Larangan Keluar Masjid ketika Imam Berkhutbah
Surah 62: Al-Jumu’ah (11)
Ayat 11
وَإِذَا رَأَوْا۟ تِجَـٰرَةً أَوْ لَهْوًا ٱنفَضُّوٓا۟ إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَآئِمًا ۚ قُلْ مَا عِندَ ٱللَّهِ خَيْرٌ مِّنَ ٱللَّهْوِ وَمِنَ ٱلتِّجَـٰرَةِ ۚ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ
Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bersurai untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhutbah). Katakanlah, “Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan,” dan Allah sebaik-baik Pemberi Rezeki.”
Ayat ini turun berkenaan dengan barang dagangan milik Dahiyyah bin Khalifah Al-Kalbii Al-Ansari ra. Ketika itu beliau belum lagi memeluk Islam. Menjadi kebiasaan penduduk Madinah apabila kabilah dagangan telah sampai, mereka akan segera menyambutnya. Ternyata kedatangan kabilah tersebut bertepatan pada hari Jumaat dan ketika itu kaum muslimin sedang berada di dalam masjid. Maka sebahagian kaum muslimin keluar dari masjid sedangkan pada ketika itu juga Rasulullah saw menaiki mimbar dan berkhutbah. Maka turunlah ayat ini mencela sikap mereka yang berani keluar masjid dan meninggalkan baginda yang sedang berkhutbah.
Imam Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad telah meriwayatkan daripada Salim bin Abil Ja’d daripada Jabir bahawa pada satu hari ketika Rasulullah saw sedang menyampaikan khutbah, satu kabilah tiba dari Madinah. Maka para hadirin meluru keluar meninggalkan baginda dan 12 orang sahabat yang lain, lalu turunlah ayat, “Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bersurai untuk menuju kepadanya.”
Pada akhir ayat ini, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw agar memberitahu mereka bahawa pahala disisi-Nya yang telah Dia sediakan adalah lebih baik daripada mereka keluar menuju kepada perdagangan dan hiburan. Sesungguhnya Dia adalah Pemberi Rezeki yang terbaik maka mintalah rezeki daripada-Nya dengan cara mentaati-Nya dan rasul-Nya.