.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui jalur Ibnu Juraij, dia berkata, “Abuz Zubair memberitahuku, bahawa dia pernah mendengar ‘Abdurrahman bin Aiman, bekas budak (maula) kepada ‘Azzah bertanya kepada Ibnu ‘Umar, sementara Abuz Zubair mendengarnya, ‘Bagaimana pendapatmu tentang seorang lelaki yang menceraikan isterinya ketika sedang haid?’ Dia menjawab, ‘Ibnu ‘Umar pernah menceraikan isterinya ketika sedang haid pada zaman Rasulullah saw,’ maka baginda bersabda, ‘Hendaknya dia merujuknya kembali.’ kemudian dia pun merujuknya kembali lalu baginda bersabda lagi, ‘Jika dia sudah bersih, maka ceraikanlah dia atau pertahankanlah.’” Ibnu Umar mengatakan, “Pada saat itu, Nabi saw membacakan ayat, ‘Wahai Nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) iddahnya (yang wajar).’”

Kemudian Allah Swt menyatakan hukum apabila berlaku penceraian iaitu:

▪️  Dilarang mengusir isteri yang telah diceraikan dari rumah mereka iaitu tempat mereka diceraikan.

▪️  Tidak dibenarkan isteri pergi dari rumah tersebut.

Dalam tempoh iddah itu isteri masih berhak tinggal di rumah suaminya yang telah menceraikannya dan suaminya tidak boleh mengusirnya dari rumahnya itu.

Isteri juga tidak boleh keluar dari rumah tersebut kerana dia masih terikat dengan hak suami namun sekiranya dia melakukan dosa besar yang keji dan jelas seperti berzina atau perkataannya berubah menjadi kasar, buruk akhlak dan pergaulannya, maka ketika itu dia boleh keluar rumah atau diusir keluar oleh suaminya.

Sesiapa yang melanggar batas-batas hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Swt, sesungguhnya dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri.

Sesungguhnya perintah Allah Swt membenarkan isteri yang diceraikan untuk tinggal di rumah suaminya selama masa iddah itu adalah dengan harapan suaminya akan menyesali perbuatannya dan ingin kembali merujuknya, maka dengan demikian perkara itu akan dapat dilakukan dengan lebih mudah.

Ayat 2

فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍۢ وَأَشْهِدُوا۟ ذَوَىْ عَدْلٍ مِّنكُمْ وَأَقِيمُوا۟ ٱلشَّهَـٰدَةَ لِلَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ يُوعَظُ بِهِۦ مَن كَانَ يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًا

Maka apabila mereka telah mendekati akhir iddah mereka, maka rujuklah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil dari kalangan kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

Allah Swt menyatakan jika isteri-isteri yang menjalani iddah itu telah hampir sampai pada penghujung masa iddah, iaitu belum habis secara keseluruhan, maka pada saat itu suaminya boleh berazam (bertekad kuat) untuk mempertahankannya, iaitu merujuknya kembali dalam pernikahan dan meneruskan kewajipannya ketika tinggal bersama dengannya.

Namun jika suami itu tetap bertekad akan menceraikannya, maka dia boleh menceraikannya dengan cara yang baik, iaitu dengan tidak dicerca, dicela atau dikasari.

Jika suami itu bertekad untuk merujuknya kembali setelah habis iddah, maka perlu ada dua orang saksi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ibnu Majah daripada ‘Imran bin Husain, bahawa dia pernah ditanya tentang seorang lelaki yang menceraikan isterinya, lalu lelaki itu mencampuri isterinya sedangkan tidak ada orang yang menjadi saksi perceraian dan merujuknya, maka dia (‘Imran) menjawab, “Dia diceraikan dan dirujuk tidak berdasarkan sunnah. Persaksikanlah perceraian dan rujuknya, dan janganlah engkau ulangi lagi seperti itu.” Ibnu Juraij mengatakan, tidak dibenarkan pernikahan, perceraian dan rujuk melainkan dihadiri oleh dua orang saksi yang adil, kecuali adanya alasan atau keuzuran yang dibenarkan.

Inilah yang diperintahkan oleh Allah Swt supaya mengadakan saksi bagi menegakkan kesaksian. Dia mensyariatkannya kepada orang-orang yang beriman kepada-Nya dan Hari Akhirat serta orang yang takut terhadap hukuman-Nya.

Sesiapa bertakwa kepada Allah Swt dalam seluruh perintah-Nya dan menjauhi seluruh larangan-Nya, maka Dia akan memberikannya jalan keluar dalam semua urusannya.

Ayat 3

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْرًا

Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan siapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Allah Swt juga menjanjikan kepada orang-orang yang bertakwa bahawa Dia akan memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas ra bahawa suatu hari, dia pernah membonceng kenderaan di belakang Rasulullah saw, lalu baginda bersabda kepadanya:

“Wahai anak muda, aku akan mengajarmu beberapa kalimah. Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapatkan-Nya di hadapanmu. Jika engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Dan jika engkau memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, sekiranya mereka (manusia) ini bersatu untuk memberikan satu manfaat kepadamu, maka mereka tidak akan mampu memberi manfaat kepadamu kecuali jika Allah telah tetapkan untukmu. Dan jika mereka bersatu untuk mencelakakanmu, maka mereka tidak akan mampu mencelakakanmu kecuali jika Allah telah takdirkan untukmu. Pena telah diangkat dan catatan telah kering.”

(Hadis ini diriwayatkan juga oleh Imam At-Tirmizi dan Imam At-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini hasan sahih.)

Allah-lah yang menentukan seluruh ketetapan dan hukum-Nya terhadap semua makhluk-Nya sesuai dengan kehendak dan keinginan-Nya.

Ayat 4

وَٱلَّـٰٓـِٔى يَئِسْنَ مِنَ ٱلْمَحِيضِ مِن نِّسَآئِكُمْ إِنِ ٱرْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَـٰثَةُ أَشْهُرٍۢ وَٱلَّـٰٓـِٔى لَمْ يَحِضْنَ ۚ وَأُو۟لَـٰتُ ٱلْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مِنْ أَمْرِهِۦ يُسْرًا

Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (putus haid) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu (juga) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sehingga mereka melahirkan kandungannya. Dan siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.

Allah Swt menjelaskan beberapa jenis iddah iaitu:

▪️  Wanita yang tidak lagi mengalami haid (menopouse) iaitu wanita yang telah berhenti haidnya kerana usianya sudah tua ialah 3 bulan sebagai ganti daripada 3 kali quru’ (suci) bagi wanita yang masih mengalami haid. Hal itu sudah dijelaskan dalam ayat 228 Surah Al-Baqarah.

▪️  Wanita yang masih kecil, yang belum menjalani haid pula, iddahnya sama seperti iddah wanita yang sudah tidak mengalami (telah putus) haid, iaitu 3 bulan.

▪️  Wanita yang mengandung, tempoh iddah mereka ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandung.

Daripada Ubay bin Ka’ab, dia berkata kepada Rasulullah saw bahawa ketika ayat berkenaan iddah dalam Surah Al-Baqarah diturunkan, para penduduk Madinah mengatakan masih ada golongan perempuan iaitu kanak-kanak, orang-orang tua (menopause) dan yang sedang hamil belum diberikan ketetapan, maka turunlah ayat 4 ini.

Dalil yang berkaitan dengan iddah bagi perempuan mengandung merujuk kepada kisah Sabi’ah Al-Aslamiyah dijelaskan dalam hadis berikut:

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah, daripada Miswar bin Makhramah bahawa suami Sabi’ah Al-Aslamiyah meninggal dunia ketika dia sedang mengandung. Beberapa hari kemudian, dia melahirkan anak dan selang beberapa hari daripada nifasnya, dia dipinang. Dia pun meminta izin daripada Rasulullah saw untuk menikah. Baginda mengizinkan dan dia pun dinikahkan.

Ayat 5

ذَٰلِكَ أَمْرُ ٱللَّهِ أَنزَلَهُۥٓ إِلَيْكُمْ ۚ وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّـَٔاتِهِۦ وَيُعْظِمْ لَهُۥٓ أَجْرًا

Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu, dan siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan melipatgandakan pahala baginya.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia menetapkan hukum-hukum talak, rujuk dan iddah kepada orang-orang beriman adalah supaya dipatuhi dan dilaksanakan. Hal ini tidak boleh dipandang remeh.

Melaksanakan peraturan-peraturan ini merupakan tanda ketaatan dan ketakwaan kepada-Nya. Sesiapa yang melaksanakan perintah-perintah-Nya, Dia akan menghapuskan dosa-dosanya dan menggandakan pahalanya serta memasukkannya ke dalam syurga.