Asal Penciptaan Manusia dan Jin serta Pelbagai Nikmat Kurniaan Allah kepada Makhluk-Nya
Surah 55: Ar-Rahman (14 – 25)
Ayat 14
خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِن صَلْصَـٰلٍ كَٱلْفَخَّارِ
Dia menciptakan manusia daripada tanah kering seperti tembikar.
Allah Swt menyebutkan asal-usul penciptaan manusia iaitu daripada tanah liat yang kering.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani, kemudian daripada segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim menurut kehendak Kami, sehingga waktu yang sudah ditentukan,……….”
Al-Hajj 22:5
Ayat 15
وَخَلَقَ ٱلْجَآنَّ مِن مَّارِجٍ مِّن نَّارٍ
Dan Dia menciptakan jin daripada nyalaan api.
Manakala dalam ayat ini pula, Allah Swt menjelaskan bahawa Dia menciptakan jin daripada nyalaan api tanpa asap.
Daripada ‘Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyalaan api dan Adam diciptakan daripada apa yang telah digambarkan kepada kalian (iaitu tanah liat).”
(HR. Muslim dan Ahmad)
Ayat 16
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabb kamu yang manakah yang kamu dustakan?
Allah Swt mengulangi lagi pertanyaan tentang nikmat ciptaan-Nya yang manakah yang didustakan. Ini menandakan banyaknya nikmat-nikmat-Nya yang diulang-ulang yang tidak boleh diingkari atau dinafikan oleh makhluk-Nya. Dia Yang Maha Berkuasa telah menjadikan makhluk-Nya yang terdiri daripada manusia dan jin dengan begitu hebat.
Ayat 17
رَبُّ ٱلْمَشْرِقَيْنِ وَرَبُّ ٱلْمَغْرِبَيْنِ
Rabb yang memelihara kedua-dua tempat terbit matahari dan Rabb yang memelihara kedua-dua tempat terbenamnya.
“Kedua-dua tempat terbit” bermaksud dua tempat terbit dan terbenam matahari pada musim yang berlainan iaitu musim panas dan musim dingin.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dia-lah Rabb timur dan barat, tidak ada Ilah (yang berhak disembah) selain Dia, maka ambillah Dia sebagai pelindung.”
Al-Muzammil 73:9
Ayat 18
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabb kamu yang manakah yang kamu dustakan?
Perbezaan antara tempat-tempat terbit dan terbenam ini terdapat kemaslahatan bagi semua makhluk-Nya baik daripada kalangan jin mahupun manusia. Maka nikmat apakah lagi yang hendak didustakan?
Ayat 19
مَرَجَ ٱلْبَحْرَيْنِ يَلْتَقِيَانِ
Dia membiarkan dua lautan mengalir yang (kemudian) kedua-duanya bertemu.
Ayat 20
بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ لَّا يَبْغِيَانِ
Di antara kedua-duanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing.
Allah Swt mengadakan dua lautan iaitu air tawar dan air masin. Air tawar adalah air sungai manakala air masin adalah air laut. Antara sungai dan laut itu terdapat pemisah agar kedua-duanya tidak saling bercampur dan tidak saling mempengaruhi satu sama lain. Tujuannya ialah untuk mengekalkan sifat-sifat yang ada pada kedua-dua jenis air tersebut.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Dia-lah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), yang ini tawar dan segar, dan yang lain sangat masin lagi pahit, dan Dia jadikan di antara kedua-duanya dinding dan batas yang tidak tembus.”
Al-Furqan 25:53
Ayat 21
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Walaupun Allah Swt meletakkan pembatas antara kedua-duanya namun air dapat bertemu, tetapi yang satu tidak merosakkan yang lain dari segi rasanya. Oleh itu, adakah manusia dan jin dapat mendustakan nikmat Allah yang sedemikian penting ini? Tentu sekali tidak.
Ayat 22
يَخْرُجُ مِنْهُمَا ٱللُّؤْلُؤُ وَٱلْمَرْجَانُ
Daripada kedua-duanya keluar mutiara dan marjan.
Allah Swt mengeluarkan mutiara yang terdapat dalam hidupan laut, juga daripada tumbuh-tumbuhan laut dan air tawar daripada jenis batu karang atau marjan. Betapa ajaibnya Allah menjadikan mutiara, permata, yakut dan marjan daripada kedua-dua air masin dan air tawar. Maha Suci dan Maha Pemurah Allah.
Ayat 23
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Maka wahai manusia dan jin, nikmat Allah Swt yang manakah yang didustakan?
Ayat 24
وَلَهُ ٱلْجَوَارِ ٱلْمُنشَـَٔاتُ فِى ٱلْبَحْرِ كَٱلْأَعْلَـٰمِ
Dan kepunyaan-Nya-lah kapal-kapal yang tinggi layarnya di lautan bagaikan gunung-gunung.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan Dia telah memberi ilham kepada manusia dalam pembinaan bahtera atau kapal-kapal yang tinggi layarnya. Kapal-kapal itu meluncur laju di atas permukaan lautan yang luas disebabkan layarnya yang tinggi laksana gunung-gunung itu berkembang ditiup angin.
Kapal-kapal yang berlayar di lautan adalah di bawah kawalan Allah Swt. Manusia tidak dapat mengawal lautan yang amat luas. Bagaimana kuat sekali pun kapal yang mereka bina, jika Allah hendak menenggelamkannya, pasti kapal itu akan tenggelam. Seandainya ini berlaku, manusia di atas kapal tersebut akan ketakutan dan mereka pun berharap kepada satu kuasa yang dapat menyelamatkan mereka. Itulah Allah Yang Maha Berkuasa. Segala kekuasaan hanya ada pada-Nya.
Ayat 25
فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?
Sesungguhnya nikmat Allah Swt sangat banyak, tidak akan pernah dapat dihitung oleh manusia. Ya Allah, tidak ada satu pun daripada nikmat-Mu yang kami dustakan. Bagi-Mu-lah segala puji.