Surah 63: Al-Munafiqun (10 – 11)

Anjuran Berinfak sebelum Datangnya Kematian

Surah 63: Al-Munafiqun (10 – 11)


Ayat 10

وَأَنفِقُوا۟ مِن مَّا رَزَقْنَـٰكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَآ أَخَّرْتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, lalu dia berkata, “Wahai Rabbku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?”

Allah Swt mengingatkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar bersegera berinfak kerana seseorang itu tidak mengetahui bila ajalnya akan tiba. Sesiapa sahaja yang lalai melaksanakan kewajipannya atau menangguh-nangguhkan amalan yang baik, pasti akan menyesal pada saat nyawanya akan diambil. Ketika itu dia akan meminta dengan penuh harapan agar usianya dipanjangkan walaupun hanya sebentar, supaya dia dapat bertaubat dan melakukan semua amalan baik yang ditinggalkannya. Namun semuanya itu sia-sia sahaja kerana dia tidak lagi dapat kembali ke dunia.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan berikanlah peringatan kepada manusia terhadap hari (yang pada waktu itu) datang azab kepada mereka, maka berkatalah orang-orang yang zalim, ‘Wahai Rabb kami, beri tangguhlah kami (kembalikanlah kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul.’ (Kepada mereka dikatakan), ‘Bukankah kamu telah bersumpah dahulu (di dunia) bahwa sekali-kali kamu tidak akan binasa?’”

Ibrahim 14:44

Ayat 11

وَلَن يُؤَخِّرَ ٱللَّهُ نَفْسًا إِذَا جَآءَ أَجَلُهَا ۚ وَٱللَّهُ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila telah datang waktu kematiannya. Dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya terhadap apa yang kamu kerjakan.

Pada penutup surah ini, Allah Swt menegaskan bahawa Dia tidak akan memberikan penangguhan kepada sesiapa pun apabila ajalnya telah tiba. Dia mengetahui tentang sesiapa sahaja yang jujur dalam perkataan dan permohonannya. Dia juga Maha Mengetahui sesiapa sahaja jika dikembalikan ke dunia nescaya dia akan mengulangi lagi perbuatannya yang buruk sebelumnya.