Surah 55: Ar-Rahman (26 – 30)

Kesibukan, Kekekalan dan Kekayaan Allah Swt

Surah 55: Ar-Rahman (26 – 30)


Ayat 26

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ

Semua yang ada di bumi itu akan binasa.

Allah Swt menyatakan bahawa semua makhluk ciptaan-Nya yang ada di bumi akan binasa.

Ayat 27

وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو ٱلْجَلَـٰلِ وَٱلْإِكْرَامِ

Tetap kekal wajah Rabbmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan.

Allah Swt menerangkan bahawa tidak ada yang kekal selain wajah-Nya yang mulia, kerana sesungguhnya Rabb Yang Maha Tinggi dan Maha Suci itu tidak mati. Dia Maha Hidup, kekal dan tidak mati selama-lamanya.

Ayat 28

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?

Maka nikmat Allah Swt yang manakah lagi yang didustakan oleh manusia dan jin?

Ayat 29

يَسْـَٔلُهُۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِى شَأْنٍ

Segala yang ada di langit dan bumi selalu meminta kepada-Nya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan.

Ayat ini menjelaskan tentang kekayaan Allah Swt. Dia tidak memerlukan selain-Nya sedangkan semua makhluk sangat berhajat kepada-Nya setiap waktu. Ada dua jenis keperluan daripada hamba-hamba-Nya.

▪️  Pertama ialah apa sahaja keperluan yang diminta oleh makhluk kepada Allah Swt. Ini tidak mengambil kira mereka itu manusia atau jin, beriman atau tidak, Islam atau kufur, keperluan yang mereka minta itu dimakbulkan-Nya jika Dia kehendaki.

▪️  Kedua, ada perkara yang makhluk tidak meminta, tetapi Allah tetap memberi, contohnya oksigen, angin, air, makanan dan sebagainya. Walaupun makhluk tidak meminta tetapi disebabkan kelangsungan hidup memerlukan perkara-perkara itu, maka Allah Swt tetap berikan kepada mereka.

Al-A’masy telah meriwayatkan daripada Mujahid, daripada ‘Ubaid bin ‘Umair tentang firman Allah, “Setiap waktu Dia dalam kesibukan.” (Ar-Rahman: 29) antara kesibukan-Nya ialah memperkenankan permintaan orang-orang yang berdoa, memberi kepada orang yang meminta, membebaskan kesulitan orang yang dalam kesulitan dan menyembuhkan orang yang sakit.

Ayat 30

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?

Segala urusan Allah Swt dalam mengatur hamba-hamba-Nya merupakan suatu nikmat yang cukup sempurna. Maka nikmat yang manakah lagi yang hendak didustakan?