Peringatan bahawa Harta dan Anak-Pinak Merupakan Ujian
Surah 63: Al-Munafiqun (9)
Ayat 9
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُمْ عَن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang- orang yang rugi.
Allah Swt mengingatkan orang-orang beriman agar jangan terpengaruh dengan apa yang dihasutkan oleh ‘Abdullah bin Ubay kepada orang-orang Ansar supaya tidak bersedekah kepada kaum Muhajirin sehingga mereka meninggalkan Rasulullah saw.
Ayat ini juga ditujukan kepada orang-orang beriman yang lain secara umumnya. Allah Swt memerintahkan mereka supaya banyak mengingati-Nya dengan melaksanakan kewajipan dan menjauhi larangan-Nya untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Dia melarang mereka menyibukkan diri dengan harta dan anak-anak, namun jika semua ini tidak melalaikan mereka daripada mengingati-Nya maka itu tidaklah berdosa. Dia juga memberitahu bahawa sesiapa yang terleka dengan kesenangan dunia dan perhiasannya hingga melupakan ketaatan kepada perintah dan larangan-Nya dan mengingati-Nya, sesungguhnya dia benar-benar termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi di dunia dan juga di akhirat.