Golongan Kanan (Ashabul Yamin) dan Balasan untuk Mereka
Surah 56: Al-Waqi’ah (27 – 40)
Ayat 27
وَأَصْحَـٰبُ ٱلْيَمِينِ مَآ أَصْحَـٰبُ ٱلْيَمِينِ
Dan golongan kanan. Siapakah golongan kanan itu?
Allah Swt menyebutkan tentang keadaan golongan kanan (ashabul yamin), mereka adalah orang-orang yang bertakwa. Menurut Maimun ibnu Mihran, kedudukan golongan kanan berada di bawah kedudukan orang-orang yang didekatkan kepada-Nya (Al-Muqarrabun).
Ayat 28
فِى سِدْرٍ مَّخْضُودٍ
Mereka berada di antara pohon bidara yang tidak berduri.
Mereka dapat menikmati buah bidara yang sangat sedap dalam pelbagai rasa. Pokoknya tidak berduri, lebat buahnya sehingga batangnya berat menahannya.
Ayat 29
وَطَلْحٍ مَّنضُودٍ
Dan pohon-pohon pisang yang bersusun-susun (buahnya).
Ini adalah pisang yang bersusun-susun yang bermaksud buahnya sangat banyak.
Ayat 30
وَظِلٍّۢ مَّمْدُودٍ
Dan naungan yang terbentang luas.
Ayat 31
وَمَآءٍ مَّسْكُوبٍ
Dan air yang mengalir terus-menerus.
Ayat-ayat ini merupakan gambaran betapa aman dan tenangnya suasana dalam syurga.
Dalam syurga terdapat naungan yang tersangat luas dan air jernih yang sentiasa mengalir. Ini menambahkan lagi keindahan syurga dan ketenangan di dalamnya.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw telah bersabda:
“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pohon, bila seorang pengembara berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun, dia masih belum menyelesaikan perjalanannya. Bacalah oleh kalian jika kalian suka akan firman-Nya, ‘Dan naungan yang terbentang luas.’”
(HR. Al-Bukhari, Muslim dan ‘Abdurrazzaq)
Ayat 32
وَفَـٰكِهَةٍ كَثِيرَةٍ
Dan buah-buahan yang banyak.
Mereka juga dikurniakan buah-buahan yang banyak daripada pelbagai warna. Buah-buahan tersebut belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terdetik dalam hati seorang manusia pun.
Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, “Telah terjadi gerhana matahari kemudian Rasulullah saw solat dan dikuti oleh para sahabat.” Lalu dia menyebutkan para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah! Kami melihat engkau mengambil sesuatu di tempat solatmu ini, kemudian kami melihat engkau berundur.” Rasulullah saw menjawab:
“Sesungguhnya aku melihat syurga, aku berusaha untuk memetik setangkai anggur, seandainya aku mengambilnya tentu kalian dapat memakannya selagi dunia masih ada.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 33
لَّا مَقْطُوعَةٍ وَلَا مَمْنُوعَةٍ
Yang tidak berhenti berbuah dan tidak dilarang mengambilnya.
Buah-buahan tersebut sangat banyak dan tidak pernah terputus serta tidak terbatas pada musim sejuk mahupun musim panas sahaja sebagaimana yang berlaku di dunia. Apabila mereka menginginkannya, buah-buahan syurga ini sentiasa ada dan amat mudah untuk mereka mendapatkannya.
Ayat 34
وَفُرُشٍ مَّرْفُوعَةٍ
Dan tempat-tempat tidur yang ditinggikan.
Allah Swt hanya memberikan sedikit sahaja maklumat tentang betapa indah dan selesanya kehidupan dalam syurga itu. Antaranya Dia menyediakan tempat istirahat yang terdapat katil dan tilam yang lembut. Katil dan tilam ini boleh ditinggikan serta direndahkan bagi tujuan keselesaan penghuni syurga.
Ayat 35
إِنَّآ أَنشَأْنَـٰهُنَّ إِنشَآءً
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa.
Ayat 36
فَجَعَلْنَـٰهُنَّ أَبْكَارًا
Lalu Kami jadikan mereka perawan-perawan.
Ayat 37
عُرُبًا أَتْرَابًا
Yang penuh cinta (dan) sebaya umurnya.
Selain nikmat-nikmat yang telah disebutkan dalam ayat-ayat di atas, dalam syurga juga terdapat bidadari yang jelita yang diciptakan oleh Allah Swt tanpa melalui proses kelahiran terlebih dahulu.
Bidadari-bidadari itu sentiasa perawan. Setiap kali mereka disetubuhi oleh suami mereka, mereka tetap kekal sebagai perawan.
Bidadari-bidadari ini sangat mencintai dan merindui suami mereka. Suami-suami mereka pun demikian juga terhadap mereka. Mereka memandang dengan pandangan penuh cinta kepada suami mereka. Adh-Dhahhak telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa usia mereka sama iaitu 33 tahun. Mereka akan kekal dalam keadaan demikian selama-lamanya.
Ayat 38
لِّأَصْحَـٰبِ ٱلْيَمِينِ
(Diciptakan mereka) untuk golongan kanan.
Nikmat-nikmat yang disebutkan sebelum ini adalah balasan kepada ahli syurga yang telah menerima kitab catatan amalan mereka dengan tangan kanan.
Ayat 39
ثُلَّةٌ مِّنَ ٱلْأَوَّلِينَ
(Iaitu) segolongan besar daripada orang-orang terdahulu.
Ayat 40
وَثُلَّةٌ مِّنَ ٱلْـَٔاخِرِينَ
Dan segolongan besar (juga) daripada orang-orang yang kemudian.
Allah Swt menyatakan bahawa ramai di antara mereka itu terdiri daripada golongan yang awal iaitu golongan yang terdahulu dan ramai juga daripada golongan yang terkemudian.