Surah 55: Ar-Rahman (37 – 45)

Kengerian Hari Kiamat dan Keadaan Orang yang Berdosa di dalam Neraka

Surah 55: Ar-Rahman (37 – 45)


Ayat 37

فَإِذَا ٱنشَقَّتِ ٱلسَّمَآءُ فَكَانَتْ وَرْدَةً كَٱلدِّهَانِ

Maka apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar seperti (kilauan) minyak.

Langit melebur sebagaimana leburnya emas dan perak dalam tungku pemanasnya dan berwarna-warni. Adakalanya berwarna merah, kuning, hijau dan biru. Ini terjadi disebabkan beratnya urusan dan dahsyatnya kejadian Hari Kiamat. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) langit pecah mengeluarkan kabus putih dan para malaikat diturunkan (secara) berpasukan.”

Al-Furqan 25:25

Ayat 38

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?

Orang-orang yang meragukan kuasa Allah Swt untuk mengadakan Hari Kiamat diingatkan bahawa kelak mereka akan melihat sendiri kiamat yang terjadi dengan sebenarnya. Maka waktu itu adakah mereka hendak mendustakan lagi kuasa Allah?

Ayat 39

فَيَوْمَئِذٍ لَّا يُسْـَٔلُ عَن ذَنۢبِهِۦٓ إِنسٌ وَلَا جَآنٌّ

Maka pada hari itu manusia dan jin tidak ditanya tentang dosanya.

Ayat ini menyatakan tentang apa yang akan berlaku pada fasa awal Hari Kiamat. Pada masa itu, tidak perlu ditanya tentang dosa yang telah dilakukan oleh manusia dan jin. Ini kerana masing-masing dapat dikenali melalui keadaan dan tanda-tanda yang ada pada diri masing-masing.

Manakala dalam keadaan yang lain, semua makhluk akan ditanya tentang amal perbuatan masing-masing.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maka Demi Rabbmu, Kami pasti akan bertanya kepada mereka semua tentang apa yang telah mereka lakukan dahulu.”

Al-Hijr 15:92-93

Ayat 40

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?

Antara nikmat Allah Swt kepada manusia dan jin ialah Dia menakut-nakutkan mereka dengan seksaan di akhirat sebagai balasan kepada orang-orang yang berdosa. Ini supaya mereka kembali insaf dan bertaubat. Maka nikmat manakah yang mereka dustakan?

Mereka dikenakan azab kerana mereka tidak menghargai nikmat Allah Swt semasa mereka hidup di dunia dulu. Maka sekarang, rasailah azab yang menimpa mereka.

Ayat 41

يُعْرَفُ ٱلْمُجْرِمُونَ بِسِيمَـٰهُمْ فَيُؤْخَذُ بِٱلنَّوَٰصِى وَٱلْأَقْدَامِ

Orang-orang yang berdosa itu dikenali dengan tanda-tandanya, lalu dipegang ubun-ubun dan kaki-kaki mereka.

Al-Hasan dan Qatadah mengatakan bahawa orang-orang yang berdosa dikenali melalui muka mereka yang hitam legam dan mata kebiru-biruan. Para malaikat Zabaniyah memegang ubun-ubun yang dirapatkan kepada kedua-dua belah kaki mereka, lalu mencampakkan mereka ke dalam neraka. Al-A’masy telah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa ubun-ubun dan kedua-dua belah kaki mereka ditarik dan dipatahkan seperti kayu bakar yang dipatahkan ketika hendak dijadikan bara api sewaktu memasak.

Ayat 42

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?

Allah Swt bertanyakan nikmat manakah yang mereka dustakan setelah diberikan teguran dan peringatan keras terlebih dahulu.

Ayat 43

هَـٰذِهِۦ جَهَنَّمُ ٱلَّتِى يُكَذِّبُ بِهَا ٱلْمُجْرِمُونَ

Inilah Neraka Jahannam yang didustakan oleh orang-orang yang berdosa.

Allah Swt mengecam dan menghina orang-orang yang dahulunya mendustakan adanya azab Neraka Jahannam.

Ayat 44

يَطُوفُونَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ حَمِيمٍ ءَانٍ

Mereka berulang-ulang di antaranya dan di antara air mendidih yang memuncak panasnya.

Dalam Neraka Jahannam itu mereka akan diseksa dengan dua bentuk seksaan iaitu dibakar dengan api neraka dan diberikan minuman daripada air yang mendidih secara bergilir-gilir.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Ketika belenggu dan rantai dipasang di leher mereka, lalu mereka diheret ke dalam air yang sangat panas, kemudian mereka dibakar di dalam api.”

Al-Mu’min 40:71-72

“Diberi minum daripada sumber mata air yang sangat panas.”

Al-Ghasyiyah 88:5

Ayat 45

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?

Setelah adanya penjelasan dan peringatan terlebih dahulu daripada Allah Swt, maka nikmat manakah lagi yang hendak didustakan.