Celaan kepada Kaum Musyrik Quraisy Disebabkan Kekufuran Mereka
Surah 54: Al-Qamar (43 – 46)
Ayat 43
أَكُفَّارُكُمْ خَيْرٌ مِّنْ أُو۟لَـٰٓئِكُمْ أَمْ لَكُم بَرَآءَةٌ فِى ٱلزُّبُرِ
Apakah orang-orang kafir kamu (wahai kaum musyrik Quraisy) lebih baik daripada mereka itu, atau apakah kamu telah mempunyai jaminan kebebasan (daripada azab) dalam kitab-kitab yang dahulu?
Pertanyaan Allah Swt ini ditujukan kepada orang-orang musyrik daripada kalangan orang-orang Quraisy iaitu adakah mereka berasa lebih baik jika dibandingkan dengan umat yang terdahulu seperti kaum-kaum Nabi Nuh as, ‘Aad, Thamud, Nabi Lut as dan Firaun sehingga mereka berasa aman daripada seksaan-Nya. Kaum-kaum tersebut telahpun dibinasakan kerana mereka telah mendustakan rasul-rasul dan mengingkari kitab-kitab Allah Swt.
Ayat 44
أَمْ يَقُولُونَ نَحْنُ جَمِيعٌ مُّنتَصِرٌ
Atau mereka mengatakan, “Kami adalah satu golongan bersatu yang pasti menang.”
Allah Swt mengemukakan pertanyaan berbentuk celaan bagi mengingkari mereka yang begitu yakin jika mereka saling tolong menolong dan bersatu, mereka dapat mengalahkan Nabi Muhammad saw dan orang-orang mukmin yang lain.
Ayat 45
سَيُهْزَمُ ٱلْجَمْعُ وَيُوَلُّونَ ٱلدُّبُرَ
Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang.
Seterusnya dalam ayat ini, Allah Swt menyangkal keyakinan mereka dengan menyatakan bahawa persatuan mereka pasti akan bercerai-berai dan dapat dikalahkan. Hal ini telah terbukti ketika berlakunya Perang Badar tiga atau empat tahun kemudian. Mereka dikalahkan dalam peperangan tersebut dan mereka pun melarikan diri ke Kota Mekah.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra bahawa Rasulullah saw bersabda yang ketika itu baginda berada di dalam khemahnya pada peristiwa Perang Badar:
“Aku memohon kepada-Mu jaminan dan janji-Mu ya Allah, jika Engkau menghendaki, nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini setelah hari ini untuk selama-lamanya.” Kemudian Abu Bakar ra memegang tangan baginda dan berkata: “Cukup ya Rasulallah. Engkau telah memohon dengan mendesak kepada Rabbmu.” Maka baginda pun keluar sambil melompat dengan baju besi baginda dan membaca firman Allah Swt, “Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang. Sebenarnya Hari Kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka dan kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit.”
(HR. Al-Bukhari)
Ini juga menjadi bukti bahawa Al-Quran adalah wahyu daripada Allah Swt dan Rasulullah saw adalah utusan-Nya kerana sesuatu kejadian yang ghaib dan akan terjadi telah dinyatakan oleh Al-Quran.
Ayat 46
بَلِ ٱلسَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَٱلسَّاعَةُ أَدْهَىٰ وَأَمَرُّ
Sebenarnya Hari Kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka dan kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit.
Allah Swt menyatakan mereka bukan sahaja dikalahkan dalam beberapa peperangan, malahan seksaan yang dijanjikan oleh-Nya kepada mereka pada Hari Kiamat kelak lebih dahsyat, lebih pedih dan amat pahit untuk dirasakan melebihi pembunuhan dan menjadi orang tawanan.