Kefasikan Sebahagian Besar daripada Umat Para Nabi
Surah 57: Al-Hadid (26 – 27)
Ayat 26
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا وَإِبْرَٰهِيمَ وَجَعَلْنَا فِى ذُرِّيَّتِهِمَا ٱلنُّبُوَّةَ وَٱلْكِتَـٰبَ ۖ فَمِنْهُم مُّهْتَدٍ ۖ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَـٰسِقُونَ
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim dan Kami berikan kepada keturunan kedua-duanya kenabian dan kitab, maka di antara mereka ada yang menerima petunjuk dan banyak di antara mereka fasik.
Allah Swt menyebutkan tentang Nabi Nuh as dan Nabi Ibrahim as yang telah diutuskan sebagai rasul-Nya. Kedua-duanya telah dikurniakan keturunan. Kemudian kepada keturunan mereka berdua pula Dia mengurniakan pangkat kenabian serta diturunkan kitab-kitab dari langit.
Selain itu, Allah Swt juga menyatakan bahawa di antara keturunan mereka berdua, ada yang mendapat petunjuk dan ramai juga yang derhaka, menyeleweng dari jalan yang lurus lalu menjadi orang-orang yang fasik.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Kami anugerahkan kepada Ibrahim, Ishak dan Yaakub, dan Kami jadikan kenabian dan kitab kepada keturunannya……….”
Al-‘Ankabut 29:27
Ayat 27
ثُمَّ قَفَّيْنَا عَلَىٰٓ ءَاثَـٰرِهِم بِرُسُلِنَا وَقَفَّيْنَا بِعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ وَءَاتَيْنَـٰهُ ٱلْإِنجِيلَ وَجَعَلْنَا فِى قُلُوبِ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ رَأْفَةً وَرَحْمَةً وَرَهْبَانِيَّةً ٱبْتَدَعُوهَا مَا كَتَبْنَـٰهَا عَلَيْهِمْ إِلَّا ٱبْتِغَآءَ رِضْوَٰنِ ٱللَّهِ فَمَا رَعَوْهَا حَقَّ رِعَايَتِهَا ۖ فَـَٔاتَيْنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنْهُمْ أَجْرَهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَـٰسِقُونَ
Kemudian Kami iringi sesudah mereka dengan rasul-rasul Kami dan Kami iringi (pula) dengan ‘Isa putera Maryam, dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan ‘rahbaniyyah’ padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik.
Seterusnya disusuli pula dengan pengutusan ramai lagi para rasul, seorang demi seorang sehingga diutuskan-Nya nabi terakhir daripada kalangan Bani Israil, iaitu Nabi ‘Isa as yang telah diberikan berita gembira akan kehadiran Nabi Muhammad saw sesudahnya.
Allah Swt menjadikan hati pengikut-pengikut Nabi ‘Isa as iaitu kaum Hawariyyun lembut dan takut kepada-Nya serta ada perasaan kasih sayang terhadap semua makhluk.
Namun orang-orang Nasrani mengada-adakan ajaran kerahiban (rahbaniyyah) ke atas diri mereka padahal Allah Swt tidak pun memerintahkan perkara itu. Sebaliknya merekalah yang mewajibkan ke atas diri mereka. Tujuan mereka mengadakan kerahiban ini adalah untuk mendekatkan diri dengan-Nya dan mencari keredhaan-Nya. Namun cara mereka itu tidak pernah disyariatkan-Nya.
Maksud ayat, “Lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya,” ialah mereka tidak mengerjakan apa yang mereka wajibkan kepada mereka dengan sebaik-baiknya.
Oleh itu, Allah Swt hinakan mereka dari dua sisi kerana:
▪️ Pertama, mereka telah mengada-adakan peraturan dalam agama Allah padahal Allah tidak memerintahkannya.
▪️ Kedua, mereka tidak melakukan apa yang mereka wajibkan ke atas diri mereka sendiri yang dianggap sebagai amalan yang boleh mendapat keredhaan Allah Swt.
“Maka Kami berikan kepada orang-orang beriman di antara mereka pahalanya.” bermaksud Allah Swt memberikan pahala kebaikan kepada orang-orang yang beriman dan orang-orang yang soleh daripada pengikut Nabi ‘Isa as. Namun kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik iaitu mendustakan dan menentang baginda.