Surah 56: Al-Waqi’ah (41 – 56)

Golongan Kiri (Ashabul Syimal) dan Balasan untuk Mereka

Surah 56: Al-Waqi’ah (41 – 56)


Ayat 41

وَأَصْحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ مَآ أَصْحَـٰبُ ٱلشِّمَالِ

Dan golongan kiri. Siapakah golongan kiri itu?

Orang-orang yang termasuk dalam golongan kiri adalah orang-orang yang ingkar dan selalu menyimpang daripada jalan Allah Swt. Alangkah sengsaranya golongan ini kerana mereka akan menerima azab sesuai dengan perbuatan mereka ketika di dunia dahulu.

Ayat 42

فِى سَمُومٍ وَحَمِيمٍ

(Mereka) dalam seksaan angin yang sangat panas dan air panas yang mendidih.

Mereka diseksa dalam seksaan angin yang tersangat panas. Kepanasan itu terasa hingga ke dalam badan menyebabkan mereka seperti orang yang kerasukan. Manakala minuman untuk mereka adalah daripada air yang mendidih.

Ayat 43

وَظِلٍّ مِّن يَحْمُومٍ

Dan naungan asap yang hitam.

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Ikrimah, Abu Saleh, Qatadah, As-Saddi dan lain-lainnya mengatakan yang dimaksudkan dengan ‎يَحْمُومٍ ialah asap yang hitam pekat.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Dikatakan kepada mereka), ‘Pergilah kamu dapatkan azab yang dahulu kamu dustakan. Pergilah kamu dapatkan naungan (asap api neraka) yang mempunyai tiga cabang (kiri, kanan dan atas). Yang tidak melindungi dan tidak pula menolak nyalaan api neraka.’ Sesungguhnya, (neraka) itu menyemburkan bunga api (sebesar dan setinggi) istana. (Banyaknya dan warnanya) laksana rombongan unta yang kuning. Kecelakaan yang besarlah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran).”

Al-Mursalat 77:29-34

Ayat 44

لَّا بَارِدٍ وَلَا كَرِيمٍ

Tidak sejuk dan tidak menyenangkan.

Al-Hasan dan Qatadah mengatakan hembusan asap hitam itu tidak menyenangkan dan pemandangannya tidak membahagiakan. Adh-Dhahhak mengatakan bahawa setiap minuman tidak enak rasanya.

Ayat 45

إِنَّهُمْ كَانُوا۟ قَبْلَ ذَٰلِكَ مُتْرَفِينَ

Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah.

Seterusnya, Allah Swt menjelaskan bahawa mereka ditimpakan azab sedemikian adalah disebabkan semasa di dunia dahulu mereka hidup bermewah-mewah dan bersenang-senang dengan perkara-perkara yang haram. Mereka tidak menghiraukan ajaran agama yang dibawa oleh para rasul.

Ayat 46

وَكَانُوا۟ يُصِرُّونَ عَلَى ٱلْحِنثِ ٱلْعَظِيمِ

Dan mereka terus menerus mengerjakan dosa yang besar.

Mereka terus menerus melakukan dosa besar dan sedikit pun tidak berniat untuk bertaubat. Mereka kufur kepada Allah Swt dengan menjadikan berhala-berhala dan sekutu-sekutu sebagai tuhan selain-Nya.

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, ‘Ikrimah, Adh-Dhahhak, Qatadah, As-Suddi dan lain-lain mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan dosa besar dalam ayat ini ialah mensyirikkan Allah Swt.

Ayat 47

وَكَانُوا۟ يَقُولُونَ أَئِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَـٰمًا أَءِنَّا لَمَبْعُوثُونَ

Dan mereka selalu mengatakan, “Apabila kami sudah mati, menjadi tanah dan tulang-belulang, apakah kami benar-benar akan dibangkitkan kembali?

Ayat 48

أَوَءَابَآؤُنَا ٱلْأَوَّلُونَ

Apakah nenek moyang kami yang terdahulu (dibangkitkan juga)?”

Ayat 47 dan 48 ini adalah satu bentuk pengingkaran orang-orang yang tidak mempercayai adanya Hari Kebangkitan. Mereka mengatakan demikian dengan tujuan mendustakan dan menganggap perkara itu mustahil akan berlaku. Mereka menolak wahyu dengan menggunakan akal mereka yang cetek.

Sebenarnya mereka tahu bahawa kelak mereka akan mati. Mereka melihat orang yang mati itu telah hancur. Oleh itu dengan menggunakan akal mereka, mereka tidak yakin bahawa tulang belulang yang telah hancur itu dapat dihidupkan kembali menjadi manusia semula.

Ayat 49

قُلْ إِنَّ ٱلْأَوَّلِينَ وَٱلْـَٔاخِرِينَ

Katakanlah, “Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu dan yang kemudian.

Ayat 50

لَمَجْمُوعُونَ إِلَىٰ مِيقَـٰتِ يَوْمٍ مَّعْلُومٍ

Benar-benar akan dikumpulkan pada waktu tertentu pada hari yang sudah termaklum.

Kemudian Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw agar memberitahu mereka, bahawa keseluruhan anak cucu Nabi Adam as iaitu daripada orang pertama hinggalah yang terakhir hidup di atas dunia akan dikumpulkan di mahsyar pada Hari Kiamat nanti dengan tidak ada seorang pun yang tertinggal.

Hari tersebut telahpun ditentukan oleh Allah Swt dan tidak dipercepatkan ataupun dilambatkan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Itulah hari ketika semua manusia dikumpulkan (untuk dihisab), dan itulah hari yang disaksikan (oleh semua makhluk). Dan Kami tidak akan menangguhkannya, kecuali ketika telah sampai waktu yang sudah ditentukan. Apabila tiba hari itu, tiada seorang pun yang berbicara, kecuali dengan izin-Nya. Maka di antara mereka ada yang tercela dan ada yang berbahagia.”

Hud 11:103-105

Ayat 51

ثُمَّ إِنَّكُمْ أَيُّهَا ٱلضَّآلُّونَ ٱلْمُكَذِّبُونَ

Kemudian sesungguhnya kamu, wahai orang-orang yang sesat lagi mendustakan.

Ayat 52

لَـَٔاكِلُونَ مِن شَجَرٍ مِّن زَقُّومٍ

Benar-benar akan memakan pohon zaqqum.

Ayat 53

فَمَالِـُٔونَ مِنْهَا ٱلْبُطُونَ

Maka akan penuhi perutmu dengannya.

Kemudian dalam ayat-ayat ini, Allah Swt menjelaskan beberapa bentuk seksaan yang berkaitan dengan makanan dan minuman mereka.

Mereka di akhirat kelak akan diberikan makanan daripada pohon zaqqum yang merupakan pokok yang bentuk dan rasanya tersangat teruk. Walaupun begitu makanan inilah yang akan memenuhi perut mereka disebabkan kelaparan yang teramat.

Ayat 54

فَشَـٰرِبُونَ عَلَيْهِ مِنَ ٱلْحَمِيمِ

Setelah itu kamu akan meminum air yang sangat panas.

Ayat 55

فَشَـٰرِبُونَ شُرْبَ ٱلْهِيمِ

Maka kamu minum seperti unta (yang sangat haus) minum.

Ayat 54 dan 55 ini pula menerangkan bahawa setelah mereka memakan pokok zaqqum, mereka diberi pula minum air yang sangat panas.

Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Sa’id bin Jubair dan ‘Ikrimah mengatakan maksud ٱلْهِيمِ dalam ayat ini ialah unta yang sangat haus.

As-Suddi pula mengatakan ٱلْهِيمِ bererti penyakit yang menyerang unta dan tidak pernah hilang dahaganya sehingga ia mati.

Begitu jugalah dengan penghuni neraka, mereka diberi minuman yang sangat panas yang tidak akan dapat menghilangkan dahaga selama-lamanya.

Ayat 56

هَـٰذَا نُزُلُهُمْ يَوْمَ ٱلدِّينِ

Itulah hidangan untuk mereka pada Hari Pembalasan.

Apa yang telah digambarkan dalam rangkaian ayat-ayat di atas merupakan sajian kepada orang-orang daripada golongan kiri pada hari mereka menjalani hisab. Wal’iyazubillahi min zalik.