
Surah Al-Waqi’ah
| Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
| Surah: | 56 |
| Juzuk: | 27 |
| Jumlah Ayat: | 96 |
| Maksud Surah: | Hari Kiamat |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan dengan Al-Waqi’ah (Hari Kiamat) kerana diambil daripada perkataan Al-Waqi’ah yang terdapat pada ayat pertama.
Surah ini memfokuskan kepada kepastian Hari Kiamat dan balasan yang bakal diterima oleh manusia.
Isi Kandungan Utama
Peristiwa Hari Kiamat (ayat 1-56): Menceritakan tentang kedahsyatan Hari Kiamat. Manusia akan dibahagikan kepada 3 golongan utama di akhirat:
- As-Sabiqun (Golongan yang terdahulu) – Mereka yang paling awal beriman dan berlumba-lumba melakukan kebaikan. Balasan mereka adalah syurga yang tertinggi.
- Ashabul Yamin (Golongan kanan) – Golongan yang beramal soleh. Mereka akan menerima buku amalan di tangan kanan dan ditempatkan di syurga.
- Ashabul Syimal (Golongan kiri) – Golongan yang ingkar dan kufur. Mereka akan menerima buku amalan di tangan kiri dan ditempatkan di neraka.
Bukti Kekuasaan Allah Swt (ayat 57-76): Mengajak manusia berfikir tentang bukti kekuasaan Allah melalui proses penciptaan manusia (daripada setitis air mani), tumbuhan yang tumbuh, air yang diminum dan api yang dihidupkan. Semua ini membuktikan kekuasaan Allah dalam menghidupkan semula manusia selepas mati.
Bukti Kebenaran Al-Quran (ayat 77-82): Menegaskan bahawa Al-Quran adalah wahyu yang suci, diturunkan daripada Tuhan sekalian alam.
Keadaan Manusia ketika Sakaratul Maut (ayat 83-96): Surah ini ditutup dengan peringatan mengenai realiti kematian yang pasti dihadapi oleh setiap manusia dan perintah untuk sentiasa mensyukuri dan bertasbih membesarkan nama Allah Swt.