Surah 58: Al-Mujadilah (5 – 7)

Ilmu Allah Swt Meliputi Semua Makhluk

Surah 58: Al-Mujadilah (5 – 7)


Ayat 5

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحَآدُّونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ كُبِتُوا۟ كَمَا كُبِتَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ وَقَدْ أَنزَلْنَآ ءَايَـٰتٍۭ بَيِّنَـٰتٍ ۚ وَلِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Sesungguhnya, orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan rasul-Nya, mereka tetap mendapat kehinaan sebagaimana orang-orang yang sebelum mereka, kerana sesungguhnya Kami telah menurunkan keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan bagi orang-orang yang kafir, disediakan seksaan yang menghinakan.

Allah Swt memberi peringatan bahawa orang-orang yang menentang Allah dan rasul-Nya dengan mengingkari syariat-Nya pasti akan dihina, dilaknat dan direndahkan, sebagaimana yang telah dilakukan terhadap orang-orang yang terdahulu seperti mereka. Ini kerana tiada yang menentang kecuali orang yang kafir, derhaka lagi sombong.

Ayat 6

يَوْمَ يَبْعَثُهُمُ ٱللَّهُ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوٓا۟ ۚ أَحْصَىٰهُ ٱللَّهُ وَنَسُوهُ ۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدٌ

Pada hari ketika mereka dibangkitkan oleh Allah semuanya, lalu diberitakan-Nya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Allah mengumpulkan (mencatat) amal perbuatan itu, padahal mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.

Pada Hari Kiamat kelak, Allah Swt akan menghimpunkan semua manusia dari yang pertama hingga yang terakhir pada suatu tempat. Kemudian Dia memberitahu kepada mereka semua amal perbuatan mereka, yang baik dan yang buruk. Dia telah mencatat dan menjaganya untuk diperlihatkan kepada mereka, sedangkan mereka sendiri telah lupa terhadap apa yang mereka telah lakukan dahulu semasa di dunia.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa tiada sesuatu pun yang terluput dan tersembunyi daripada-Nya. Dia menyaksikan semuanya dan Dia tidak melupakannya.

Ayat 7

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۖ مَا يَكُونُ مِن نَّجْوَىٰ ثَلَـٰثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلَا خَمْسَةٍ إِلَّا هُوَ سَادِسُهُمْ وَلَآ أَدْنَىٰ مِن ذَٰلِكَ وَلَآ أَكْثَرَ إِلَّا هُوَ مَعَهُمْ أَيْنَ مَا كَانُوا۟ ۖ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Tidakkah kamu perhatikan, bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi? Tidak ada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dia-lah yang keempatnya. Dan tidak ada (pembicaraan antara) lima orang, melainkan Dia-lah yang keenamnya. Dan tidak ada (juga) pembicaraan antara jumlah yang kurang dari itu atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama-sama mereka di mana pun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu mereka pada Hari Kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui tiap-tiap sesuatu.

Allah Swt memberitahu tentang ilmu-Nya yang meliputi semua makhluk. Dia juga memberitahu tentang pengawasan-Nya terhadap mereka iaitu Dia mendengar semua ucapan mereka dan bisikan mereka, lagi Maha Melihat tempat di mana mereka berada dan bagaimana keadaan mereka.

Para malaikat yang telah ditugaskan oleh-Nya juga mencatat semua yang mereka rahsiakan, walaupun Dia telah mengetahuinya dan mendengarnya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, dan bahawasanya Allah mengetahui segala yang ghaib?”

At-Taubah 9:78

“Atau apakah mereka menganggap bahawa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan-bisikan mereka? Sebenarnya (Kami mendengar) dan utusan-utusan Kami (malaikat) mencatat di sisi mereka.”

Az-Zukhruf 43:80