Surah 56: Al-Waqi’ah (57 – 62)

Kepastian Berlakunya Hari Kiamat dan Dalil Adanya Hari Kebangkitan

Surah 56: Al-Waqi’ah (57 – 62)


Ayat 57

نَحْنُ خَلَقْنَـٰكُمْ فَلَوْلَا تُصَدِّقُونَ

Kami telah menciptakan kamu, mengapa kamu tidak membenarkan (Hari Kebangkitan)?

Ayat ini merupakan pengukuhan dan pembuktian tentang kehidupan akhirat secara kiasan.

Allah Swt telah menetapkan adanya Hari Kebangkitan dan menyanggah orang-orang yang mendustakannya, sebagaimana ucapan mereka dalam ayat 47 Surah Al-Waqi’ah iaitu:

“Dan mereka selalu mengatakan, ‘Apabila kami sudah mati, menjadi tanah dan tulang-belulang, apakah kami benar-benar akan dibangkitkan kembali?’”

Perkataan yang keluar dari mulut mereka itu adalah sebagai bentuk pengingkaran dan mereka menganggap perkara itu mustahil akan berlaku.

Oleh itu dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang menciptakan mereka pada kali pertama daripada tiada. Sekiranya Dia mampu menciptakan pada kali yang pertama, tentu Dia juga mampu untuk mengembalikannya lagi pada Hari Kebangkitan, bahkan mengembalikan itu lebih mudah. Mengapa mereka tidak mahu mempercayainya?

Ayat 58

أَفَرَءَيْتُم مَّا تُمْنُونَ

Adakah kamu memerhatikan, tentang (benih manusia) yang kamu pancarkan?

Ayat 59

ءَأَنتُمْ تَخْلُقُونَهُۥٓ أَمْ نَحْنُ ٱلْخَـٰلِقُونَ

Kamukah yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?

Selanjutnya, Allah Swt memaparkan bukti-bukti lain tentang kekuasaan-Nya iaitu bagaimana Dia menciptakan manusia. Mula-mula Dia menjadikan benih (air mani) memancar ke dalam rahim. Kemudian Allah Swt mencabar manusia dengan pertanyaan adakah mereka boleh menciptakan seorang manusia. Sudah pasti hanya Dia-lah sahaja yang mampu melakukannya.

Ayat 60

نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ ٱلْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ

Kami telah menetapkan kematian setiap daripada kamu dan Kami sekali-kali tidak dapat dikalahkan (dilemahkan).

Ayat 61

عَلَىٰٓ أَن نُّبَدِّلَ أَمْثَـٰلَكُمْ وَنُنشِئَكُمْ فِى مَا لَا تَعْلَمُونَ

Untuk menggantikan kamu dengan orang-orang yang seperti kamu (di dunia) dan menghidupkan kamu kelak (di akhirat) dalam keadaan yang tidak kamu ketahui.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang menentukan tempoh kematian mereka. Adh-Dhahhak mengatakan tidak ada bezanya antara penghuni langit dan bumi. Semuanya pasti mengalami kematian. Dia sekali-kali tidak lemah untuk menggantikan bentuk makhluk-Nya pada Hari Kiamat nanti.

Ayat 62

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ ٱلنَّشْأَةَ ٱلْأُولَىٰ فَلَوْلَا تَذَكَّرُونَ

Dan demi sesungguhnya kamu telah mengetahui terciptanya diri kamu kali pertama, mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?

Sesungguhnya mereka telah mengetahui bahawa Allah Swt-lah yang menciptakan mereka daripada tiada menjadi ada. Dia juga menciptakan mereka dan menjadikan bagi mereka pendengaran, penglihatan, dan hati. Maka mengapa mereka tidak mengambil pelajaran dan mengapa mereka tidak menyedari bahawa Tuhan yang mampu menciptakan semuanya itu pada kali pertama, mampu untuk menciptakannya kembali.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan Dia-lah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah bagi-Nya………..”

Ar-Rum 30:27

“Dan tidakkah manusia berfikir bahawa Kami menciptakan mereka daripada setitis mani, ternyata dia menjadi musuh yang nyata! Dan dia membuat perumpamaan bagi Kami dan melupakan asal usul kejadiannya, dia berkata, ‘Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-belulang, yang telah hancur luluh?’ Katakanlah (Muhammad), ‘Yang akan menghidupkannya ialah (Allah) yang menciptakannya sejak awal. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk.’”

Yasin 36:77-79

Ayat ini merupakan dalil dan bukti tentang kebohongan dan kekeliruan orang-orang yang mendustakan dan tidak mempercayai adanya Hari Kebangkitan. Juga sebagai dalil terhadap kebenaran risalah yang dibawa oleh para rasul.