Balasan Azab kepada Orang yang Berdosa dan Pahala kepada Orang yang Bertakwa
Surah 54: Al-Qamar (47 – 55)
Ayat 47
إِنَّ ٱلْمُجْرِمِينَ فِى ضَلَـٰلٍ وَسُعُرٍ
Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam kesesatan (di dunia) dan akan berada di dalam neraka (di akhirat).
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang berdosa daripada kalangan orang-orang yang menyekutukan-Nya dan mendustakan para rasul itu berada dalam kesesatan dan kebingungan ketika di dunia. Manakala di akhirat kelak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang penuh dengan seksaan yang pedih.
Ayat 48
يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِى ٱلنَّارِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ ذُوقُوا۟ مَسَّ سَقَرَ
(Ingatlah) pada hari mereka diseret ke neraka pada wajahnya. (Dikatakan kepada mereka), “Rasakanlah sentuhan api neraka.”
Orang-orang musyrik dan kafir ini akan diseret ke dalam neraka dengan muka mereka menghadap ke bawah sebagai seksaan dengan keadaan yang sangat menghinakan. Pada saat itu juga mereka diherdik oleh malaikat penjaga neraka dengan kata-kata penghinaan dan celaan.
Ayat 49
إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ
Sesungguhnya, Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa segala sesuatu yang wujud dalam kehidupan ini tidak terjadi dengan sendiri. Sebaliknya segala perkara yang berlaku itu telah ditetapkan iaitu ditentukan-Nya dan sesuai dengan hikmah yang sempurna mengikut ilmu dan kebijaksanaan-Nya. Semuanya telah tercatat dalam Lauh Mahfuz.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….dan Dia yang menciptakan segala sesuatu, lalu menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya.”
Al-Furqan 25:2
“Sucikanlah nama Rabbmu Yang Maha Tinggi. Yang menciptakan, lalu menyempurnakan (penciptaan-Nya). Dan yang menentukan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk.”
Al-A’la 87:1-3
Ibnu Abu Hatim meriwayatkan daripada Ibnu Zurarah, daripada ayahnya, daripada Rasulullah saw, bahawa baginda pernah membaca ayat, “(Dikatakan kepada mereka), ‘Rasakanlah sentuhan api neraka. Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.’” Kemudian baginda bersabda:
“Ayat ini diturunkan untuk sebahagian daripada umatku pada akhir zaman, yang mendustakan takdir Allah.”
(HR. At-Tabrani)
Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Malik rahimahullah,
“Mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan berasa lemah. Jika ada sesuatu menimpamu katakanlah, ‘Allah telah mentakdirkannya, apa pun yang Dia kehendaki pasti akan terjadi.’ Dan jangan mengatakan, ‘Seandainya aku melakukan begini tentu akan begini,’ kerana ucapan ’seandainya’ itu membuka perbuatan syaitan.”(HR. Muslim)
Imam At-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata Rasulullah saw bersabda:
“Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberi manfaat kepadamu yang tidak ditakdirkan oleh Allah Swt kepadamu, nescaya mereka tidak akan dapat memberimu manfaat. Dan seandainya mereka bersatu untuk mencelakaimu dengan sesuatu yang tidak ditakdirkan Allah Swt kepadamu nescaya mereka tidak dapat mencelakaimu. Semua pena telah kering dan semua lembaran telah ditutup.”
(HR. At-Tirmidzi)
Ayat 50
وَمَآ أَمْرُنَآ إِلَّا وَٰحِدَةٌ كَلَمْحٍۭ بِٱلْبَصَرِ
Dan perintah Kami hanyalah (dengan) satu perkataan (cepatnya) seperti sekelip mata.
Allah Swt menyatakan bahawa apa sahaja urusan yang dikehendaki-Nya akan berlaku dengan cepat hanya dengan satu perkataan sahaja, lalu sesuatu yang Dia perintahkan itu pasti terjadi seketika itu juga dengan sekelip mata, tanpa tertangguh sedikit pun.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya urusan Allah apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata, “Jadilah!” maka jadilah sesuatu.”
Yasin 36:82
Ayat 51
وَلَقَدْ أَهْلَكْنَآ أَشْيَاعَكُمْ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Dan sesungguhnya telah Kami binasakan orang yang serupa dengan kamu (kekafirannya). Apakah ada orang yang mahu mengambil pelajaran?
Selanjutnya, Allah Swt mengingatkan orang-orang kafir Quraisy tentang kebinasaan umat-umat terdahulu disebabkan kekafiran mereka. Namun adakah mereka mahu mengambil pelajaran daripada kebinasaan dan kehinaan tersebut.
Ayat 52
وَكُلُّ شَىْءٍ فَعَلُوهُ فِى ٱلزُّبُرِ
Dan segala sesuatu yang telah mereka lakukan tercatat di dalam buku-buku catatan.
Ayat 53
وَكُلُّ صَغِيرٍ وَكَبِيرٍ مُّسْتَطَرٌ
Dan segala (urusan) yang kecil mahupun yang besar (semuanya) adalah tertulis.
Allah Swt menyatakan bahawa segala perbuatan manusia terhimpun dalam buku catatan masing-masing. Ini kerana segala perbuatan mereka sama ada baik atau buruk, besar atau kecil, semuanya dicatat oleh malaikat dalam buku tersebut.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan diletakkanlah kitab (catatan amalan), lalu engkau akan melihat orang-orang yang berdosa ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata, “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini, tidak tertinggal yang kecil dan yang besar, melainkan tercatat semuanya,” dan mereka dapati (semua) yang telah mereka lakukan (tertulis). Dan Rabbmu tidak menzalimi seorang pun.”
Al-Kahfi 18:49
Imam Ahmad daripada ‘Aisyah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Wahai ‘Aisyah, janganlah kamu meremehkan dosa-dosa kecil, kerana semuanya itu akan dituntut oleh Allah.”
(Diriwayatkan juga oleh Imam An Nasa’i dan Ibnu Majah)
Ayat 54
إِنَّ ٱلْمُتَّقِينَ فِى جَنَّـٰتٍ وَنَهَرٍ
Sesungguhnya, orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman dan sungai-sungai.
Ayat 55
فِى مَقْعَدِ صِدْقٍ عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ
Di tempat yang disenangi di sisi (Rabb) Yang Maha Berkuasa.
Kemudian pada dua ayat terakhir surah ini, Allah Swt menjelaskan tentang balasan bagi orang-orang yang bertakwa. Sesungguhnya keadaan orang-orang yang bertakwa tidaklah sama seperti yang dialami oleh orang-orang yang celaka.
Orang-orang yang bertakwa mendapat redha Allah Swt, kurniaan dan kebaikan-Nya yang melimpah di sisi Rabb Yang Maha Agung, Yang Menciptakan segala sesuatu dan Yang Menentukan ukuran-ukurannya. Dia Maha Berkuasa atas semua yang dikehendaki-Nya dalam memenuhi apa yang diinginkan dan yang diperlukan oleh makhluk-makhluk-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Di dalamnya mereka tidak mendengar perkataan yang tidak berguna, kecuali ucapan salam. Dan di dalamnya bagi mereka ada rezeki pagi dan petang.”
Maryam 19:62