Surah 55: Ar-Rahman (31 – 36)

Ancaman kepada Jin dan Manusia serta Beratnya Seksa yang Akan Menimpa Mereka pada Hari Kiamat

Surah 55: Ar-Rahman (31 – 36)


Ayat 31

سَنَفْرُغُ لَكُمْ أَيُّهَ ٱلثَّقَلَانِ

Kami akan menperhatikan kamu sepenuhnya wahai (golongan) manusia dan jin.

Ayat ini merupakan ancaman dan peringatan keras daripada Allah Swt tentang hari perhitungan dan pembalasan terhadap amal perbuatan manusia pada Hari Kiamat kelak adalah sesuatu yang pasti terjadi. Ini adalah supaya mereka benar-benar takut dan waspada terhadap hari tersebut.

Maksud فرغ adalah ‘terluang’. Allah yang Maha Tinggi sentiasa ada masa dan meluangkannya untuk makhluk-Nya. Semua makhluk sentiasa dalam pengawasan-Nya. Di akhirat kelak mereka akan berhadapan dan berurusan sendiri dengan-Nya. Pada waktu itu semuanya akan dihadapkan dengan segala amalan yang telah dilakukan semasa di dunia dan akan disoal tentang semua perbuatan.

Maksud ٱلثَّقَلَانِ (Ath-Thaqalan) ialah jin dan manusia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang menceritakan jeritan orang yang mengalami seksa kubur:

“Dan segala sesuatu boleh mendengarnya kecuali Ath-Thaqalan (jin dan manusia).”

(HR. Al-Bukhari)

Ayat 32

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?

Antara bentuk nikmat Allah Swt adalah Dia berlaku adil kepada semua makhluk-Nya dengan memberi pahala kepada orang-orang beriman dan memberi hukuman kepada orang-orang yang ingkar. Tiada seorang pun akan teraniaya atau dizalimi. Maka nikmat Allah Swt yang manakah lagi yang hendak didustakan?

Ayat 33

يَـٰمَعْشَرَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ إِنِ ٱسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا۟ مِنْ أَقْطَارِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ فَٱنفُذُوا۟ ۚ لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَـٰنٍ

Wahai golongan jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah. Kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan.

Allah Swt mencabar jin dan manusia untuk melarikan diri daripada kekuasaan dan balasan-Nya. Namun pastinya tidak ada sesiapa pun daripada kalangan jin dan manusia yang dapat melarikan diri daripada keputusan dan takdir-Nya.

Kekuasaan Allah Swt meliputi semuanya dan pada hari mereka dihimpunkan di mahsyar nanti, tidak ada yang dapat berlepas diri daripada menerima hukuman. Para malaikat sebanyak tujuh saf dari semua penjuru mengawasi dan mengepung mereka, maka tiada seorang pun yang dapat melepaskan diri, kecuali dengan perintah-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Pada hari itu manusia berkata, “Ke mana tempat untuk lari?” Tidak! Tidak ada tempat berlindung! Hanya kepada Rabbmu tempat kembali pada hari itu.”

Al-Qiyamah 75:10-12

Ayat 34

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?

Oleh itu sekali lagi, Allah Swt bertanya tentang nikmat-Nya yang manakah manusia dan jin dustakan?

Ayat 35

يُرْسَلُ عَلَيْكُمَا شُوَاظٌ مِّن نَّارٍ وَنُحَاسٌ فَلَا تَنتَصِرَانِ

Kepada kamu (jin dan manusia), akan dikirimkan nyalaan api dan cairan tembaga (panas) sehingga kamu tidak dapat menyelamatkan diri.

Ada pendapat mengatakan maksud ayat ini ialah sekiranya manusia dan jin hendak melarikan diri daripada neraka, para malaikat akan mengembalikan mereka semula ke dalamnya. Mereka dilemparkan ke dalam nyalaan api yang menjulang dan dicurahkan cairan tembaga sehingga mereka tidak dapat melarikan diri lagi.

Ayat 36

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?

Pembezaan antara balasan orang-orang yang taat dan balasan orang-orang yang ingkar merupakan satu nikmat Allah Swt kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Maka nikmat Allah Swt yang manakah lagi yang hendak mereka dustakan?