Keadaan Hari Kiamat
Surah 56: Al-Waqi’ah (1 – 6)
Ayat 1
إِذَا وَقَعَتِ ٱلْوَاقِعَةُ
Apabila terjadi Hari Kiamat (Al-Waqi’ah).
Ayat 2
لَيْسَ لِوَقْعَتِهَا كَاذِبَةٌ
Terjadinya (kiamat) itu tidak dapat didustakan (disangkal).
Kalimah الواقِعَةُ diambil daripada kalimah asal و ق ع yang bermaksud berlaku atau pasti. Ia digunakan sebagai nama lain bagi Hari Kiamat. Ini kerana Hari Kiamat itu pasti terjadi, namun kita tidak mengetahui bila ia akan berlaku.
Kalimah كاذِبَةٌ juga boleh bermaksud penolakan. Bila kiamat sudah mula berlaku, ia tidak akan dapat ditolak dan ditahan lagi. Ia pasti akan terjadi bila Allah Swt menghendakinya.
Allah Swt memulakan surah ini dengan menjelaskan bahawa Hari Kiamat itu merupakan ketetapan-Nya yang pasti terjadi. Apabila terjadinya kiamat, maka tiada siapa dapat menghalang atau menolaknya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Maka pada hari itu terjadilah Hari Kiamat (Al-Waqi’ah).”
Al-Haqqah 69:15
“Patuhilah seruan Rabbmu sebelum datang daripada Allah suatu hari yang tidak dapat ditolak kedatangannya………………”
Asy-Syura 42:47
Ayat 3
خَافِضَةٌ رَّافِعَةٌ
(Kejadian itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain).
Kejadian Hari Kiamat ini akan merendahkan orang-orang yang ingkar kepada Allah Swt ketika di dunia dahulu dan meninggikan orang-orang yang beriman kepada-Nya dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
Orang-orang yang ingkar kepada perintah Allah Swt semasa hidup di dunia akan dimasukkan ke dalam neraka. Ada yang akan dimasukkan sehingga ke bahagian paling bawah, walaupun mereka dahulu di dunia adalah orang-orang yang berkedudukan tinggi dan terhormat.
Ada pula daripada puak lain yang diangkat kedudukan mereka supaya dimasukkan ke dalam syurga. Mereka itu boleh dinaikkan tinggi sehingga ke tingkatan paling tinggi di syurga dengan kenikmatan yang abadi walaupun dulu mereka semasa di dunia adalah orang-orang yang rendah kedudukannya. Ini adalah kerana ketaatan mereka kepada perintah Allah Swt dan mengamalkan ajaran dan fahaman tauhid.
Ayat 4
إِذَا رُجَّتِ ٱلْأَرْضُ رَجًّا
Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya.
Ketika berlakunya Hari Kiamat, bumi akan bergoncang sedahsyat-dahsyatnya sehingga menyebabkan segala yang ada di atasnya runtuh dan hancur.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat).”
Al-Zalzalah 99:1
“Wahai manusia, bertakwalah kepada Rabbmu. Sesungguhnya kegoncangan Hari Kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat).”
Al-Hajj 22:1
Ayat 5
وَبُسَّتِ ٱلْجِبَالُ بَسًّا
Dan gunung-gunung dihancurkan sehancur-hancurnya.
Ayat 6
فَكَانَتْ هَبَآءً مُّنۢبَثًّا
Maka jadilah ia debu yang berterbangan.
Gunung-gunung tercabut dari tempat masing-masing kemudian hancur sehingga menjadi debu-debu berterbangan bagaikan kapas ditiup angin dan akhirnya lenyap tanpa bekas. Begitulah gambaran betapa dahsyatnya kiamat nanti.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Pada hari bumi dan gunung-gunung bergoncangan, dan menjadilah gunung-gunung itu tompokan-tompokan pasir yang berterbangan.”
Al-Muzzammil 73:14