Larangan Mengadakan Pembicaraan Rahsia dan Berbisik untuk Melakukan Dosa
Surah 58: Al-Mujadilah (8 – 10)
Ayat 8
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ نُهُوا۟ عَنِ ٱلنَّجْوَىٰ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا نُهُوا۟ عَنْهُ وَيَتَنَـٰجَوْنَ بِٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ وَمَعْصِيَتِ ٱلرَّسُولِ وَإِذَا جَآءُوكَ حَيَّوْكَ بِمَا لَمْ يُحَيِّكَ بِهِ ٱللَّهُ وَيَقُولُونَ فِىٓ أَنفُسِهِمْ لَوْلَا يُعَذِّبُنَا ٱللَّهُ بِمَا نَقُولُ ۚ حَسْبُهُمْ جَهَنَّمُ يَصْلَوْنَهَا ۖ فَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ
Apakah tidak kamu (wahai Muhammad) perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan pembicaraan rahsia, kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan pembicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan derhaka kepada rasul. Dan apabila mereka datang kepadamu, mereka mengucapkan salam kepadamu dengan memberi salam yang bukan sebagaimana yang ditentukan oleh Allah untukmu. Dan mereka mengatakan kepada diri mereka sendiri, “Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” Cukuplah bagi mereka Jahannam yang akan mereka masuki. Dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Mujahid dan Muqatil bin Hayyan mengatakan “mereka” dalam ayat ini adalah merujuk kepada orang-orang Yahudi.
Dalam ayat ini, Allah Swt memberitahu sifat orang-orang Yahudi yang tidak menghiraukan larangan Rasulullah saw. Baginda telah melarang mereka mengadakan pembicaraan rahsia namun mereka tetap melanggar larangan tersebut.
Sebenarnya pembicaraan rahsia itu adalah untuk berbuat dosa seperti menimbulkan permusuhan dan derhaka kepada baginda serta merupakan satu perancangan untuk melaksanakan tindakan jahat agar mereka dapat menanamkan keraguan dalam hati kaum mukminin.
Apabila mereka datang kepada Rasulullah saw, mereka mengucapkan salam yang tidak diajar oleh Allah Swt iaitu “As-saamu ‘alaika, (kematian atasmu).” Ini merupakan ucapan salam yang buruk terhadap baginda. Semoga Allah Swt melaknat mereka.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra bahawa orang-orang Yahudi apabila menemui Rasulullah saw, mereka mengucapkan, “As-saamu ‘alaika, (kematian atasmu) wahai Abu Qasim.”
‘Aisyah ra menjawab, “Wa‘alaikumus saam, (kematian juga atasmu).” Maka Rasulullah saw bersabda:
“Wahai ‘Aisyah, sesungguhnya Allah tidak menyukai ucapan buruk dan saling mengucapkan keburukan.”
‘Aisyah ra berkata,
“Tidakkah kamu dengar mereka berkata, ‘As-saamu ‘alaika, (kematian atasmu?)’” Rasulullah saw bersabda:
“Tidakkah kamu mendengar aku mengatakan, ‘Wa‘alaikum (juga bagimu)?’” Maka Allah Ta’ala menurunkan ayat ini.
(HR. At-Tabari)
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Anas bin Malik ra, bahawa ketika Rasulullah saw duduk bersama dengan para sahabatnya tiba-tiba seorang Yahudi datang dan memberi salam kepada mereka kemudian mereka menjawabnya, maka Rasulullah saw bersabda, “Apakah kamu tahu apa yang dia katakan?” Para sahabat menjawab, “Salam Rasululullah.” Baginda bersabda, “Bukan, tetapi dia berkata, ‘Saamun ‘alaikum (kematian bagimu.’ Baginda bersabda, ‘Apabila ahli kitab mengucapkan salam kepadamu, maka jawablah, ‘Atasmu apa yang kamu ucapkan. (Kalian akan menerima seperti apa yang kalian ucapkan).’ Maka Allah Ta’ala menurunkan ayat ini.”
(HR. At-Tabari)
Orang-orang Yahudi berkata sesama mereka, mengapa Allah Swt tidak menurunkan azab ke atas mereka disebabkan apa yang mereka katakan itu, iaitu memberi salam penghinaan kepada Nabi Muhammmad saw jika baginda benar-benar seorang nabi.
Allah Swt tidak terburu-buru mengazab hamba-hamba-Nya. Namun Dia telah memberi amaran bahawa cukuplah bagi mereka Neraka Jahannam yang akan mereka masuki di akhirat kelak sebagai balasannya, iaitu seburuk-buruk tempat kembali.
Ayat 9
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا تَنَـٰجَيْتُمْ فَلَا تَتَنَـٰجَوْا۟ بِٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ وَمَعْصِيَتِ ٱلرَّسُولِ وَتَنَـٰجَوْا۟ بِٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِىٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ
Wahai orang-orang beriman, apabila kamu mengadakan pembicaraan rahsia, janganlah kamu membicarakan tentang membuat dosa, permusuhan dan berbuat derhaka kepada rasul. Dan bicarakanlah tentang membuat kebajikan dan takwa. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikembalikan.
Seterusnya, Allah Swt mendidik orang-orang yang beriman agar tidak bersikap seperti orang-kafir daripada ahli kitab dan orang-orang munafik yang bekerjasama dalam kesesatan. Dia melarang orang-orang beriman mengadakan pembicaraan rahsia dan berbisik-bisik yang mengandungi kata-kata buruk serta mendatangkan permusuhan terhadap orang lain.
Allah Swt juga melarang mengucapkan kata-kata penentangan terhadap Rasulullah saw sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi. Sebaliknya mereka diperintahkan-Nya supaya berkata-kata yang baik iaitu tentang melakukan kebajikan dan ketakwaan kepada-Nya. Sesungguhnya hanya kepada-Nya semuanya akan dikumpulkan pada Hari Kiamat kelak.
Ayat 10
إِنَّمَا ٱلنَّجْوَىٰ مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ لِيَحْزُنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَيْسَ بِضَآرِّهِمْ شَيْـًٔا إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ
Sesungguhnya pembicaraan rahsia itu adalah daripada syaitan, supaya orang-orang yang beriman itu berdukacita, sedang pembicaraan itu tidaklah memberi mudharat sedikitpun kepada mereka, kecuali dengan izin Allah dan kepada Allah-lah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.
Allah Swt menyatakan bahawa perbuatan berbisik-bisik dan mengadakan pembicaraan secara rahsia yang mengandungi kata-kata dosa dan permusuhan itu adalah akibat daripada bisikan syaitan yang memperindahkannya kepada mereka dan membuatkan mereka menganggap baik perbuatan itu.
Mereka melakukan hal demikian supaya hati orang-orang yang beriman menjadi gelisah, padahal perkara tersebut sama sekali tidak memberikan mudharat sedikitpun kepada mereka kecuali dengan izin Allah Swt. Oleh itu, Dia menyeru orang-orang mukmin supaya meminta perlindungan dan bertawakkal kepada-Nya.
Daripada Ibnu ‘Umar ra, Rasulullah saw bersabda:
“Apabila kalian bertiga maka dua orang jangan melakukan perbicaraan rahsia tanpa mengikutkan yang ketiga, kecuali dengan izinnya, kerana hal itu akan menyakitinya.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)