Kehidupan Dunia Hanyalah Permainan Belaka
Surah 57: Al-Hadid (20 – 21)
Ayat 20
ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَـٰمًا ۖ وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌ ۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.
Ayat ini merupakan peringatan daripada Allah Swt kepada orang-orang yang beriman agar tidak terpedaya dengan kesenangan dunia dan menjadikannya sebagai tujuan utama hidup mereka. Ini kerana sesungguhnya kesenangan dunia itu hanyalah suatu permainan dan perkara yang melalaikan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, berupa wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).”
Ali ‘Imran 3:14
Kemudian Allah Swt membuat perumpamaan tentang kehidupan dunia. Sesungguhnya kehidupan dunia ini adalah keindahan yang sementara dan kenikmatan yang ada padanya akan lenyap. Oleh itu, Dia mengumpamakan kehidupan dunia ini seperti air hujan yang menyuburkan tanaman dan menjadikan para petani kagum serta berbangga dengan tanamannya namun setelah beberapa lama, tanaman itu menjadi kering dan mati.
Perumpamaan ini menunjukkan dunia ini pasti musnah. Oleh itu, Allah Swt mengingatkan manusia supaya berhati-hati dengan kehidupan dunia dan tidak menanamkan kecintaan yang berlebihan terhadapnya. Mereka juga diingatkan agar berbuat kebaikan yang akan membawa pahala ke negeri akhirat.
Kehidupan di dunia ini adalah kesenangan yang fana lagi memperdayakan orang yang cenderung kepadanya. Orang-orang yang terpedaya dengan dunia berkeyakinan tidak ada kehidupan lain selain kehidupan di dunia ini sehingga mereka melupakan Hari Pembalasan. Padahal kehidupan dunia ini amatlah rendah dan hina jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat.
Oleh sebab itu, Allah Swt menganjurkan manusia bersegera melakukan kebaikan berupa amal-amal ketaatan dan meninggalkan hal-hal yang diharamkan. Dengan melakukan amal-amal ketaatan terhapuslah dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan sekali gus memperoleh pahala dan ketinggian darjat.
Ayat 21
سَابِقُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا كَعَرْضِ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ أُعِدَّتْ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ ٱللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلْفَضْلِ ٱلْعَظِيمِ
Berlumba-lumbalah kamu kepada mendapatkan keampunan daripada Rabbmu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Itulah kurniaan Allah, yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Dan Allah memiliki kurniaan yang besar.
Kemudian dalam ayat ini, Allah Swt mendorong hamba-hamba-Nya agar bersegera meraih keampunan (maghfirah) dan syurga-Nya dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan larangan-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Rabbmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa ”
Ali ‘Imran 3:133
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan apa yang disediakan-Nya itu iaitu keampunan dan syurga buat hamba-hamba-Nya merupakan kurniaan dan kebaikan-Nya kepada mereka.
Disebutkan dalam hadis sahih bahawa orang-orang fakir daripada kalangan Muhajirin mengadu kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, orang-orang berharta mengumpul banyak pahala, darjat yang tinggi dan kenikmatan abadi.” Rasulullah saw bertanya:
“Apa yang kalian maksudkan?” Mereka lalu menyatakan, “Orang-orang yang berharta itu solat dan puasa sama seperti kami tetapi mereka mampu bersedekah sedangkan kami tidak dan mereka dapat memerdekakan hamba sedangkan kami tidak.” Lalu Rasulullah saw menjawab:
“Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu jika kalian kerjakan akan dapat menyaingi orang-orang yang sesudah kalian, dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang-orang yang mengerjakan yang sama dengan apa yang kalian kerjakan? Iaitu bertasbih, bertahmid dan bertakbir setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali.” Kemudian mereka kembali kepada Rasulullah saw seraya berkata, “Wahai Rasulullah, saudara-saudara kami yang berharta telah mendengar dan mengamalkan apa yang kami kerjakan.” Lalu baginda bersabda, “Itulah kurniaan Allah Swt yang diberikan-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)