Ilmu, Kekuasaan dan Keluasan Kerajaan Allah Swt
Surah 57: Al-Hadid (4 – 6)
Ayat 4
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ ۚ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنزِلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا ۖ وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar dari dalamnya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menciptakan langit dan bumi selama 6 hari. Dia-lah Yang Mengetahui kadar ukuran 6 hari tersebut dan dalam 6 fasa yang berbeza.
Kemudian Allah Swt bersemayam di atas ‘Arasy dengan bentuk bersemayam yang sesuai dan layak bagi-Nya yang tidak ada yang mengetahui selain Dia.
Seterusnya Allah Swt menyatakan bahawa:
▪️ Dia Maha Mengetahui segala sesuatu termasuk apa yang masuk ke dalam bumi seperti air hujan.
▪️ Dia Maha Mengetahui apa yang keluar dari bumi seperti tumbuhan.
▪️ Dia Maha Mengetahui segala apa yang turun dari langit seperti hujan dan malaikat.
▪️ Dia Maha Mengetahui apa yang naik ke langit seperti wap, para malaikat, amalan hamba-hamba-Nya dan sebagainya.
Sesungguhnya Allah Swt yang Maha Mengetahui tentang apa sahaja yang berlaku dan Maha Melihat setiap perbuatan makhluk ciptaan-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan kunci-kunci semua perkara ghaib ada pada-Nya, tidak ada yang mengetahuinya selain Dia. Dia mengetahui apa yang di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun gugur yang tidak diketahui-Nya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).”
Al-An’am 6:59
Rasulullah saw bersabda kepada Jibril ketika baginda ditanya olehnya tentang maksud ihsan:
“Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 5
لَّهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ
Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi. Dan kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia adalah pemilik dan penguasa dunia dan akhirat. Tidak ada yang mampu menolak atau menghalang segala ketetapan-Nya. Dia-lah Yang Terpuji atas semua itu.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan sesungguhnya kepunyaan Kami-lah akhirat dan dunia.”
Al-Lail 92:13
“Dan Dia-lah Allah, tidak ada Ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia, bagi-Nya-lah segala puji di dunia dan di akhirat, dan bagi-Nya-lah segala penentuan dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”
Al-Qasas 28:70
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah tempat kembali segala urusan. Dia-lah yang akan memberikan keputusan pada makhluk-Nya mengikut kehendak-Nya dan Dia-lah Maha Adil yang tidak akan pernah menzalimi sedikit pun.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia di langit dan di bumi dan kepada-Nya segala urusan dikembalikan. Sembahlah Dia, dan bertawakallah kepada-Nya. Dan (ingatlah) Rabbmu sekali-kali tidak lalai terhadap apa yang kamu lakukan.”
Hud 11:123
Ayat 6
يُولِجُ ٱلَّيْلَ فِى ٱلنَّهَارِ وَيُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِى ٱلَّيْلِ ۚ وَهُوَ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
Dia-lah yang memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati.
Allah Swt menyatakan Dia memasukkan sebahagian waktu malam ke dalam waktu siang sehingga waktu siang menjadi lebih panjang. Dia juga memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam sehingga waktu malam menjadi lebih panjang.
Kemudian Allah Swt mengatakan bahawa Dia Maha Mengetahui segala rahsia dan apa yang disimpan di dalam dada setiap makhluk-Nya. Sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang samar bagi-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Tidakkah kamu memerhatikan, bahawa sesungguhnya Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar sehingga sampai kepada waktu yang ditentukan, dan sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”
Luqman 31:29