Surah 62: Al-Jumu’ah (9 – 10)

Perintah Melaksanakan Solat Jumaat dan Larangan Berjual Beli setelah Azan Solat Jumaat

Surah 62: Al-Jumu’ah (9 – 10)


Ayat 9

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوْمِ ٱلْجُمُعَةِ فَٱسْعَوْا۟ إِلَىٰ ذِكْرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Wahai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Allah Swt memerintahkan orang-orang beriman segera berkumpul untuk mendirikan solat pada hari Jumaat. Apabila muazin telah melaungkan azan pertama pada hari Jumaat, maka bersegeralah menuju ke masjid untuk mengingati Allah dengan menunaikan solat dan mendengar khutbah.

Bersegera dalam ayat ini bukanlah bermaksud berjalan dengan cepat tetapi yang dimaksudkan ialah bersungguh-sungguh dan segera meninggalkan segala aktiviti termasuk berjual beli bagi melaksanakan solat berjemaah.

Semua aktiviti berjual beli mestilah ditinggalkan dan diberhentikan setelah muazin mengumandangkan azan yang kedua. Mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat adalah lebih baik balasan dan lebih besar pahalanya sekiranya manusia mengetahui.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Apabila kalian mendengar iqamah maka berjalanlah dengan tenang dan jangan terburu-buru. Apa pun bahagian solat berjemaaah yang kalian dapat, maka ikutilah dan bahagian solat yang tertinggal, maka lengkapilah.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 10

فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَٱبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maka apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

Allah Swt menyatakan apabila seseorang itu telah selesai menunaikan solat Jumaat, maka bolehlah mencari kurniaan-Nya atau meneruskan aktiviti-aktiviti harian yang lain. Namun demikian, Dia memerintahkan supaya sentiasa mengingati-Nya sebanyak-banyaknya dengan mengharapkan keuntungan dan kemenangan di dunia dan akhirat.

Rasulullah saw bersabda:

“Allah telah menyimpangkan orang-orang sebelum kita dengan hari Jumaat. Maka bagi orang-orang Yahudi adalah hari Sabtu. Sedangkan bagi orang-orang Nasrani adalah hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi hidayah kepada kita dengan hari Jumaat. Maka Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Demikianlah pada Hari Kiamat nanti, mereka pun akan mengikuti kita. Kita adalah orang-orang yang terakhir datang ke dunia, namun paling awal pada Hari Kiamat yang diadili sebelum semua makhluk.”

(HR. Muslim)

Terdapat beberapa kelebihan hari Jumaat yang dicatatkan dalam hadis-hadis sahih. Antaranya dinyatakan bahawa Allah Swt mencipta Nabi Adam as dan memasukkan baginda ke dalam syurga serta mengeluarkan baginda dari syurga pada hari Jumaat.