Perintah agar Beriman kepada Allah Swt dan Rasulullah saw serta Keutamaan Berinfak
Surah 57: Al-Hadid (7 – 11)
Ayat 7
ءَامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَأَنفِقُوا۟ مِمَّا جَعَلَكُم مُّسْتَخْلَفِينَ فِيهِ ۖ فَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَأَنفَقُوا۟ لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ
Berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan infakkanlah sebahagian daripada harta yang Dia telah menjadikan kamu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menginfakkan sebahagian daripada hartanya, dia mendapat pahala yang besar.
Allah Swt memerintahkan manusia agar beriman kepada-Nya dan kepada rasul-Nya dengan iman yang sempurna, terus menerus dan teguh di atas keimanan. Dia juga mendorong manusia untuk membelanjakan harta mereka.
Sebenarnya harta yang mereka miliki itu adalah pinjaman daripada Allah Ta’ala kerana pada asalnya harta itu berada di tangan orang-orang sebelumnya kemudian beralih tangan kepada mereka. Dia menjadikan manusia sebagai pengelola harta yang berada di tangan mereka.
Dalam ayat ini terkandung isyarat yang menunjukkan bahawa kelak harta itu pada akhirnya akan ditinggalkan juga oleh pemiliknya dan akan menjadi milik orang lain. Beruntunglah seandainya waris mereka menggunakan harta warisan mereka untuk ketaatan.
Allah Swt juga mendorong mereka menggunakan harta yang dikurniakan kepada mereka demi mentaati-Nya. Jika mereka melakukannya, manfaatnya akan kembali kepada mereka juga. Jika tidak, maka Dia akan menghisab dan menghukum kerana meninggalkan kewajipan yang berkaitan dengan harta.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Abdullah Asy-Syikhkhir, dia berkata ketika dia menghadap Rasulullah saw baginda bersabda:
“(Allah berfirman), ‘Bermegah-megahan telah melalaikan kamu.’ Anak Adam berkata, ‘Hartaku, hartaku!’ Padahal tidak ada bagimu daripada hartamu kecuali apa yang kamu makan, lalu kamu habiskan atau yang kamu pakai, lalu kamu menjadikannya usang atau yang kamu sedekahkan, maka kamu meraih pahalanya.”
(HR. Ahmad)
Diriwayatkan juga oleh Imam Muslim dan dia menambahkan, “Dan selain itu, akan lenyap dan engkau tinggalkan untuk manusia.”
Ayat 8
وَمَا لَكُمْ لَا تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۙ وَٱلرَّسُولُ يَدْعُوكُمْ لِتُؤْمِنُوا۟ بِرَبِّكُمْ وَقَدْ أَخَذَ مِيثَـٰقَكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah, padahal rasul menyeru kamu agar kamu beriman kepada Rabbmu? Dan sesungguhnya Dia telah mengambil perjanjian kamu, jika kamu orang-orang yang beriman.
Kemudian dalam ayat ini, Allah Swt mencela orang-orang yang tidak mahu beriman, padahal rasul berada di kalangan mereka. Rasul itu menyeru mereka supaya beriman dengan memberikan bukti-bukti yang membenarkan apa yang dia sampaikan kepada mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan ingatlah akan kurniaan Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikatkan kepadamu ketika kamu mengatakan, ‘Kami dengar dan kami taat.’……….”
Al-Ma’idah 5:7
Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari, bahawa pada suatu hari Rasulullah saw telah bertanya kepada para sahabatnya:
“Siapakah orang mukmin yang paling kalian kagumi imannya?” Mereka menjawab, “Para malaikat.” Rasulullah saw menjawab, “Mereka selayaknya beriman kerana mereka berada di sisi Rabb mereka.” Para sahabat berkata, “Kalau begitu, para nabi?” Rasulullah saw menjawab, “Mengapa mereka tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka?” Para sahabat kembali menjawab, “Kalau begitu, kami.” Rasulullah saw menjawab, “Kalian layak beriman kerana aku berada di antara kalian? Orang mukmin yang paling menakjubkan keimanannya ialah suatu kaum yang datang sesudah kalian, mereka hanya menemui lembaran-lembaran (mushaf), lalu mereka beriman dengan semua yang terkandung di dalamnya.”
(HR. Al-Bukhari)
Ibnu Jarir berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan ayat, “mengambil perjanjian kamu,” dalam ayat ini adalah perjanjian yang diambil daripada manusia pada saat mereka masih berada di dalam sulbi lagi. Pendapat ini juga dikemukakan oleh Mujahid, hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui.
Ayat 9
هُوَ ٱلَّذِى يُنَزِّلُ عَلَىٰ عَبْدِهِۦٓ ءَايَـٰتٍۭ بَيِّنَـٰتٍ لِّيُخْرِجَكُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ بِكُمْ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Dia-lah yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (Al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya Allah Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu.
Allah Swt menyatakan Dia-lah Yang menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad saw yang mengandungi ayat-ayat yang terperinci dan jelas untuk mengeluarkan mereka daripada kegelapan dan kekufuran kepada cahaya iman.
Sesungguhnya Allah Swt benar-benar merahmati hamba-hamba-Nya dengan rahmat yang luas di dunia dan di akhirat, lalu Dia akan membalas mereka dengan balasan yang paling baik.
Ayat 10
وَمَا لَكُمْ أَلَّا تُنفِقُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ لَا يَسْتَوِى مِنكُم مَّنْ أَنفَقَ مِن قَبْلِ ٱلْفَتْحِ وَقَـٰتَلَ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِّنَ ٱلَّذِينَ أَنفَقُوا۟ مِنۢ بَعْدُ وَقَـٰتَلُوا۟ ۚ وَكُلًّا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Dan mengapa kamu tidak menginfakkan (sebahagian hartamu) pada jalan Allah, padahal Allah-lah yang mempusakai (memiliki) langit dan bumi? Tidak sama antara kamu orang yang menginfakkan (hartanya) dan berperang sebelum penaklukan (Mekah). Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang-orang yang menginfakkan (hartanya) dan berperang setelah itu. Allah menjanjikan kepada mereka (balasan) yang lebih baik. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.
Allah Swt mengecam dan mencerca orang-orang yang tidak mahu berinfak. Ini kerana milik-Nya-lah segala kekayaan di langit dan di bumi.
Sebenarnya mereka tidak perlu berasa bimbang akan kekurangan harta atau takut jatuh miskin kerana sesungguhnya Rabb mereka adalah Rabb yang memiliki langit dan bumi serta di tangan-Nya-lah kunci-kunci kedua-duanya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….Dan apa sahaja yang kamu berikan, Allah akan menggantinya dan Dia-lah sebaik-baik Pemberi Rezeki.”
Saba’ 34:39
Orang-orang yang menginfakkan harta mereka sebelum dan selepas penaklukan kota Mekah, semuanya diberikan pahala meskipun terdapat perbezaan tingkatan pahala tersebut sebagaimana firman Allah Swt:
“Tidak sama antara orang beriman yang duduk (yang tidak turut berperang) tanpa keuzuran (halangan) dengan orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan darjat orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas daripada orang-orang yang duduk (tidak turut berperang tanpa halangan). Kepada masing-masing, Allah janjikan (pahala) yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas daripada orang yang duduk dengan pahala yang besar.”
An-Nisa’ 4:95
Ayat 11
مَّن ذَا ٱلَّذِى يُقْرِضُ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَـٰعِفَهُۥ لَهُۥ وَلَهُۥٓ أَجْرٌ كَرِيمٌ
Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.
‘Umar bin Al-Khattab ra mengatakan, yang dimaksudkan dengan ayat, “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik,” ialah menginfakkan harta pada jalan Allah. Ada juga yang mentafsirkan sebagai nafkah keluarga. Sebenarnya, maksud ayat ini adalah umum iaitu sesiapa pun yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah dengan niat yang ikhlas dan tekad yang benar, maka dia termasuk dalam pengertian ayat ini. Balasan kepada mereka ialah pahala yang baik, rezeki yang banyak dan dimasukkan ke syurga.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak……….”
Al-Baqarah 2:245
Ibnu Abu Hatim meriwayatkan daripada ‘Abdullah Ibnu Mas’ud yang mengatakan bahawa ketika ayat 11 surah Al-Hadid ini diturunkan, Abud Dahdah Al-Ansari bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah Allah menghendaki pinjaman daripada kita?” Rasulullah saw menjawab, “Benar, wahai Abud Dahdah.” Abud Dahdah berkata, “Wahai Rasulullah, perlihatkanlah tanganmu.” Rasulullah saw pun mendekatkan tangannya kepada Abud Dahdah, lalu Abud Dahdah menjabat tangan Rasulullah saw sambil berkata, “Sesungguhnya aku meminjamkan kebunku untuk Rabbku.” Dia mempunyai kebun kurma dengan enam ratus pohon kurma. Ummu Dahdah tinggal di dalam kebun itu bersama anak-anaknya. Kemudian Abud Dahdah pulang dan memanggil isterinya, “Wahai Ummu Dahdah.” Isterinya menjawab, “Ya.” Abud Dahdah berkata, “Keluarlah, sesungguhnya kebun ini telah kupinjamkan kepada Rabbku.”