Surah 57: Al-Hadid (16 – 17)

Galakan untuk Khusyuk kepada Allah Swt dan Larangan Meniru Ahli Kitab

Surah 57: Al-Hadid (16 – 17)


Ayat 16

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ ٱللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ ٱلْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ ٱلْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَـٰسِقُونَ

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan kitab kepada mereka, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Ini adalah ayat teguran kepada sebahagian orang-orang beriman yang hati mereka mulai lalai dalam ibadah mereka agar kembali khusyuk dan tunduk kepada Allah Swt serta mengingati-Nya.

Ayat ini juga mengingatkan orang-orang yang beriman agar tidak mengabaikan pengajaran Al-Quran sebagaimana yang dilakukan oleh ahli-ahli kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani.

Setelah cukup lama masa berlalu, ahli-ahli kitab ini menggantikan kitabullah yang ada di tangan mereka dan menukarkannya dengan harga yang sedikit serta mereka juga mencampakkan ke belakang mereka iaitu mereka tidak mempelajari apa yang ada di dalamnya dan ada sebahagian isi kandungan kitab-kitab tersebut telah diolah oleh pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka.

Selain itu ahli-ahli kitab ini berpaling daripada mengikuti ajaran Allah Swt yang sebenar, sebagai gantinya mereka menyibukkan diri dengan pendapat-pendapat dan perkataan-perkataan yang direka-reka. Mereka mengikut pendapat manusia dalam agama Allah Swt. Mereka juga menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib mereka sebagai ilah mereka dengan mengikuti apa sahaja yang dinyatakan kepada mereka. Maka ketika itulah hati mereka menjadi keras dan tidak mahu menerima peringatan, tidak takut dengan ancaman azab dan tidak tertarik dengan ganjaran pahala dan syurga.

Kebanyakan ahli-ahli kitab ini merupakan orang-orang yang fasik kerana hati mereka telah rosak dan amalan mereka adalah batil.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Tetapi) kerana mereka melanggar janji, maka Kami melaknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka mengubah firman (Allah) dari tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian pesanan yang telah diperingatkan kepada mereka………”

Al-Ma’idah 5:13

Ayat 17

ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يُحْىِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya Allah menghidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepadamu tanda-tanda (kebesaran Kami) supaya kamu memikirkannya.

Kemudian Allah Swt membuat perumpamaan tentang kesan daripada pembacaan Al-Quran yang meresap ke dalam hati manusia.

Allah Ta’ala menyatakan sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan air hujan yang sebelumnya kering dan gersang, demikian jugalah Dia menjadikan hati lembut setelah hati itu keras membatu. Hal ini akan terjadi sekiranya manusia menerima petunjuk dan bimbingan dengan dalil-dalil Al-Quran.

Sesungguhnya dalil-dalil, nasihat-nasihat dan pengajaran-pengajaran yang terdapat di dalam Al-Quran dapat melembutkan hati yang keras.