Penjelasan tentang Orang yang Paling Dahulu dan Orang Terkemudian
Surah 56: Al-Waqi’ah (13 – 26)
Ayat 13
ثُلَّةٌ مِّنَ ٱلْأَوَّلِينَ
Segolongan besar daripada orang-orang yang terdahulu.
Ayat 14
وَقَلِيلٌ مِّنَ ٱلْـَٔاخِرِينَ
Dan segolongan kecil daripada orang-orang yang kemudian.
Ulama tafsir berbeza pendapat tentang makna “ٱلْأَوَّلِينَ (orang-orang yang terdahulu) dan “الْآخِرِينَ” (orang-orang yang kemudian) iaitu:
▪️ Pendapat pertama
“Orang-orang yang terdahulu” adalah umat-umat terdahulu daripada umat manusia yang paling awal masuk Islam bersama dengan nabi-nabi mereka, sedangkan “orang-orang yang kemudian” adalah umat sekarang.
▪️ Pendapat kedua
Kedua-dua golongan ini iaitu orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang kemudian adalah daripada kalangan umat ini juga, iaitu golongan yang terdahulu terdiri daripada umat Nabi Muhammmad saw yang paling awal beriman, berhijrah dan berjihad dan orang-orang yang kemudian adalah generasi selepas mereka yang terdiri dari orang-orang yang dekat dengan Allah Swt daripada umat ini.
Allah Swt menyatakan bahawa golongan orang-orang terdahulu (As-Sabiqun) itulah yang paling ramai sedangkan golongan terkemudian hanyalah sebilangan kecil sahaja. Kedua-dua golongan ini beroleh syurga penuh kenikmatan.
Dengan demikian ada kemungkinan bahawa ayat ini merangkumi semua umat baik umat Nabi Muhammad saw mahupun umat sebelumnya. Oleh itu disebutkan dalam berapa hadis antaranya:
Rasulullah saw bersabda:
“Sebaik-baik generasi adalah generasiku, kemudian orang-orang setelah mereka (Tabi’in) kemudian orang-orang setelah mereka (Tabi’ut Tabi’in)” hingga akhir hadis.
(HR. Al-Bukhari)
Ayat 15
عَلَىٰ سُرُرٍ مَّوْضُونَةٍ
Mereka berada di atas pelamin-pelamin yang bertakhtakan emas dan permata.
Ayat 16
مُّتَّكِـِٔينَ عَلَيْهَا مُتَقَـٰبِلِينَ
Mereka bersandar di atasnya saling berhadapan.
Antara nikmat yang dikurniakan kepada kedua-dua golongan yang disebutkan dalam ayat 13 dan 14 iaitu golongan terdahulu (As-Sabiqun) dan yang terkemudian di syurga nanti ialah mereka akan duduk di atas sofa yang bertakhtakan emas dan permata sambil menikmati keindahan syurga. Mereka sentiasa saling memandang antara satu sama lain bukan membelakangi sesama mereka.
Ayat 17
يَطُوفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَٰنٌ مُّخَلَّدُونَ
Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap (kekal) muda.
Ayat 18
بِأَكْوَابٍ وَأَبَارِيقَ وَكَأْسٍ مِّن مَّعِينٍ
Dengan membawa piala-piala minuman dan cerek-cerek serta gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
Allah Swt menyatakan mereka juga akan sentiasa diberi layanan oleh pelayan-pelayan yang tetap muda buat selama-lamanya. Pelayan-pelayan itu akan berlegar-legar dalam syurga membawa air minuman untuk tuannya.
Maksud perkataan أَكْوَابٍ adalah gelas yang tidak ada pemegang dan muncungnya. Perkataan أَبَارِيقَ bermaksud gelas yang mempunyai pemegang dan muncungnya. Manakala kalimah كَأْسٍ pula adalah gelas-gelas. Semua bekas-bekas ini diisi dengan arak yang diambil dari sungai arak di dalam syurga yang terus menerus mengalir di dalam rumah mereka.
Ayat 19
لَّا يُصَدَّعُونَ عَنْهَا وَلَا يُنزِفُونَ
Mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk.
Mereka juga dihidangkan dengan minuman arak. Arak itu bukan sahaja sedap rasanya, tidak pula memabukkan dan tidak menyebabkan seseorang itu pening dan hilang akal setelah meminumnya. Ini berbeza dengan arak yang ada di dunia ini yang boleh menyebabkan peminumnya mabuk, hilang kewarasannya dan kadang-kadang muntah serta banyak buang air kecil.
Ayat 20
وَفَـٰكِهَةٍ مِّمَّا يَتَخَيَّرُونَ
Dan buah-buahan daripada apa yang mereka pilih.
Para pelayan tersebut akan mengelilingi penghuni syurga ini dengan membawa pelbagai jenis buah-buahan yang mereka pilih.
Ayat 21
وَلَحْمِ طَيْرٍ مِّمَّا يَشْتَهُونَ
Dan daging burung yang mereka inginkan.
Mereka juga dihidangkan dengan pelbagai jenis daging burung yang membangkitkan selera mereka seperti yang mereka idamkan.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah saw telah bersabda:
“Sesungguhnya burung syurga itu besarnya seperti unta, burung-burung itu terbang dengan bebasnya di pohon-pohon syurga.” Abu Bakar ra berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya burung-burung syurga itu benar-benar burung yang hidupnya senang.” Rasulullah saw bersabda:
“Orang yang memakannya berasa lebih senang daripadanya.” Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali dan meneruskan sabdanya, “Dan sesungguhnya aku sangat berharap semoga engkau termasuk salah seorang yang memakannya.”
(HR. Ahmad)
Ayat 22
وَحُورٌ عِينٌ
Dan bidadari-bidadari yang bermata cantik.
Kalimah حُورٌ dinisbahkan kepada kulitnya yang cantik dan kalimah عِينٌ dinisbahkan kepada matanya yang juga cantik. Oleh itu, bolehlah dimaksudkan bahawa mereka memiliki kulit dan mata yang cantik menyebabkan cantik dipandang.
Ayat 23
كَأَمْثَـٰلِ ٱللُّؤْلُؤِ ٱلْمَكْنُونِ
Laksana mutiara yang tersimpan baik.
Mereka seolah-olah mutiara yang basah dalam warna kulit yang putih bersih.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Seakan-akan mereka adalah telur yang tersimpan dengan baik.”
As-Saffat 37:49
Ayat 24
جَزَآءًۢ بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Sebagai balasan kepada apa yang mereka kerjakan.
Allah Swt mengurniakan segala kesenangan dan kenikmatan itu kepada orang-orang beriman kerana amalan soleh mereka semasa di dunia dahulu.
Ayat 25
لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلَا تَأْثِيمًا
Mereka tidak mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia dan tidak juga perkataan yang menimbulkan dosa.
Penduduk syurga tidak mendengar perkataan sia-sia dan perkataan buruk yang menimbulkan dosa dan sebagainya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Di sana (kamu) tidak mendengar perkataan yang tidak berguna.”
Al-Ghasyiyah 88:11
Ayat 26
إِلَّا قِيلًا سَلَـٰمًا سَلَـٰمًا
Mereka hanya mendengar ucapan, “Selamat! Selamat!”
Di dalam syurga mereka hanya mendengar ucapan salam. Perkataan mereka selamat daripada sia-sia dan dosa.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……………Ucapan penghormatan mereka dalam syurga itu ialah ‘salam.’”
Ibrahim 14:23