Manusia akan Terbahagi kepada 3 Golongan pada Hari Kiamat
Surah 56: Al-Waqi’ah (7 – 12)
Ayat 7
وَكُنتُمْ أَزْوَٰجًا ثَلَـٰثَةً
Dan kamu menjadi tiga golongan.
Semua makhluk yang mati akan hancur. Kemudian makhluk akan dibangunkan kembali serentak dari kubur masing-masing. Mereka akan dibawa ke mahsyar berduyun-duyun untuk menghadap Allah Swt. Manusia dan jin akan dibahagikan kepada tiga golongan besar.
Ayat 8
فَأَصْحَـٰبُ ٱلْمَيْمَنَةِ مَآ أَصْحَـٰبُ ٱلْمَيْمَنَةِ
Iaitu golongan kanan. Siapakah golongan kanan itu?
Tiga golongan ketika Hari Kiamat kelak ialah:
▪️ Golongan Pertama
Golongan kanan adalah orang-orang yang menerima buku catatan amal mereka dengan tangan kanan. Kedudukan mereka sangat agung kerana mereka dimasukkan ke dalam syurga, tempat yang penuh dengan kenikmatan.
Ayat 9
وَأَصْحَـٰبُ ٱلْمَشْـَٔمَةِ مَآ أَصْحَـٰبُ ٱلْمَشْـَٔمَةِ
Dan golongan kiri. Siapakah golongan kiri itu?
▪️ Golongan Kedua
Golongan kiri adalah orang-orang yang menerima buku catatan amal mereka dengan tangan kiri. Keadaan mereka tersangat sengsara dan terhina kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
Ayat 10
وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلسَّـٰبِقُونَ
Dan orang-orang yang telah mendahului, yang akan mendahului.
▪️ Golongan Ketiga
Beberapa pendapat mengatakan golongan ini merupakan golongan yang paling awal beriman. Mereka adalah para Nabi as dan orang-orang yang berlumba-lumba dan bersegera melakukan kebaikan. Mereka ini ditempatkan di syurga yang tertinggi (‘illiyyun).
Jumlah mereka jauh lebih kecil daripada golongan kanan. Di kalangan mereka inilah terdapat para rasul, para nabi, para siddiqin dan syuhada’.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Rabbmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”
Ali ‘Imran 3:133
“Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan keampunan daripada Rabbmu, dan syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan buat orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya……….”
Al-Hadid, 57:21
Sesiapa pun yang berlumba-lumba dan paling awal melakukan kebaikan semasa berada di dunia, di akhirat kelak dia termasuk orang-orang yang paling dahulu mendapat kehormatan dan kemuliaan.
Ayat 11
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلْمُقَرَّبُونَ
Mereka itulah orang yang didekatkan (kepada Allah).
Orang-orang daripada golongan ketiga inilah yang paling dahulu mendapat kehormatan dan kemuliaan di akhirat kelak. Mereka jugalah yang paling dekat dengan Allah Swt, lebih beruntung dan lebih khusus daripada golongan kanan kerana mereka ini mendahului (memimpin) golongan kanan.
Ayat 12
فِى جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ
Berada di dalam syurga-syurga kenikmatan.
Mereka akan ditempatkan di dalam kebun-kebun syurga yang penuh dengan nikmat. Syurga adalah tempat untuk menikmati pemberian Allah Swt.
Kalimah النَّعيمِ bermaksud nikmat yang sempurna. Syurga adalah tempat rehat, tidak ada lagi ibadat di sana. Jika di dunia seseorang itu perlu menahan nafsu, di syurga pula adalah tempat untuk memuaskan nafsu sekehendak hati. Ini adalah balasan bagi orang-orang yang menahan nafsu mereka semasa berada di dunia.