Takdir Allah Swt Mendahului Penciptaan Semua Makhluk-Nya
Surah 57: Al-Hadid (22 – 23)
Ayat 22
مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَآ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ
Tidak ada satu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak juga) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Allah Swt memberitahu bahawa takdir-Nya mendahului penciptaan semua makhluk. Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi seperti kemarau dan tidak juga pada diri manusia seperti sakit atau kematian anak melainkan semuanya telah tertulis dalam kitab di Lauh Mahfuz. Demikian juga perkara-perkara yang berkaitan dengan rezeki dan nikmat, semuanya telah ditentukan oleh-Nya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah sangat mudah bagi-Nya.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash, dia mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Allah telah menentukan semua takdir lima puluh ribu tahun sebelum menciptakan langit dan bumi.”
(HR. Ahmad)
Ayat 23
لِّكَيْلَا تَأْسَوْا۟ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا۟ بِمَآ ءَاتَىٰكُمْ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang hilang daripada kamu, dan supaya kamu tidak terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.
Allah Swt menjelaskan yang demikian itu supaya manusia tidak berdukacita terhadap apa yang luput daripada mereka dan tidak terlalu bergembira dengan nikmat yang mereka terima. Dia melarang manusia bergembira yang disertai perasaan takbur.
Ini berbeza dengan bergembira yang disertai rasa syukur terhadap nikmat yang diberikan-Nya kepada mereka. Dia tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri dengan apa yang telah diberikan-Nya kepada mereka.
Oleh itu dapat disimpulkan bahawa kesedihan yang tercela adalah kesedihan yang tidak disertai dengan kesabaran dan keredhaan dengan qadha’ dan qadar Allah Swt. Begitu juga kegembiraan yang terlarang adalah bergembira sehingga lupa diri yang mendorong seseorang melakukan perbuatan melampaui batas dan melalaikannya daripada rasa bersyukur.
‘Ikrimah mengatakan, semua orang pasti pernah mengalami kegembiraan dan kesedihan. Oleh itu, bersyukurlah pada saat memperoleh kegembiraan dan bersabarlah dalam menanggung kesedihan.