Surah 64: At-Taghabun (14 – 15)

Peringatan bahawa Harta Benda dan Anak Isteri Merupakan Ujian

Surah 64: At-Taghabun (14 – 15)


Ayat 14

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّ مِنْ أَزْوَٰجِكُمْ وَأَوْلَـٰدِكُمْ عَدُوًّا لَّكُمْ فَٱحْذَرُوهُمْ ۚ وَإِن تَعْفُوا۟ وَتَصْفَحُوا۟ وَتَغْفِرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Wahai orang-orang beriman, sesungguhnya ada di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah Swt memberitahu orang-orang beriman bahawa ada sebahagian daripada isteri dan anak-anak mereka akan menyebabkan mereka terhalang daripada melakukan amal soleh. Oleh itu, mereka diingatkan agar berwaspada dengan harta dan anak-anak.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Wahai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”

Al-Munafiqun 63:9

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra ketika beliau ditanya tentang ayat, “Wahai orang-orang beriman, sesungguhnya ada di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka,” beliau berkata, “Mereka adalah para lelaki yang telah memeluk Islam sejak di Mekah dan ingin menemui Rasulullah saw tetapi para isteri dan anak-anak mereka menolaknya. Ketika mereka menemui Rasulullah saw, mereka mendapati ramai yang telah memahami masalah agama, sedangkan tidak berlaku kepada isteri dan anak-anak mereka. Lalu mereka berniat untuk menghukum isteri dan anak-anak mereka, maka Allah Swt menurunkan ayat, “Jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Namun sekiranya hal ini berlaku maka tidak perlulah dihukum, dicerca atau bersikap kasar terhadap mereka tetapi maafkanlah mereka dan layanlah dengan baik. Hal ini kerana sesiapa yang memaafkan, maka Allah Swt akan memaafkannya, sesiapa yang mengampuni maka Dia akan mengampuninya, dan sesiapa yang bermuamalah dengan-Nya dengan amal yang dicintai-Nya, maka Dia akan mencintainya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ayat 15

إِنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌ ۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Allah Swt menjelaskan bahawa harta dan anak-anak merupakan ujian daripada-Nya untuk mengetahui siapa yang dapat mengurusnya dengan betul dan tidak menyebabkan mereka terjerumus dalam kemaksiatan atau membawa kepada kelalaian daripada mengingati-Nya.

Ini kerana sesungguhnya di sisi Allah Swt ada pahala yang besar bagi orang-orang yang mengutamakan ketaatan kepada-Nya dan bahkan menjadikan harta dan anak-anak tersebut membawa mereka kepada mendapatkan keredhaan-Nya.

Daripada Buraidah, dia berkata bahawa pada suatu ketika, sedang Rasulullah saw berkhutbah, tiba-tiba datang cucunda baginda Hasan dan Husain yang masih kecil berpakaian warna merah. Mereka berjalan yang kadang-kadang terjatuh. Maka baginda turun dari mimbar lalu mengangkat mereka berdua seraya bersabda:

“Maha benar Allah dan rasul-Nya, Allah berfirman, “Sesungguhnya harta dan anak-anak kalian adalah ujian.” Aku melihat kedua-dua mereka ini berjalan dan terjatuh, maka aku tidak sabar sehingga aku menghentikan pembicaraan dan mengangkat mereka (kerana rasa sayang).”

(HR. Ahmad)