Surah 57: Al-Hadid (25)

Para Nabi Diutuskan dengan Membawa Mukjizat, Keadilan dan Kebenaran dan Manfaat Besi

Surah 57: Al-Hadid (25)


Ayat 25

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْمِيزَانَ لِيَقُومَ ٱلنَّاسُ بِٱلْقِسْطِ ۖ وَأَنزَلْنَا ٱلْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥ وَرُسُلَهُۥ بِٱلْغَيْبِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِىٌّ عَزِيزٌ

Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama-sama mereka kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya padahal (Allah) tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Mujahid, Qatadah dan lain-lain mengatakan maksud الْمِيزَانَ (neraca) adalah keadilan. Kitab dan neraca keadilan merupakan sumber kebenaran yang dapat diterima oleh pemikiran yang sihat lagi lurus serta bertentangan dengan pendapat-pendapat yang tidak benar.

Dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengutus rasul-rasul kepada umat masing-masing dengan membawa bukti-bukti yang nyata iaitu mukjizat-mukjizat, alasan-alasan dan hujjah-hujjah yang jelas serta kitab yang membawa kebenaran. Ini bertujuan supaya manusia dapat membenarkan apa yang dibawa oleh para rasul dan mentaati semua perintah yang disampaikan.

Ini kerana sesungguhnya apa yang disampaikan oleh para rasul itu adalah kebenaran yang mutlak. Ini sebagaimana firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan telah sempurna firman Rabbmu (Al-Quran) dengan benar dan adil……….”

Al-An’am 6:115

Oleh sebab itulah ketika orang-orang beriman menempati kamar-kamar di dalam syurga mereka berkata sebagaimana firman Allah Swt:

“…………‘Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan kami ke (syurga) ini. Kami tidak akan dapat petunjuk sekiranya Allah tidak menunjukkan kepada kami. Sesungguhnya rasul-rasul Rabb kami telah datang membawa kebenaran………….’”

Al-A’raf 7:43

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Dia menjadikan besi iaitu sejenis logam yang kuat dan keras. Dia juga memberi ilham kepada manusia untuk mangambil pelbagai manfaat daripadanya.

Besi ini dijadikan senjata untuk digunakan dalam peperangan seperti perisai, tombak, baju besi dan lain-lain lagi. Ini bertujuan untuk menghalang orang-orang yang membangkang terhadap perkara yang benar dan mengingkarinya padahal hujah-hujah telah ditegakkan kepada mereka.

Rasulullah saw bermukim di Mekah sesudah kenabian selama 13 tahun. Selama itulah juga diwahyukan kepada baginda surah-surah Makkiyyah, yang isinya mengandungi bantahan terhadap orang-orang musyrik dan yang menentang syariat Allah Swt dengan penjelasan tentang tauhid serta dalil-dalil yang lain. Allah Swt memerintahkan baginda dan kaum muslimin berhijrah, dan setelah itu barulah Dia memerintahkan mereka mengangkat senjata untuk memerangi kaum musyrik yang menentang Al-Quran dan mengingkari kebenarannya.

Daripada Ibnu ‘Umar ra, bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

“Aku diutus dengan membawa pedang menjelang Hari Kiamat, sehingga hanya Allah semata-mata yang disembah, yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan Allah menjadikan rezekiku berada di bawah bayangan tombakku, dan menjadikan kehinaan dan kerendahan bagi orang yang menentang perintahku. Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, dia termasuk daripada mereka.”

(HR. Ahmad dan Abu Daud)

Selain dijadikan senjata atau peralatan perang, besi juga memberi manfaat lain kepada manusia dalam kehidupan mereka. Besi dapat dijadikan kelengkapan pertanian, pertukangan, peralatan memasak dan lain-lain lagi.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia mengetahui siapa yang menolong agama-Nya dan rasul-rasul-Nya pada saat mereka mula memikul senjata. Dia Maha Kuat lagi Maha Perkasa untuk menyeksa musuh-musuh-Nya. Dia tidak memerlukan bantuan sesiapa pun dan sesungguhnya Dia mensyariatkan supaya berjihad hanyalah semata-mata untuk menguji sebahagian dengan sebahagian yang lain.